Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Khamis, 11 Januari 2024

Nyawa melayang selepas sering larang isteri rakam video Instagram Reels, TikTok

Nyawa melayang selepas sering larang isteri rakam video Instagram Reels, TikTok


Seorang wanita di negeri Bihar, India ditahan kerana disyaki merancang pembunuhan suaminya selepas mangsa sering melarang dia merakam video untuk dimuat naik di Instagram Reels, lapor laman berita India Today pada 9 Januari 2024.


Menurut polis, suspek yang dikenali sebagai Rani Kumari, merancang komplot itu bersama kekasih gelap, Mohammad Sajjad serta dua saudara perempuannya, Rozi dan Sonali Kumari.


Rani dikatakan obses merakam video untuk dimuat naik di platform media sosial seperti TikTok dan Instagram. Bagaimanapun, mangsa, Maheshwar Kumar Rai, 25, tidak menyukai sikapnya itu.


Pasangan itu sudah berkahwin hampir tujuh tahun. Maheshwar pernah bekerja sebagai buruh di Kolkata, dan baru-baru ini pulang ke rumah untuk bertemu isterinya.


Dia mendapati isterinya terobsesi untuk membuat banyak video di platform media sosial, yang tidak disukai dan ditentang oleh Maheshwar, menyebabkan mereka sering bertengkar mengenai perkara tersebut. 


Dalam kejadian malam Ahad lalu sekitar 9 malam, Rani dikatakan mengajak Maheshwar pergi ke rumah iparnya sebelum membunuh lelaki itu dengan mencekiknya.


Jenayah itu terbongkar sekitar jam 10.30 malam apabila abang mangsa, Rudal, menelefonnya dari Kolkata, namun panggilan tersebut dijawab oleh individu lain.


Mengesyaki sesuatu yang tidak kena ketika bercakap di telefon, Rudal meminta bapanya pergi ke kampung Fafout di negeri Bihar bagi memastikan keadaan mangsa.


Bapa mangsa yang tiba di rumah berkenaan terkejut apabila menemui mayat anaknya sebelum dia membuat laporan polis.


Berdasarkan aduan, polis membuka kertas siasatan ke atas lima individu. Rani dan dua saudara perempuannya telah ditahan untuk disoal siasat, manakala dua individu lain masih diburu. - Sumber India Today.


Rani obses merakam video untuk dimuat naik di platform-platform media sosial seperti TikTok dan Instagram. - Foto Aaj Tak.

Isnin, 8 Januari 2024

Wanita halau kekasih gelap suami keluar dari keretanya

Wanita halau kekasih gelap suami keluar dari keretanya


Seorang ahli perniagaan wanita di Indonesia menghalau kekasih gelap suaminya keluar dari kereta selepas menangkap pasangan tersebut berlaku curang di dalam kenderaan miliknya sendiri, lapor laman berita TribunNews, hari ini.


Berdasarkan video yang dikongsikan di platform X, wanita dikenali sebagai Sanlia Novita itu dilihat menarik tangan teman wanita suaminya, Yola agar keluar dari kereta di sebuah kawasan pergunungan.


"Seronok menjalin hubungan dengan suami orang?" katanya dalam video tersebut.


Dia turut didengari memarahi suaminya, Alex kerana menggunakan kereta miliknya untuk berlaku curang dengan wanita lain.


"Awak berlaku curang dalam kereta saya. Saya yang membayar kereta ini," katanya.


Alex hanya terdiam melihat isterinya yang sedang marah serta meminta agar wanita itu tidak menyalahkan Yola.


Melihatkan keadaan itu, Yola yang panik cuba menutup pintu kereta sebelum Sanlia menghalangnya.


"Tak perlu, ini kereta saya! Jangan duduk di dalam kereta saya. Keluar sekarang," katanya sebelum Yola akur dan keluar daripada kenderaan.


Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.


"Orang yang curang bukan sekadar tiada akal fikiran, malah tidak mempunyai rasa malu. Sudahlah curang, pakai kereta isteri pula," kata seorang netizen.


"Sudahlah miskin, curang pula," kata netizen lain.


Sebelum ini, Sanlia pernah menangkap mereka berdua bercuti bersama di Gunung Papandayan. - Sumber Tribun News.


Sanlia berasa marah selepas mendapat tahu suaminya curang di dalam keretanya. - Foto Instagram.

Jumaat, 5 Januari 2024

Lelaki berusia 83 tahun mencuri demi sara kekasih gelap

Lelaki berusia 83 tahun mencuri demi sara kekasih gelap


Seorang wanita berusia 81 tahun di Thailand menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap suaminya selepas lelaki itu didapati mencuri untuk menyara kekasih gelapnya, lapor laman berita Thaiger pada 2 Januari 2024.


Balai Polis Mueang Sing Buri menerima laporan satu kes kecurian daripada pemilik sebuah kedai runcit, Noppakhun Mathap pada Ahad lalu.


Noppakhun berkata, suspek merupakan seorang lelaki berusia 83 tahun. Suspek dilarang memasuki beberapa premis miliknya kerana mempunyai sejarah lampau mencuri, namun tiada tindakan diambil.


