Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Ahad, 3 Mac 2024

Remaja taksub jelita jalani lebih 100 pembedahan plastik

Remaja taksub jelita jalani lebih 100 pembedahan plastik


Kerana mahu kelihatan jelita seperti pelakon terkenal, seorang remaja berusia 18 tahun di China membelanjakan AS$563,000 (kira-kira RM2.6 juta) bagi melakukan pembedahan plastik sejak lima tahun lalu.


Zhou Chuna dari wilayah Zhejiang, timur China dikatakan obses dengan pembedahan plastik sejak berusia 13 tahun kerana mahu secantik artis kegemarannya, Esther Yu dan mengimpikan menjadi terkenal.


Kisahnya menjadi bualan di media sosial negara itu dengan laporan South China Morning Post (SCMP) yang memetik Toutiao News menyebut, Zhou sudah menjalani lebih 100 pembedahan yang mana kosnya ditanggung ibu bapa.


Sejak zaman persekolahannya, dia tertekan mengenai penampilan diri dan berasa tidak selesa apabila saudara-mara dan rakan mengatakan dia tidak kelihatan seperti ibunya yang cantik.



Kemudian, apabila Zhou belajar di sekolah antarabangsa di Shanghai, dia percaya rakan sekelasnya lebih cantik berbanding dirinya.


Dia berasa rendah diri dan cemburu terhadap mereka sehingga bertekad untuk mengubah rupa, serta atas kebenaran ibunya, pembedahan plastik pertama dibuat adalah prosedur kelopak mata ketika berusia 13 tahun.


Sejak itu, Zhou menjadi taksub untuk mengubah penampilannya, malah berhenti sekolah untuk meneruskan prosedur kecantikan lain.


"Saya sudah menjalani hampir semua pembedahan plastik yang boleh anda fikirkan, antaranya termasuk rhinoplasty dan kikis tulang," katanya.


Zhou turut mengakui mengabaikan amaran doktornya yang melarang melakukan apa-apa lagi pembedahan membesarkan mata kerana sudah menjalani 10 prosedur sebelum ini.


Pembedahan yang paling menyakitkan pernah dialami Zhou ialah mengikis tulang, yang katanya, berlangsung lebih 10 jam dan dia terpaksa berbaring di katil selama 15 hari dan hanya makan menerusi tiub.


"Adakah saya takut? Sudah tentu, tetapi saya mesti melakukannya," kata Zhou.


Ketika itu katanya, tiada doktor yang sanggup melakukan pembedahan kedua, jadi dia terpaksa mencari doktor baharu setiap kali mahu melakukan pembedahan berikutnya.


Zhou sudah mengunjungi semua hospital pembedahan plastik di Shanghai.


"Kawan-kawan saya sudah tidak lagi mengenali saya," katanya.


Difahamkan ibunya tidak mahu lagi menanggung kegilaan Zhou dan bapanya tidak menerima wajah baharu remaja itu.


"Apabila rakan mereka bertanya sama ada saya adalah anak mereka, ibu bapa saya tidak mengakuinya," katanya.


Dakwa Zhou semua pembedahan itu membantunya menjadi lebih berkeyakinan dan membantunya mengejar impian menjadi bintang. - Sumber South China Morning Post.


Zhou Chuna menjalani prosedur pembedahan plastik pertamanya ketika dia baru berusia 13 tahun. - Foto Weibo.

Rupa terkini Zhou Chuna selepas jalani lebih 100 pembedahan plastik. - Foto Weibo.
'Influencer' wanita berang tidak diberi makan percuma di restoran

'Influencer' wanita berang tidak diberi makan percuma di restoran


Sebuah restoran makanan Jepun menyelar sikap seorang pesohor media sosial yang marah selepas dia tidak dibenarkan makan secara percuma di premis tersebut, lapor laman berita Manchester Evening News pada 2 Mac 2024.


Restoran Lucky Ramen and Sushi di Jalan Blossom, Manchester, pada awalnya berkongsi tangkap layar memaparkan mesej daripada pesohor wanita yang tidak didedahkan tersebut, baru-baru ini.


