Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan

Selasa, 30 Januari 2024

Wanita wariskan harta RM13 juta kepada kucing, anjing peliharaannya

Wanita wariskan harta RM13 juta kepada kucing, anjing peliharaannya


Warga emas wanita di China sanggup mewariskan hartanya bernilai 20 juta yuan (RM13.32 juta) kepada kucing dan anjingnya berbanding darah dagingnya sendiri, lapor South China Morning Post pada 24 Januari 2024.


Wanita itu, bernama Liu, dari Shanghai berkata, dia membuat surat wasiat beberapa tahun lalu dengan meninggalkan tiga anaknya wang dan harta.


Namun katanya, dia berubah fikiran kerana zuriatnya itu tidak menjenguknya atau menjaganya ketika sakit, malah jarang menghubunginya.


"Hanya kucing dan anjing peliharaan setia bersama saya," katanya memetik laporan Zonglan News.


Katanya, dia menukar wasiatnya dan menegaskan semua wangnya mesti digunakan untuk menjaga kebajikan haiwan peliharaannya dan mana-mana anak haiwan itu, selepas dia meninggal dunia.


Sebuah klinik veterinar tempatan dilantik sebagai pentadbir harta pusakanya dan bertanggungjawab untuk menjaga haiwan itu.


Sementara itu, pegawai dari ibu pejabat Pusat Pendaftaran Wasiat di Beijing, Chen Kai berkata, walaupun Liu mahu menyerahkan semua hartanya terus kepada haiwan peliharaannya, wasiat itu tidak sah di China.


"Tetapi ada alternatif untuk menyelesaikan isu ini.


"Permintaan semasa Liu adalah satu cara, dan kami akan menasihatinya untuk melantik orang yang dipercayainya untuk menyelia klinik doktor haiwan bagi memastikan haiwan peliharaan itu dijaga dengan baik," katanya.


Seorang lagi pegawai dari Pusat Pendaftaran Wasiat China cawangan timur China berkata, mereka memaklumkan Liu mengenai risiko meletakkan semua hartanya di tangan klinik haiwan itu, sebelum dia membuat wasiat terakhirnya.


"Kami memberitahu Liu jika anak-anaknya mengubah sikap mereka terhadapnya, dia masih boleh mengubah permintaannya lagi," kata pegawai itu.


Kisah Liu turut mencetuskan perbincangan dalam talian mengenai harta pusaka keluarga.


Pada Disember tahun lalu, mahkamah di Shanghai memutuskan wasiat seorang lelaki yang meninggalkan semua asetnya bernilai 3.3 juta yuan (RM2.2 juta) kepada pemilik gerai buah-buahan yang baik hati dan bukannya saudara-maranya, adalah sah selepas mereka mencabar wasiat itu di mahkamah. - Sumber South China Morning Post.


Wanita itu berubah fikiran kerana zuriatnya itu tidak menjenguknya atau menjaganya ketika sakit. - Foto Sina.

Ahad, 21 Januari 2024

Harimau bintang 'check-in' hotel cetuskan ketakutan mereka yang menginap di hotel itu

Harimau bintang 'check-in' hotel cetuskan ketakutan mereka yang menginap di hotel itu


Seekor harimau bintang mencetuskan ketakutan orang ramai apabila memasuki sebuah bilik hotel di bandar Jaipur di India, lapor laman berita Ary News pada 20 Januari 2024.


Ia ditemui di lokasi kejadian sekitar pukul 9.30 pagi (waktu tempatan) pada hari Khamis, 18 Januari.


Berdasarkan sebuah klip video yang tular di media sosial, haiwan itu dilihat berlegar-legar di dalam bilik yang didiami seorang kakitangan.


Nasib baik ketika kejadian, tiada sesiapa di dalam bilik itu. Dilaporkan, bilik itu dihuni oleh pemandu hotel, Ratan Singh.


Kakitangan hotel yang menyedari kehadiran haiwan itu kemudian mengunci bilik tersebut sebelum menghubungi Jabatan Perhutanan.


Daripada rakaman yang diambil dari luar bilik pula, harimau bintang itu dilihat cuba menerkam perakam.


Pegawai Jabatan Perhutanan akhirnya berjaya menangkap harimau bintang berkenaan sejurus tiba di hotel tersebut.


Beberapa hari sebelum kejadian, haiwan itu pernah dilihat di kawasan perumahan di Delhi dan Bangalore. - Sumber Ary News.


Harimau bintang itu cuba menerkam perakam yang berada di luar bilik. - Foto Ary News.

Rabu, 3 Januari 2024

Budak lelaki selamba bawa harimau berjalan keliling rumah

Budak lelaki selamba bawa harimau berjalan keliling rumah


Pempengaruh dari Lahore, Pakistan, Nouman Hassan menggemparkan laman sosial selepas memuat naik rakaman video seorang kanak-kanak lelaki membawa seekor harimau yang dirantai berjalan mengelilingi sebuah rumah.