Warga emas itu telah melarikan wang tunai sebanyak 3,000 baht (RM405) dari kedai Nappakhon. Polis menahan suspek, namun kemudian menghantarnya pulang ke rumah.


Di rumah, isterinya memberitahu bahawa lelaki itu mencuri untuk menyara kekasih gelapnya. Selain mencuri di kedai, lelaki itu melarikan beberapa barang milik isterinya termasuk barang kemas, wang dan perabot.


Kesemua barang curi itu akan diberi kepada kekasihnya. Dia didakwa jatuh cinta dengan seorang wanita yang berpindah berdekatan rumah mereka.


Wanita itu tidak tahan dengan kelakuan suaminya dan mahu polis memasukkannya ke dalam penjara. 


Pegawai polis meyakinkan wanita itu untuk menerima suaminya semula dan meminta lelaki itu berjanji untuk tidak lagi mencuri. Suspek bersetuju dan berkata dia sanggup masuk penjara jika mencuri lagi.


Jika lelaki itu ditangkap sekali lagi, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga 60,000 baht kerana mencuri harta orang lain. - Sumber The Thaiger.


Wanita itu sudah tidak tahan dengan perangai suaminya. - Foto Channel 8.

Khamis, 28 Disember 2023

Wanita merajuk baring atas jalan selepas 'kantoi' curang

Wanita merajuk baring atas jalan selepas 'kantoi' curang


Sebuah video tular di media sosial China memaparkan gelagat seorang wanita yang berbaring di atas jalan kerana merajuk terhadap suaminya selepas dia ditangkap berlaku curang, lapor laman berita Tribunnews pada 27 Disember 2023.


Kejadian itu dirakam di wilayah Hainan pada 18 Disember lalu. Difahamkan, wanita itu tidak berani pulang ke rumah kerana takut suaminya marah dan membuangnya. Dia kemudian berpura-pura merajuk kepada suaminya sehingga dia tidur di jalan raya.


Menurut seorang saksi dikenali sebagai Song, dia pada awalnya menyangka wanita tersebut mengalami depresi atau mabuk sehingga membuatkan mangsa terbaring di atas jalan.


Song menghampiri wanita berkenaan untuk bertanyakan keadaan dan membantunya, namun dia tidak dihiraukan.


Ketika ingin berlalu dari situ, seorang individu menjelaskan bahawa wanita dikenali sebagai Truong itu baru sahaja ditangkap oleh suaminya berlaku curang di sebuah hotel.


Ketika bertengkar di tepi jalan, Truong meminta si suami memujuknya untuk pulang ke rumah dengan cara berbaring di kaki lima jalan. Namun, permintaan wanita itu tidak dihiraukan, manakala suaminya terus beredar.


"Saya telah bertemu dengan ramai orang yang tidak tahu malu, tetapi saya tidak pernah menghadapi kes seperti ini.


"Dia mengkhianati suaminya, itu salah dia, tetapi dia masih berbohong dan meminta suaminya untuk memujuknya pulang? "Perempuan jenis apakah itu, sangat pelik," kata Song.


Video yang dimuat naik itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.


"Sangat aneh. Curang dan minta suami memujuk dan mengajak pulang. Berbaring sahaja di situ sampai tua," kata seorang netizen. - Sumber Tribun News.


Wanita tersebut tidak menghiraukan orang ramai yang lalu-lalang di sekelilingnya. - Foto Tribun Medan.

Ahad, 24 Disember 2023

Suami bakar rumah selepas berang isteri minta cerai

Suami bakar rumah selepas berang isteri minta cerai


Satu keluarga menjadi mangsa kebakaran di dalam rumah akibat perbuatan menantu yang berang isterinya meminta cerai, lapor laman berita Kompas TV, minggu lalu.


Perbuatan nekad itu mengakibatkan ibu mertua SH, 68, meninggal dunia ketika dirawat di hospital akibat melecur serius.


Ketua polis daerah Kalideres, Abdul Jana berkata, kebakaran itu turut menyebabkan dua lagi mangsa termasuk isteri suspek, melecur teruk.


"Dalam kebakaran itu, bapa mentua suspek bernama Rosyin, 70, dan anak perempuannya Rohayani, 40, melecur 45 peratus dan masih menjalani rawatan di hospital," kata Abdul Jana.


Menurutnya, suspek yang dikenali sebagai RH, 50, gagal mengawal perasaan selepas isterinya meminta cerai. Dia kemudian membakar rumah seluas 60 meter persegi itu yang didiami tujuh orang sehingga hangus dijilat api.


Akibat kejadian itu, hampir 58 peratus badan suspek melecur. Suspek dan mangsa masih menjalani rawatan di Hospital Besar Daerah Cengkerang.


Abdul Jana menjelaskan, suspek membakar rumah mertuanya pada Khamis (14/12/2023) sekitar jam 02:30 petang (waktu tempatan).