Dalam mesej itu, wanita berkenaan meminta pihak restoran memberi makanan percuma kepada dia dan teman lelakinya sebagai pertukaran untuk mendapatkan promosi yang akan disiarkan di halamannya.


Sebagai maklum balas, restoran itu berkongsi mesej tersebut di akaun media sosialnya.


Ia menulis: "Satu lagi DM (mesej secara terus) mendebarkan daripada 'superstar' yang meminta makanan percuma sebagai pertukaran untuk siaran Instagram.


"Kami gembira kerana anda menghargai makanan kami. Namun, kami lebih menghargai pelanggan yang membuat bayaran," kata restoran tersebut.


Hantaran itu menyebabkan pesohor wanita berkenaan berang lalu dia membalas hantaran itu dengan berkata: "Kami pergi ke mana-mana sahaja yang kami mahu, makan apa yang kami mahu dan akhir sekali, semuanya percuma! Siapa yang rugi sekarang?"


Hantaran itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen dengan ramai yang memihak kepada restoran tersebut.


"Maaf, restoran itu menerima tempahan penuh. Mereka tidak memerlukan liputan anda. Kami semua beratur untuk mendapatkan meja," kata seorang pengguna media sosial. - Sumber Manchester Evening News.


Sebuah restoran makanan Jepun menolak permintaan pesohor untuk makan secara percuma di Manchester, baru-baru ini. - Foto MEN/Instagram.

Ahad, 25 Februari 2024

Hutang melibatkan aksesori wanita jadi punca pertengkaran sekumpulan individu

Hutang melibatkan aksesori wanita jadi punca pertengkaran sekumpulan individu


Masalah hutang melibatkan urusan jual beli aksesori wanita dipercayai menjadi punca pertengkaran melibatkan sekumpulan individu di kawasan perumahan Taman Saujana, Klang pada 16 Februari lalu.


Bagaimanapun, kejadian yang dipercayai telah diselesaikan secara baik itu dikesan tular semula di media sosial pada Sabtu.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 petang melibatkan sekumpulan lelaki dan wanita tempatan.


"Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila pemilik kedai pergi ke rumah individu yang dipercayai berhutang dengannya untuk menuntut semula bayaran.


"Rentetan itu telah berlaku pertengkaran mulut melibatkan beberapa individu termasuk mereka yang tidak mengetahui perkara sebenar itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.


Menurutnya, pemilik kedai terbabit kemudiannya menjelaskan permasalahan yang dihadapi sebelum kesemua mereka bersetuju untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan baik.


"Ekoran daripada itu, pihak yang terlibat telah membuat laporan polis sebelum kesemua mereka kemudiannya telah diambil keterangan berhubung kejadian.


"Lanjutan kes ini, kesemua individu terlibat telah bersepakat untuk menyelesaikan kes terbabit secara baik tanpa mengambil sebarang tindakan undang-undang," katanya.


Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, semakan mendapati kejadian pertengkaran sebelum itu telah dirakam secara langsung menerusi Facebook.


"Video terbabit kemudiannya kini dikesan telah ditularkan semula di media sosial yang lain.


"Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak menularkan video ini dalam media sosial agar tidak mendatangkan kegusaran kepada masyarakat," katanya.


Pada Sabtu, tular video di media sosial memaparkan pertengkaran melibatkan sekumpulan individu di sebuah kawasan taman perumahan di Klang.


Tular video di media sosial memaparkan pertengkaran melibatkan sekumpulan individu di sebuah kawasan taman perumahan di Klang pada Sabtu. - Foto Sinar Harian.

Selasa, 20 Februari 2024

Madonna jatuh 'tergolek' ketika jayakan persembahan Celebration Tour

Madonna jatuh 'tergolek' ketika jayakan persembahan Celebration Tour


Tular di media sosial, video memaparkan penyanyi Pop legenda dunia, Madonna terjatuh dari kerusi ketika sedang diheret oleh penarinya.