Portal NDTV pada 2 Januari 2024 melaporkan, video itu meraih 36.5 juta tontonan dan 1.7 juta tanda suka dalam tempoh lima hari selepas dimuat naik hingga segelintir netizen mengecam tindakannya yang dianggap membahayakan.


Walaupun pada mulanya harimau itu nampak tenang namun haiwan berkenaan dilihat tiba-tiba agresif menyebabkan kanak-kanak terbabit ketakutan.


Bagaimanapun, seorang lelaki dengan pantas memegang kayu sebagai ancaman kepada haiwan berkenaan.


Difahamkan, Nouman kerap memuat naik video koleksi haiwan peribadinya, termasuk harimau, ular dan buaya.


Walaupun Nouman tidak memberitahu siapa kanak-kanak berkenaan namun beberapa pengguna laman sosial membuat andaian itu adalah anak saudaranya.


Selain harimau, Nouman juga memelihara singa yang diperolehnya daripada lelongan oleh Zoo Safari Lahore pada Ogos tahun lalu.


Zoo itu melelong puluhan singa dan harimau untuk mengosongkan ruang dan mengurangkan perbelanjaan untuk daging.


Nouman berkata, ketika itu, dia membeli hingga tiga ekor singa sambil menambah lelongan yang dijalankan adalah inisiatif baik untuk mempelbagaikan kumpulan gen untuk pengumpul persendirian yang sudah memiliki harimau.


Nouman dan pemilik lain harimau berkongsi gambar dan video haiwan peliharaan mereka di laman sosial dan menawarkan perkhidmatan sewaan untuk tayangan filem dan sesi bergambar. - Sumber NDTV.


Tangkap layar video kanak-kanak berjalan dengan harimau di sebelahnya. - Foto Nouman Hassan.

Isnin, 11 Disember 2023

Penduduk berang ayam berkokok sebelum 7 pagi, penternak diarah memusnahkan ayam-ayamnya

Penduduk berang ayam berkokok sebelum 7 pagi, penternak diarah memusnahkan ayam-ayamnya


Seorang penternak di Britain diarah memusnahkan ayam-ayam jantannya selepas jiran-jiran mengadu bahawa ia berkokok terlalu awal pada waktu pagi, lapor portal berita MailOnline pada 8 Disember 2023.


Pentadbiran Cheshire West dan Chester menerima aduan daripada jiran Luke Ormond bahawa bunyi kokokan kawanan ayam jantannya menyebabkan mereka bangun sebelum pukul 7 pagi (waktu tempatan).


Pihak berkuasa kemudian melawat rumah Ormond di Antrobus, bandar Northwich dan alat pemantauan bunyi yang dipasang merekodkan kokokan ayam jantan pukul 6.50 pagi (waktu tempatan).


Selepas beberapa bulan, Ormond menerima surat yang mendakwa kokokan ayamnya menyebabkan gangguan bunyi di kawasan perumahan itu.


Ormond, 28, berkata: "Ayam saya mula berkokok pukul 6.50 pagi tetapi ia dikatakan terlalu awal bagi penduduk di sini. Jika ia berkokok 10 minit selepas pukul 7 pagi, tidak ada masalah.


"Saya tidak dapat mengawal bila ayam jantan boleh berkokok," katanya. 


Ormond menternak dan menjual ayam sebagai hobi. Dia memelihara 100 ekor ayam termasuk ayam jantan di rumahnya.


Ormond berkata dia telah mengalami banyak tekanan oleh penyiasatan itu, dia terpaksa mengambil cuti lima hari dan kehilangan gaji untuk bertemu dengan pegawai majlis.


"Salah satu perkara yang sangat menyakitkan hati saya apabila jiran yang ada memelihara ayam sabung juga turut membuat aduan.


"Dulu kami mempunyai hubungan yang baik. Kami pernah menukar telur penetasan sebagai hadiah pada Krismas," katanya.


Ormond telah memulakan petisyen bantahan yang telah mendapat ratusan tandatangan daripada orang ramai yang menggesa pihak berkuasa menari balik arahan itu.


Petisyen Ormond bermula berbunyi: "Lindungi Hak Untuk Menyimpan Ayam Sabung di Luar Bandar Antrobus, Northwich.


"Saya adalah penduduk tempatan Antrobus, Northwich, UK dan selama lebih 14 tahun, saya telah menternak ayam di ladang pertanian saya.


"Ini bukan sahaja perniagaan saya tetapi juga hobi saya. Baru-baru ini, seorang jiran mengadu tentang bunyi ayam sabung saya, walaupun tinggal di kawasan pedalaman dan memiliki ayam sendiri.


"Kawasan luar bandar secara tradisinya menempatkan pelbagai jenis ternakan termasuk ayam itik. Bunyi yang mereka keluarkan adalah sebahagian daripada daya tarikan dan realiti kehidupan desa," tulisnya. - Sumber Daily Mail.


