Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Ahad, 4 April 2021

Ini sebab 22 mumia firaun diarak besar-besaran di Kaherah malam tadi

Ini sebab 22 mumia firaun diarak besar-besaran di Kaherah malam tadi


KAHERAH - Malam tadi, menyaksikan perarakan besar-besaran bagi memindahkan 22 mumia dari Muzium Mesir di Tahrir ke Muzium Tamadun Nasional Mesir di Fustat di bandar raya ini.


Dikawal ketat pihak keselamatan, kenderaan khas yang membawa mumia itu melalui perjalanan sekitar bandar raya ini sejauh tujuh kilometer dari Muzium Mesir ke Muzium Tamadun Nasional Mesir yang baharu.


Digelar sebagai Perarakan Emas Firaun, mumia 18 raja dan empat permaisuri yang dianggarkan berusia lebih 3,000 tahun itu diarak dengan giliran bermula yang paling tua, dengan setiap satunya di atas kenderaan dihiasi gaya silam Mesir.


Ia diletakkan di dalam kapsul berisi gas nitrogen untuk perlindungan dan kereta yang direka khas untuk memastikan keselamatan dan kestabilan setiap mumia.


Kenderaan lain dan pejalan kaki tidak dibenarkan berada di Dataran Tahrir yang menjadi lokasi muzium sedia ada, dan kawasan dilalui kenderaan membawa mumia itu.



Imej perarakan itu yang memaparkan upacara pembukaan dengan koerografi, melalui jalan raya yang dipasang dengan lampu dan lengkap dengan alunan muzik, disiarkan secara langsung di stesen televisyen, sekali gus menarik perhatian penduduk bandar raya ini.


Mesir adalah salah satu destinasi pelancongan tertua di dunia dan merupakan antara tempat impian pelancong dari seluruh dunia. Mesir merupakan sebuah negara di Rantau Afrika Utara ini menjana pendapatan berpuluh bilion setahun daripada perniagaan pelancongan.


Tak hairan jika kerajaan Mesir berbelanja besar untuk menjaga Piramid dan makam-makam purba, mumia serta tinggalan sejarah lainnya. Pelancongan adalah sumber pendapatan yang besar di Mesir, piramid dan mumia firaun memainkan peranan utama dalam hal ini.


Perarakan itu adalah antara usaha bagi menarik pelancongan di Mesir setelah jumlah pelawat merosot dari 13.1 juta pada 2019 kepada 3.5 juta tahun lalu.


"Dengan rasa bangga, kita menantikan kedatangan raja dan permaisuri firaun untuk ditempatkan di rumah baharu. Rakyat dapat menyaksikan tamadun unik dan sejarah kebanggaan negara kita," ciap Presiden, Abdel Fattah al-Sisi di Twitter.


Antara peserta perarakan yang menunggang kuda. - Foto AFP

Antara peserta perarakan memakai kostum zaman kuno Mesir. - Foto AFP

Sabtu, 27 Mac 2021

Dunia rugi RM1.6 bilion sejam, disebabkan kapal kontena besar tersadai di Terusan Suez

Dunia rugi RM1.6 bilion sejam, disebabkan kapal kontena besar tersadai di Terusan Suez


Mesir dilanda ribut debu dan angin kencang mencecah sehingga 40 knot sejak Selasa lalu, menyebabkan satu daripada kapal kontena terbesar dunia tersadai di Terusan Suez akibat ribut tersebut, mengakibatkan kesesakan lalu lintas marin yang teruk.


Memetik kenyataan Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) pada Rabu, berkata kapal seberat 224,000 tan didaftarkan di Panama itu dalam perjalanan dari China ke Rotterdam, terkandas akibat angin kencang dan ribut debu.


Terusan Suez adalah laluan perdagangan laut penting di dunia, membolehkan kapal belayar antara Eropah dan Asia Selatan tanpa melalui sekitar perairan Afrika dan dapat mengurangkan jarak pelayaran antara Eropah dan India kira-kira 7,000 kilometer.



Menurut laporan jurnal berita Lloyd’s List, gangguan perjalanan itu mengakibatkan kerugian mencecah AS$400 juta (RM1.6 bilion) sejam. Tambah Lloyd’s List, anggaran nilai barang yang dibawa kapal kargo itu mencecah AS$9.7 bilion (RM40 bilion) sehari.


Daripada jumlah tersebut, sebanyak AS$5.1 bilion (RM2.1 bilion) dibawa oleh kepal dari timur ke barat dan AS$4.6 bilion (RM19 bilion) dibawa oleh kapal dari barat ke timur.



Kesesakan itu juga memaksa hampir 300 buah kapal kargo lain untuk menukar laluan melalui Afrika dengan perjalanan yang lebih jauh, kos yang tinggi dan juga berbahaya. Ia juga memberi kesan kepada bekalan global yang meningkat naik dalam pandemik Covid-19.


Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkapalan Belanda Boskalis, Peter Berdowski berkata pihaknya telah mencuba pelbagai usaha untuk mengalihkan kapal itu daripada sekatan namun tempoh yang diperlukan untuk berbuat demikian tidak dijelaskan.


Ketika ini, usaha mengapungkan semula kapal Ever Given yang tersekat itu masih giat diteruskan. Terusan Suez merupakan salah satu laluan air terpenting di dunia yang menghubungkan Mediterranean dengan Laut Merah serta merupakan laluan perkapalan ke Asia.


Ia meliputi sepanjang 190 kilometer, sedalam 24 meter dan seluas 205 meter merupakan laluan puluhan kapal kontena besar dalam masa sehari.



Isnin, 8 Mac 2021

40 Jam Dikepung Polis, Suami Nekad Bunuh 2 Isteri Sebelum Membunuh Diri

40 Jam Dikepung Polis, Suami Nekad Bunuh 2 Isteri Sebelum Membunuh Diri


Seorang lelaki dilaporkan nekad menembak mati dua isterinya sebelum menembak dirinya sendiri selepas hampir 40 jam dikepung polis, dalam satu kejadian mendebarkan di sebuah kondominium di pusat bandar Muang, Thailand.


Memetik laporan Pattaya One, Sumet Krongwong, 25, dan dua isterinya, Anada Piyarakatan, 18, dan Wichuda Siamsak, 22, ditemui mati dengan luka tembakan di kepala di bilik tidur kondominium mereka.


Kejadian tragis itu berpunca apabila terdapat dakwaan suspek menipu 20 individu berkaitan jual beli nombor plat kenderaan bernilai jutaan baht. Mereka dituduh melakukan jenayah itu dengan membuka laman web yang mengiklankan nombor plat kenderaan yang menarik untuk dijual.


Menurut sumber, ramai pelanggan dilaporkan telah memindahkan wang kepada mereka tetapi tidak menerima nombor plat seperti apa yang telah dijanjikan dan mendakwa ketiga-tiga mereka adalah scammer.


Sebaik menerima laporan, pihak polis Thailand telah bertindak dengan menyerbu kediaman suspek pada Rabu lalu (3 Mac 2021) dengan waran tangkap dan meminta ketiga-tiga mereka menyerah diri.


Difahamkan, waran tangkap ke atas mereka itu juga rasminya telah dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Phra Khanong di Bangkok. Namun, suspek tidak memberikan kerjasama dan enggan menyerah diri, malah mengugut membunuh diri dan seluruh keluarganya termasuk anak perempuan berusia tiga tahun.


Pada keesokan malamnya (Khamis), empat tembakan dilepaskan dari dalam rumah yang dipercayai bertujuan sebagai amaran agar pihak berkuasa menjauhkan diri. Polis membuat keputusan untuk tidak masuk ke dalam rumah kerana bimbang Sumet akan bertindak mencederakan diri atau isteri-isterinya.

 

Sekitar jam 2 pagi pada Jumaat, polis bertindak dengan melancarkan dron untuk memeriksa keadaan suspek menggunakan imbasan suhu jarak jauh, sebelum bertindak menyerbu masuk.


Malangnya, setelah polis berjaya memecah masuk, ketiga-tiga suspek didapati sudah tidak bernyawa. Sumet juga meninggalkan sekeping nota yang memberitahu dia telah menggunakan pistol bersaiz 9mm untuk menembak kedua-dua isteri dan dirinya sendiri. Ketiga-tiga mereka mati di tempat kejadian.

Ahad, 7 Mac 2021

Angkara dendam, seorang YouTuber maut ditikam rakan wanita

Angkara dendam, seorang YouTuber maut ditikam rakan wanita

Suspek (kanan), Ari Pratama (kiri)


Identiti lelaki yang ditemui mati berlumuran darah di Wisma Topaz, Kabupaten Panakukang, Kota Makassar, Sulawesi Selatan, dikenali sebagai Ari Pratama ,20. Mangsa seorang YouTuber yang popular di Sulawesi Selatan, maut ditikam dengan pisau oleh seorang rakan wanita.


Media tempatan melaporkan pembunuhan tragik itu berlaku pada Jumaat 5 Mac 2021 lalu. Mangsa ditemui terbaring dengan luka terbuka berlumuran darah di ruang depan rumah tamu sekitar jam 5:15 pagi waktu tempatan.


Ketua Perhubungan Awam Polis Panakkukang, Ahmad Halim berkata, suspek mengaku membunuh mangsa yang berusia 20 tahun itu selepas sakit hati akibat dipermainkan lelaki berkenaan.


