Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan

Sabtu, 27 Februari 2021

Cuba rempuh polis, Bob Mah Sing dan rakannya direman empat hari

Cuba rempuh polis, Bob Mah Sing dan rakannya direman empat hari


Dua lelaki yang bertindak nekad merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierrama, Sungai Buloh, di sini semalam direman selama empat hari. Perintah reman dikeluarkan Majistret Petaling Jaya Zhafran Rahim Hamzah bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.


Terdahulu, suspek yang dilihat memakai baju lokap berwarna ungu dan berseluar ungu tiba di hadapan pintu masuk mahkamah pada jam 11 pagi dikawal ketat anggota polis. Suspek kemudian dibawa ke bilik reman di tingkat satu kompleks bangunan mahkamah.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, permohonan reman itu dilakukan bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut.


"Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 307, 427 dan 188 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958," katanya.


Sebelum ini, tular satu video berdurasi satu minit 45 saat menunjukkan anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu selepas suspek enggan memberhentikan kereta.


Kenderaan bernombor pendaftaran MAS 175 itu dilihat melanggar bahagian belakang lori dan sisi kereta Perodua Myvi beberapa kali, di persimpangan lampu isyarat Sierrama, sehingga berjaya mencelah. Kereta tersebut akhirnya ditemui ditinggalkan berhampiran MRT Damansara Damai hanya kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.


Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) menemui dan merampas plastik lut sinar, dipercayai berisi dadah jenis heroin seberat 1.7 gram dalam kereta ditinggalkan suspek.


Polis kemudian berjaya menahan salah seorang suspek yang berusia 35 tahun di sebuah kawasan perumahan di Desa Aman hasil maklumat orang awam dan berjaya menahan seorang lagi lelaki dikenali sebagai Bob Mah Sing di sebuah rumah semalam yang berjaya melarikan diri ketika kejadian.


Bob Mah Sing dan rakannya yang ditahan semalam direman 4 hari sehingga 2 Mac ini untuk membantu siasatan polis selepas terlibat insiden merempuh kenderaan awam dan lari dari pemeriksaan polis dari Gombak ke Sungai Buloh.

Selasa, 23 Februari 2021

Dibunuh kejam, mayat seorang lelaki warga emas dicampak depan sekolah

Dibunuh kejam, mayat seorang lelaki warga emas dicampak depan sekolah


Alor Setar: Lelaki warga emas yang juga bisu ditemukan maut dipercayai dibunuh kejam dengan kesan kecederaan di lehernya. Mangsa berusia 70-an itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak atau ditinggalkan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti, di sini, hari ini.


Malah, pihak berkuasa percaya mangsa dibawa menaiki kereta oleh seorang lelaki berusia 30-an sebelum mayatnya ditinggalkan di hadapan sekolah berkenaan kerana motosikal mangsa ditemukan di tempat lain.


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima maklumat pada 4.30 petang berkaitan pergaduhan di kawasan Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini.


Beliau berkata, bagaimanapun tidak lama kemudian pihaknya menerima maklumat penemuan satu mayat lelaki yang disyaki ada kaitan dengan pergaduhan itu.


"Mayat lelaki itu ditemukan dengan kesan kecederaan teruk di leher. Hasil siasatan mendapati, mangsa dibawa menaiki kereta Proton Saga oleh suspek lelaki berusia 30-an dan motosikal mangsa dipercayai ditinggalkan di kawasan pergaduhan di Lebuhraya Sultan Abdul Halim," katanya.


Suspek ditahan orang awam.


Ahmad Shukri berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada mangsa diculik atau sebaliknya. Menurutnya, sejurus meninggalkan mayat di kawasan sekolah, suspek melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang lagi lelaki di kawasan Taman Wira Mergong menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.


"Suspek ditahan orang awam di kawasan itu dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.


"Hasil pemeriksaan mendapati, suspek didapati berada dalam keadaan khayal. Dia juga dipercayai terbabit dalam pergaduhan petang tadi dan individu yang bertanggungjawab meninggalkan mayat lelaki warga emas itu di sini (hadapan sekolah)," katanya.


Ahmad Shukri berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada suspek dan mangsa yang dibunuh ada hubung kait sebelum ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan juga mendapati, suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan.


"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut," katanya memaklumkan, turut merampas sebilah parang yang ditemukan dalam kereta suspek bagi membantu siasatan.