Metro UK melaporkan, Insiden pada Ahad itu berlaku ketika dia sedang mempersembahkan lagu hitnya, Open Your Heart di Seattle bersempena siri jelajah, Celebration Tour.


Persembahan diinspirasikan daripada video muzik yang yang popular pada tahun 1986 itu, namun, insiden berlaku selepas penari lelaki berkasut tumit tinggi itu terpelecok dan kedua-dua mereka jatuh di lantai pentas.



Madonna bagaimanapun mengawal keadaan dengan sangat profesional dan meneruskan nyanyian tanpa sebarang masalah, sebelum berhenti ketawa melihat apa yang baru berlaku, sementara penarinya terus mengalihkan kerusi itu.


Rata-rata, netizen memberikan pelbagai reaksi bercampur baur atas kejadian itu.


"Itu sebabnya dia digelar Ratu!" tulis satu netizen di X.


"Mungkin lelaki tak patut pakai kasut tumit tinggi," tulis satu netizen di Instagram.


"Nenek perlu bersara," tulis satu lagi netizen.


Dalam komen lain, ramai juga netizen yang melihat nyanyiannya tidak terjejas kerana dia hanya 'miming' atau segerak suara ketika mempersembahkan lagu itu. - Sumber Metro UK.


Madonna terjatuh ketika jayakan persembahan di Celebration Tour. - Foto Instagram.

Selasa, 13 Februari 2024

Seorang wanita didenda RM800 mengaku menyundal di hotel

Seorang wanita didenda RM800 mengaku menyundal di hotel


Wanita warga Vietnam didenda RM800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Muar, hari ini, atas pertuduhan melakukan aktiviti persundalan di sebuah hotel dalam daerah Muar, Khamis lalu.


Pham Thi Khuyen, 44, yang belum berkahwin didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.


Mengikut pertuduhan, dia didapati mencari langganan untuk tujuan pelacuran bagi maksud persundalan di sebuah hotel di Jalan Pesta, Muar, pada jam 11.42 malam, 8 Februari lalu.


Hukuman bagi kesalahan ini dia boleh dipenjara tidak melebihi setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Norain Sakina Zakri dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan tertuduh manakala pihak pembelaan merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda paling minimum kerana tertuduh menyesal atas perbuatan dilakukan.


Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800 dan tertuduh juga diarah menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayarnya.


Berdasarkan fakta kejadian, polis menjalankan serbuan di hotel terbabit sebelum menemui tertuduh bersama pelanggan dalam biliknya.


Siasatan polis mendapati ketika serbuan dilakukan, tertuduh didapati sedang memberi khidmat seks terhadap seorang pelanggan lelaki.


Tertuduh didakwa mencari pelanggan melalui aplikasi Wechat sebelum meminta pelanggan datang ke bilik penginapannya untuk melakukan perbuatan itu.


Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan antaranya telefon bimbit, tisu basah, minyak pelincir dan kondom termasuk satu daripadanya sudah digunakan.


Pham Thi Khuyen dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas mengaku menyundal di hotel. - Foto Harian Metro.

Selasa, 30 Januari 2024

Kerana GPS, kereta dipandu seorang wanita tersadai pada jambatan gantung

Kerana GPS, kereta dipandu seorang wanita tersadai pada jambatan gantung


Seorang wanita memandu keretanya melalui sebuah jambatan gantung yang dikhaskan hanya untuk motosikal dan pejalan kaki kerana menurut arahan daripada Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), lapor portal berita The Pattaya News pada 29 Januari 2024.


Kejadian berlaku pada pukul 5.40 petang (waktu tempatan) pada 28 Januari apabila seorang penduduk dikenali sebagai Makun Inchan, 38, cuba menyeberangi jambatan gantung tersebut yang merentasi Sungai Yom di Wiang Thong, Thailand. 


Dia terkejut kerana mendapati terdapat sebuah kereta sedan Honda City berwarna putih tersadai di atas jambatan sepanjang 120 meter itu.


Selepas mendengar rayuan pemandu wanita itu untuk mendapatkan bantuan, Makun segera menghubungi pasukan kecemasan.