Sub-Jabatan Pengendalian dan Penyelamat Bomba Jakarta Barat yang menerima laporan itu segera mengerahkan 12 trak bomba dan 60 anggota untuk memadamkan kebakaran. Api berjaya dipadamkan sekitar jam 03:20 petang (waktu tempatan).


"Suspek nekad membakar rumah tersebut dengan niat untuk mengakhiri hidup mereka bersama-sama," kata Abdul Jana. - Sumber Kompas TV.


Pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kalideres. - Foto Jawa Pos.

Selasa, 19 Disember 2023

Wanita pengsan, alat sulit dipukul jiran kerana kencing merata

Wanita pengsan, alat sulit dipukul jiran kerana kencing merata

(Foto DNA India)

Seorang wanita di India cedera parah akibat dibelasah beberapa jirannya kerana membuang air kecil berhampiran rumah mereka, lapor stesen penyiaran NDTV pada 17 Disember 2023.


Mangsa yang berusia 35 tahun dipukul di bahagian alat sulit menggunakan batang besi sehingga pengsan.


Kejadian itu berlaku di sebuah kampung selepas mangsa membuang air kecil di sebuah longkang berhampiran rumahnya sebelum dilihat jiran-jiran lalu membelasahnya.


"Insiden itu berlaku di kawasan balai polis Misi Ram Chandra, mangsa dikatakan membuang air kecil di dalam longkang berhampiran rumahnya, dan berselisih dengan jirannya.


"Jiran-jiran itu didakwa menggunakan sebatang besi untuk memukul mangsa pada bahagian sulitnya yang menyebabkan mangsa cedera parah dan pengsan," kata Pegawai Circle BS Veer Kumar.


Tambah kumar, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. - Sumber NDTV.


Wanita itu dipukul jiran selepas membuang air kecil di longkang. - Foto NDTV.

Isnin, 11 Disember 2023

Penduduk berang ayam berkokok sebelum 7 pagi, penternak diarah memusnahkan ayam-ayamnya

Penduduk berang ayam berkokok sebelum 7 pagi, penternak diarah memusnahkan ayam-ayamnya


Seorang penternak di Britain diarah memusnahkan ayam-ayam jantannya selepas jiran-jiran mengadu bahawa ia berkokok terlalu awal pada waktu pagi, lapor portal berita MailOnline pada 8 Disember 2023.


Pentadbiran Cheshire West dan Chester menerima aduan daripada jiran Luke Ormond bahawa bunyi kokokan kawanan ayam jantannya menyebabkan mereka bangun sebelum pukul 7 pagi (waktu tempatan).


Pihak berkuasa kemudian melawat rumah Ormond di Antrobus, bandar Northwich dan alat pemantauan bunyi yang dipasang merekodkan kokokan ayam jantan pukul 6.50 pagi (waktu tempatan).


Selepas beberapa bulan, Ormond menerima surat yang mendakwa kokokan ayamnya menyebabkan gangguan bunyi di kawasan perumahan itu.


Ormond, 28, berkata: "Ayam saya mula berkokok pukul 6.50 pagi tetapi ia dikatakan terlalu awal bagi penduduk di sini. Jika ia berkokok 10 minit selepas pukul 7 pagi, tidak ada masalah.


"Saya tidak dapat mengawal bila ayam jantan boleh berkokok," katanya. 


Ormond menternak dan menjual ayam sebagai hobi. Dia memelihara 100 ekor ayam termasuk ayam jantan di rumahnya.


Ormond berkata dia telah mengalami banyak tekanan oleh penyiasatan itu, dia terpaksa mengambil cuti lima hari dan kehilangan gaji untuk bertemu dengan pegawai majlis.


"Salah satu perkara yang sangat menyakitkan hati saya apabila jiran yang ada memelihara ayam sabung juga turut membuat aduan.


"Dulu kami mempunyai hubungan yang baik. Kami pernah menukar telur penetasan sebagai hadiah pada Krismas," katanya.


Ormond telah memulakan petisyen bantahan yang telah mendapat ratusan tandatangan daripada orang ramai yang menggesa pihak berkuasa menari balik arahan itu.


Petisyen Ormond bermula berbunyi: "Lindungi Hak Untuk Menyimpan Ayam Sabung di Luar Bandar Antrobus, Northwich.


"Saya adalah penduduk tempatan Antrobus, Northwich, UK dan selama lebih 14 tahun, saya telah menternak ayam di ladang pertanian saya.


"Ini bukan sahaja perniagaan saya tetapi juga hobi saya. Baru-baru ini, seorang jiran mengadu tentang bunyi ayam sabung saya, walaupun tinggal di kawasan pedalaman dan memiliki ayam sendiri.


"Kawasan luar bandar secara tradisinya menempatkan pelbagai jenis ternakan termasuk ayam itik. Bunyi yang mereka keluarkan adalah sebahagian daripada daya tarikan dan realiti kehidupan desa," tulisnya. - Sumber Daily Mail.


Ayam-ayam jantan milik Ormond berkokok sebelum pukul 7 pagi. - Foto Luke Ormond.