Khamis, 11 Februari 2021

Nelayan jumpa mutiara RM1.39 juta, anjur parti dadah ditahan polis

Nelayan jumpa mutiara RM1.39 juta, anjur parti dadah ditahan polis


Seorang nelayan yang menemui mutiara oren Melo bernilai 250,000 pound (RM1.39 juta) di Thailand, ditahan polis selepas didakwa menganjurkan parti dadah bagi meraikan kekayaan baharunya.


Lapor Daily Mail, Hatchai Niyomdecha, 37, menjemput rakan-rakannya ke rumah di Nakhon Si Thammarat, Thailand pada Jumaat lalu selepas ditawarkan jumlah wang berkenaan bagi mutiara yang jarang ditemui.


Polis Thailand berkata, pihaknya merampas beribu-ribu pil methamphetamine di rumah nelayan itu ketika melakukan serbuan selepas menerima aduan daripada jiran mengenai bunyi bising yang melampau dan mendakwa terhidu bau dadah.


Nelayan warga Thailand itu menjadi tajuk utama akhbar di seluruh dunia selepas menemui mutiara Melo yang juga dikatakan paling mahal di dunia, ketika mengutip cangkerang bersama keluarganya di sebuah pantai berhampiran rumahnya.


Polis merampas dua kotak yang mengandungi bahan tidak diketahui dan sebuah kotak mengandungi kira-kira 16,000 pil methamphetamine ketika melakukan serbuan di rumah nelayan itu.


Hatchai menafikan kotak itu miliknya namun polis menemui cap jari nelayan itu pada kotak berkenaan selepas menjalankan ujian forensik terhadap bungkusan terbabit.


Dalam pada itu, Kolonel polis Chokdee Srimuang berkata, pihaknya masih sedang menyiasat Hatchai mengenai rampasan pil dadah berkenaan.


Mutiara oren Melo yang ditemui
Hatchai bernilai RM1.39 juta.

Hatchai Niyomdecha ditahan polis tempatan
selepas menganjurkan parti dadah
bagi meraikan ‘kekayaannya’ itu.

Selasa, 26 Januari 2021

Seorang lelaki ditahan polis, memiliki dua senjata api dan senapang angin buatan sendiri

Seorang lelaki ditahan polis, memiliki dua senjata api dan senapang angin buatan sendiri

Polis merampas selaras senapang angin buatan sendiri dan sepucuk pistol selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai, Iskandar Puteri pada Ahad


Iskandar Puteri: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol, selaras senapang dan empat butir peluru selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai dekat sini pada Ahad.


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada jam 8.10 malam selepas mendapat maklumat dan hasil risikan.


"Dalam serbuan itu pihak polis melakukan enam rampasan iaitu sepucuk pistol jenis Rev .38 SPL 2 inci, satu laras senapang angin buatan sendiri, sebutir peluru jenis SME 9mm dan tiga butir peluru .38 Spl dalam chamber.


"Suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah. Ujian saringan air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.


Menurutnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai 25 sehingga 31 Januari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.


Katanya, kini polis masih mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Ramen atau nama sebenarnya Mohd Rahmin Ahmat, 33, beralamat No 30-A, Jalan Pengkalan Rinting, Batu 5, Tampoi, Johor Bahru.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan diminta menghubungi balai polis berdekatan," katanya.

Jumaat, 22 Januari 2021

Ahli politik ditahan jual dadah diproses sendiri campuran ganja dan ketamin

Ahli politik ditahan jual dadah diproses sendiri campuran ganja dan ketamin


Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan berusia 35 tahun yang juga bekas calon bagi satu kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, ditahan polis kira-kira jam 1.45 petang selepas disyaki mengedar dadah di Pudu, di sini, pada Rabu.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pasukan polis pada mulanya menahan suspek yang dikesan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan, polis menemui 40 botol mengandungi 400 milimeter (ML) cecair dadah beserta wang tunai RM250 pada suspek.


Menurutnya, susulan itu pihaknya menyerbu rumah suspek di Ampang, Selangor, dan hasil pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemui pokok ganja, daun kering disyaki ganja serta cecair dadah disyaki ketamin dan THC.


"Hasil daripada tangkapan itu, kami membuat serbuan di rumah suspek yang terletak di Ampang, Selangor sekitar pukul 1 pagi semalam dan berjaya membawa kepada penemuan tujuh pokok ganja serta dua anak pokok ganja," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut Saiful Azly, pemeriksaan lanjut polis turut berjaya merampas 1,500 gram ganja, cecair ganja (3,000 ML), cecair kimia, ganja, tempat siram pokok ganja serta sebuah kereta BMW disyaki milik suspek berkenaan.


Tambah beliau, kesemua rampasan di rumah suspek dianggarkan berjumlah RM60,760 melibatkan pokok ganja bernilai RM4,500, ganja bernilai RM3,000 serta cecair dadah bernilai RM53,100.