Kereta itu tersangkut sejauh 15 meter dan satu tayarnya tersepit di celah kayu jambatan. Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan dua traktor untuk menarik kereta mangsa dari jambatan tersebut.


Menurut wanita itu, dia menggunakan GPS dan mengikut maklumat laluan yang diberikan untuk pergi menemui rakannya di Sung Men.


Dia mendedahkan bahawa dia tidak pernah berada di kawasan itu sebelum ini, jadi dia hanya bergantung pada sistem GPS untuk pergi ke lokasi yang dihantar rakannya kepadanya. - Sumber The Pattaya News.


Sebuah kereta 'tersadai' di sebuah jembatan gantung di Wiang Thong, Shad lalu. - Foto Chiangmai News.

Ahad, 21 Januari 2024

Polis menyelamatkan lelaki yang berpaut pada kereta isteri curang dipandu sejauh 15 kilometer

Polis menyelamatkan lelaki yang berpaut pada kereta isteri curang dipandu sejauh 15 kilometer


Seorang pegawai polis menyelamatkan seorang lelaki Thailand yang berpaut di atas bumbung kereta dipandu isterinya sejauh 15 kilometer (km) di Lebuhraya Asia di wilayah tengah Ayutthaya berikutan pertikaian yang dicetuskan oleh rasa cemburu.


Lans Koperal Tiwa Puttakawee daripada Balai Polis Phrain Racha terserempak dengan kejadian itu ketika memandu pulang pada hari Rabu, 17 Januari.


Tiwa ternampak seorang lelaki warga Thailand, yang kemudian dikenali sebagai Sittipunt berusia 40 tahun, berpaut pada sebuah kereta berwarna merah.


Tiwa mengarahkan isteri Suttipunt iaitu Sunan, 39, memberhentikan kenderaan. Kereta itu turut dinaiki teman lelaki Sunan yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan.


Ketika disoal polis, Sittipunt sambil menangis memberitahu dia berkahwin dengan Sunan, 20 tahun lalu dan mempunyai tiga anak bersama, namun rumah tangga mereka berantakan.


Ketika hari kejadian, mereka sepatutnya bertemu untuk menandatangani dokumen perceraian, sebelum masalah berlaku yang membawa kepada insiden terbabit.


Dakwanya, isterinya sebelum ini kerap menipu dan menjalin hubungan terlarang tetapi sering dimaafkan, sehingga Sunan bertemu kekasih yang dikenali di TikTok dan meminta cerai.


Sittipunt akhirnya bersetuju untuk bercerai dan meminta Sunan memenuhi permintaan terakhirnya untuk mereka meluangkan masa bersama-sama.


Malangnya, Sunan mungkir janji apabila keluar dengan teman lelakinya dan Sittipunt terserempak dengan kenderaan mereka di lebuh raya, serta mengarahkan isterinya supaya berhenti untuk berbincang.


Sittipunt kemudian melanggar kereta Sunan dalam usaha menghentikan kereta itu, sebelum keluar dari kenderaannya untuk menghampiri wanita berkenaan.


Bagaimanapun, Sunan nekad memandu menyebabkan Sittipunt berpaut pada kereta wanita itu sejauh 15 km dan diancam dengan pemanduan laju agar dia jatuh.


Sunan pula mendakwa Sittipunt sebelum ini pernah mengugut untuk mencederakannya. Dia tidak berbincang kerana bimbang Sittipunt akan menyerangnya dan berbanding menerima tawaran lelaki itu, Sunan memilih untuk keluar bersama teman lelakinya demi keselamatan.


Ketiga-tiga mereka telah dibawa ke Balai Polis Bang Pa-in untuk menyelesaikan perkara itu. Pegawai tidak mendedahkan sama ada mereka dapat mencapai persetujuan atau tidak. - Sumber The Thaiger.


Sittipunt yang dilihat berpaut pada bumbung kereta dipandu isterinya sebelum diselamatkan polis. - Foto KhaoSod.