Katanya, kedua-duanya dipercayai berkenalan menerusi Instagram sebelum bertemu beberapa kali.


"Setiap kali bertemu mereka mengadakan hubungan intim, tetapi mangsa akhirnya mengaku tidak serius menjalin hubungan dengan suspek.


"Suspek yang bengang mendengar pengakuan itu, merancang satu pertemuan dengan mangsa di wisma terbabit dengan niat membunuh mangsa menggunakan pisau dapur yang dibawa dari rumahnya.


"Ketika mangsa leka, suspek menikam dada mangsa berulang kali bagi melepaskan kemarahannya," katanya.


Berdasarkan rakaman kamera CCTV di lokasi kejadian, mangsa sempat pergi ke tingkat bawah untuk meminta bantuan kakitangan di kaunter hadapan. Bagaimanapun, lelaki itu yang berlumuran darah meninggal dunia tidak lama kemudian.


Lokasi kejadian Ari Pratama dibunuh.
Foto Herman Amiruddin

Ahad, 28 Februari 2021

Bintang Shaolin Soccer, Ng Man Tat meninggal dunia dalam tidur

Bintang Shaolin Soccer, Ng Man Tat meninggal dunia dalam tidur


Bintang filem Shaolin Soccer, Ng Man Tat, 70, disahkan meninggal dunia akibat kanser hati di Hospital Union, Hong Kong, hari ini.


Kenalan rapatnya, Tenky Tin Kai Man, memaklumkan kepada media Hong Kong, mendiang meninggal dunia pada jam 5.16 petang di Hospital Union, Hong Kong di samping isteri, anak-anak dan saudara mara.


"Doktor memberi ubat bagi melegakan kesakitan selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sejak beberapa hari lalu. Man Tat meninggal dunia ketika isteri, anak dan adik beradik berada di sisinya.


"Beliau menjalani pembedahan selepas didiagnosis penyakit kanser hati dan menjalani kemoterapi. Keadaan Man Tat lemah dan hanya mampu berkomunikasi menggunakan isyarat tangan. Kesihatan Man Tat semakin merosot, sejak kebelakangan ini," kata Kai Man.



Pada 2014, dia dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan sebelum disahkan menghidap masalah jantung. Pada penghujung tahun lalu, Man Tat disahkan menghidap kanser hati dan menjalani rawatan di Macau.


Man Tat memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan pada usia 22 tahun pada 1973. Sepanjang kerjayanya, beliau banyak bergandingan dengan Raja Komedi Hong Kong, Stephen Chow, antaranya The Final Combat, The Justice of Life dan Shaolin Soccer. Pemergiannya cukup dirasakan Chow.


Menurut Chow, meskipun sudah bersedia dari sudut mental, namun kehilangan rakan seperjuangan adalah sesuatu yang amat memedihkan.


"Walaupun sentiasa memberi perhatian kepada tahap kesihatannya, malah saya sudah membuat persediaan dari sudut mental, tetapi berita ini amat menyedihkan.


"Man Tat adalah rakan lama. Kami sudah bergandingan, sejak sekian lama. Saya tidak dapat menerima kenyataan pemergiannya," kata Chow.


Pada 1991, mendiang dianugerahkan Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Filem Hong Kong menerusi karakternya dalam A Moment of Romance yang turut dibintangi pelakon Andy Lau.

Isnin, 15 Februari 2021

Pura-pura hamil enggan kecewa suami, hampir membangkitkan skandal penjualan bayi

Pura-pura hamil enggan kecewa suami, hampir membangkitkan skandal penjualan bayi

Daud (kiri) ketika membuat pendedahan perkara itu,
dan anak patung disangka anaknya. - Foto TheSun


Disebabkan enggan mengecewakan suami yang mengharapkan cahaya mata, seorang wanita sanggup berpura-pura mengandung dan melahirkan kembar yang kemudian didakwa meninggal dunia kerana kecederaan otak.


Kejadian berlaku di Stavropol, barat daya Rusia yang hampir membangkitkan skandal penjualan bayi selepas Daud Daudov, 33, mendakwa pihak hospital sengaja menukar bayi lelakinya dengan anak patung.


Pihak polis turut menyiasat dakwaan itu apabila Daud membuat laporan sebaik mendapati jenazah anak yang mahu dikebumikan di kawasan perkuburan keluarga di Dagestan pada 9 Februari 2021 lalu adalah anak patung.


Susulan siasatan, isterinya, Laura kemudian membongkar perkara sebenar pada 11 Februari dan mengaku dia menipu mengenai kandungannya dan bayi yang dilahirkan kerana tidak mahu mengecewakan Daud.


Video tangkap layar Laura (kiri) ketika ditemubual.