Ayam-ayam jantan milik Ormond berkokok sebelum pukul 7 pagi. - Foto Luke Ormond.

Khamis, 7 Disember 2023

Hasil tanaman tak sempat dituai, lebih 100 gajah liar mengganas di ladang tebu

Hasil tanaman tak sempat dituai, lebih 100 gajah liar mengganas di ladang tebu


Lebih 100 ekor gajah liar mencetuskan huru-hara dengan memusnahkan ladang-ladang tebu milik penduduk kampung di wilayah Prachin Buri, Thailand, lapor laman berita Thaiger pada 5 Disember 2023.


Kejadian itu memaksa beberapa pegawai dari Pusat Perlindungan Hidupan Liar Khao Ang Rue Nai dikerah untuk menghalau gajah-gajah tersebut.


Bagaimanapun, kekurangan pegawai serta situasi tugas yang sukar dan berbahaya telah menjejaskan operasi. Kawanan gajah tersebut dilaporkan enggan meninggalkan kawasan ladang dan terus makan tanaman petani tempatan.


Pertubuhan Pentadbiran Daerah Kecil Khai Maikaew di wilayah Prachin Buri memuat naik kenyataan di laman Facebook dan merayu agar masalah itu diselesaikan.


"Mereka yang tidak pernah menghadapinya mungkin tidak faham. Satu tahun terdapat sekali musim menuai. Ketika musim menuai, semua orang menunggu untuk menjual hasil tanaman bagi menyara keluarga.


"Ada juga yang terpaksa membayar hutang baja dan anak pokok serta ada yang mahu membayar persekolahan anak, traktor serta lain-lain.


"Namun belum sempat mereka menuai, sekumpulan besar gajah datang dan makan hampir semua tanaman. Harapan untuk melangsaikan hutang musnah," demikian menurut kenyataan itu. - Sumber The Thaiger.


Gajah-gajah tersebut enggan meninggalkan ladang penduduk. - Foto Thaiger.

Selasa, 28 November 2023

Harimau dahan ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan

Harimau dahan ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan

 

Seekor harimau dahan jantan ditemui mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di hadapan Masjid Al-Huda, Gajah Mati di Jalan Naka, Padang Terap, awal pagi ini.


Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Roshidi Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bangkai haiwan tersebut kira-kira pukul 3.04 pagi tadi.


"Pemeriksaan menemukan seekor harimau dahan dipercayai jantan dengan anggaran berat 30 kilogram terbaring di tepi jalan dari Pokok Sena menuju ke Naka.


"Kami kemudiannya membawa bangkai haiwan tersebut ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih menyiasat mengenai kemunculan haiwan tersebut.


Harimau terbabit adalah spesis terancam dan pihaknya juga masih menyiasat kemungkinan ia tersesat.


Seekor harimau dahan ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Naka, Kuala Nerang awal pagi ini. - Foto ihsan APM.

Isnin, 27 November 2023

Aktiviti buru burung di sawah tumpas, kesemua peralatan dirampas, jaring dimusnahkan

Aktiviti buru burung di sawah tumpas, kesemua peralatan dirampas, jaring dimusnahkan

 

Kegiatan memburu burung ruak-ruak dan ayam-ayam secara haram di kawasan sawah padi di Simpang Lima, Sungai Besar, Sabak Bernam tumpas selepas diserbu pihak berkuasa pada 24 November 2023.


Perkara itu dikesan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor yang menjalankan rondaan pencegahan jenayah hidupan liar, kira-kira pukul 8 malam, Jumaat lalu.


Pengarah Perhilitan negeri, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat mengenai aktiviti pemburuan spesis burung yang dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).


"Hasil pemeriksaan menemukan jaring dan peralatan yang digunakan bagi menangkap burung ruak-ruak dan ayam-ayam di sekitar sawah padi berkenaan.


"Anggota kita daripada Perhilitan Sabak Bernam turut menyelamatkan lima burung spesis lain yang tersangkut pada jaring itu," katanya, hari ini.


Anggota Perhilitan menyelamatkan seekor burung ruak-ruak yang tersangkut pada jaring. - Foto Perhilitan Semenanjung Malaysia / Facebook.

Anggota Perhilitan memeriksa jaring digunakan untuk menangkap burung berkenaan. - Foto Perhilitan Semenanjung Malaysia / Facebook.

Kesemua peralatan dirampas dan jaring telah dimusnahkan. - Foto Perhilitan Semenanjung Malaysia / Facebook.

Kegiatan memburu burung ruak-ruak yang dikesan Perhilitan Selangor baru-baru ini. - Foto Perhilitan Semenanjung Malaysia / Facebook.

Antara hidupan liar yang tersangkut pada jaring. - Foto Perhilitan Semenanjung Malaysia / Facebook.