Hasil soal siasat polis ke atas suspek mengaku terbabit dalam kegiatan itu sejak Oktober tahun lalu. Polis juga difahamkan suspek telah menghasilkan sendiri dadah berkenaan dengan campuran jenis ganja dan ketamin sebelum menjual di luar pada harga RM300 sebotol.


Suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 27 Januari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6B akta sama. Difahamkan, isteri bersama pembantu rumah suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Selasa, 12 Januari 2021

Polis rampas dadah bernilai RM125.8 juta, hasil risikan selama setahun

Polis rampas dadah bernilai RM125.8 juta, hasil risikan selama setahun


Johor Bahru: Polis Johor merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM125.8 juta yang boleh menampung 5.4 juta penagih, dalam 16 serbuan selama dua hari, bermula pada 2.45 petang Sabtu hingga 6.40 petang Ahad lalu menyaksikan 15 suspek iaitu lapan lelaki dan tujuh wanita warga tempatan berusia antara 17 hingga 62 tahun ditahan.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, ia kejayaan rampasan dadah terbesar di Malaysia, membabitkan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, setakat awal tahun ini.


Beliau berkata, ketua sindiket berkenaan yang berusia 30-an turut ditahan dan siasatan masih dijalankan sama ada terdapat saki baki ahli sindiket masih bebas termasuk kewujudan dalang lain.


"Kami membuat risikan selama setahun terhadap sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang beroperasi di dua rumah sekitar bandar raya ini yang dijadikan stor penyimpanan dan makmal memproses dadah.


"Sindiket ini dipercayai aktif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu berikutan semua pintu sempadan negara dikawal ketat membuatkan dadah diseludup dari luar negara tidak dapat masuk, lalu mereka memproses sendiri dadah.


"Dadah dirampas adalah syabu sebanyak 72.61 kilogram (kg), serbuk ecstacy (12.81kg), ganja (5.44kg), 3.72 juta biji pil eramin 5, 397,905 pil ekstasi, heroin (4.0 gram), ketamin (28 gram), jus mangga (8.5 gram), serbuk dadah seberat 969.15 kg selain enam mesin dan peralatan memproses dadah.


"Turut dirampas 13 kereta mewah pelbagai jenama, sebuah motosikal Kawasaki, wang tunai RM2.28 juta, pelbagai mata wang asing bernilai RM284,000, jongkong emas seberat 1kg, empat utas jam tangan jenama Rolex dan pelbagai jenis barang kemas yang kesemuanya bernilai RM5.43," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.


Razarudin berkata, makmal dadah itu mampu memproses 3,000 biji pil dadah pelbagai jenis dalam masa satu jam selain mampu menghasilkan lebih 300,000 biji dalam tempoh kurang tiga hari.


Beliau berkata, dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan, namun tidak menolak kemungkinan ia turut diseludup ke pasaran luar. Semua 15 suspek direman bermula Ahad lalu hingga 16 Januari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


"Tiga daripada suspek ditahan didapati positif dadah manakala hasil semakan rekod lampau mendapati mereka mempunyai enam kesalahan lampau antaranya membabitkan kesalahan dadah, senjata api dan ugutan jenayah, " katanya.

Guna wang i-Sinar KWSP beli dadah

Guna wang i-Sinar KWSP beli dadah


Limbang: Seorang lelaki berusia 28 tahun berasal Kampung Patiambun, Jalan Buangsiol, yang kini bekerja sendiri mengaku menggunakan wang baru dikeluarkan melalui i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli dadah.


Suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang di tepi jalan Kampung Limpaki, di sini, pada 1 tengah hari semalam.


Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berada dalam keadaan mencurigakan ketika ditahan untuk pemeriksaan dan cuba melarikan diri.


"Pihak polis bertanya sama ada suspek menyimpan barang salah atau dadah, namun suspek hanya berdiam diri.


"Hasil pemeriksaan, polis menemui satu paket lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu di dalam seluar jean dipakai mangsa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Beliau berkata, suspek bersama dadah jenis syabu dianggarkan seberat 13.07 gram dan bernilai RM 1,300 itu dibawa ke Pejabat BSJND untuk tindakan lanjut.


Menurutnya, ketika disoal siasat, suspek menyatakan memperoleh dadah daripada seorang lelaki dikenali Lawang yang tinggal di Taman Damai, Limbang.


"Hasil risikan anggota BSJN didapati suspek yang membekalkan dadah tinggal di Kampung Patiambun dan bergiat aktif dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952," katanya.