Ketika menjelaskan perkara itu menerusi pengakuan bertulis, Laura mengaku tidak sanggup menghampakan Daud sebaik ujian kehamilan yang dibuat mendapati dia tidak mengandung.


"Saya lihat betapa gembiranya suami apabila beritahu saya mengandung. Saya tidak mahu mengecewakan dia dan bertindak menipu mengenai kandungan ini kepada dia dan keluarga.


"Kadang-kala saya berasa seperti perut saya membesar, rasa seperti saya mengandung dan pada Januari lalu saya meninjau katil bayi. Ia sukar untuk dijelaskan. Saya tahu saya tidak mengandung tetapi saya tidak boleh berhenti menipu," katanya dipetik Metro UK.


Malah, Laura turut menyewa seunit flat berdekatan hospital dan mendakwa melahirkan bayinya pada 3 Februari tetapi bayi itu meninggal dunia pada 9 Februari disebabkan pendarahan otak.


"Pada hari sama suami saya beritahu anak kami perlu dikebumikan di tanah perkuburan keluarganya di Dagestan," katanya yang memberitahu tidak mampu menipu lagi selepas kain kapan menutup wajah bayi dibuka ketika mahu dikebumikan.


Daud berkata, dia sedih apabila isterinya memaklumkan bayi mereka meninggal dunia namun, mengikut nasihat ahli keluarga yang meminta pengebumian dilakukan dengan baik mengikut ajaran Islam.


"Saya buka kain kapan yang menutup wajah anak pertama dan terkejut apabila tiada mata. Kemudian saya buka wajah anak kedua, sama juga. Ia anak patung... anak patung," katanya.

Ahad, 14 Februari 2021

Dron nuklear Russia mampu hancurkan Amerika Utara, misil nuklear RS-28 lebih dahsyat

Dron nuklear Russia mampu hancurkan Amerika Utara, misil nuklear RS-28 lebih dahsyat


Russia bersedia untuk menguji dron nuklearnya yang dikatakan mempunyai kekuatan untuk menghancurkan benua Amerika Utara. Akhbar The Sun, yang memetik laporan akhbar Russia Izvestia, melaporkan persediaan menguji dron dalam air dinamakan Poseidon yang akan dibawa oleh kapal selam Belgorod itu sedang berjalan.


Difahamkan, Russia akan memiliki kira-kira 30 dron nuklear Poseidon menjelang 2027, yang boleh dilengkapi dengan senjata konvensional atau nuklear. Dron itu juga boleh digunakan untuk memusnahkan pelbagai jenis sasaran dan berjaya dilancarkan dari kapal selam berkuasa diesel sebelum ini.


Presiden Russia, Vladimir Putin, mendedahkan maklumat mengenai dron nuklear itu pada 2015, ketika Poseidon dikenali sebagai Sistem Lautan Pelbagai Fungsi Status-6. Dron itu boleh bergerak pada kelajuan mencecah 85 kilometer sejam (km/j) di dalam air dan mampu mencapai sasaran sejauh 10,000 kilometer.


Kementerian Pertahanan Russia menunjukkan
dron dalam air berkuasa nuklear, Poseidon.


Menurut media Russia, ia juga berupaya membawa peledak peluru nuklear dengan kuasa letupan 100 megaton. Tahun lalu, seorang pegawai tentera laut, Kapten Konstantin Sivkov, berkata Poseidon mampu menyebabkan gempa bumi dan menghancurkan benua Amerika Utara.


Jika diletupkan di dalam laut, Poseidon dikatakan mampu mencetuskan ombak tsunami setinggi 300 kaki. Sebagai perbandingan, bom atom yang digugurkan di Hiroshima mempunyai kekuatan sekitar 15 kiloton dan kekuatan 100 megaton adalah bersamaan 100,000 kiloton.


Russia dedah misil nuklear bom terkuat di dunia


Gambar misil nuklear yang diberi nama
RS-28 dan digelar sebagai 'Satan 2'.

Russia pada Okteber 2016 lalu, turut mendedahkan gambar misil nuklear terbesarnya yang dikatakan mampu memusnahkan kawasan berkeluasan sebuah negara Perancis.


Mail Online memberitahu, misil itu yang diberi nama RS-28 dan digelar sebagai 'Satan 2' oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), boleh bergerak dengan kelajuan maksimum tujuh kilometer per saat dan direka dengan ciri yang boleh mengatasi sistem perisai anti-misil.


Misil itu boleh melancarkan kepala peledak sehingga sehingga 40 megaton iaitu 2,000 kali lebih kuasa berbanding bom atom yang menghancurkan Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945.


Menurut rangkaian berita Rusia, Zvezda, misil itu mempunyai keupayaan jarak sehingga 10,000 km yang dikatakan mampu menyerang London dan beberapa bandar Eropah lain serta Amerika Syarikat.