Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Rabu, 6 Julai 2022

Lelaki terapung disangka mayat rupanya sedang bertapa

Lelaki terapung disangka mayat rupanya sedang bertapa


Sekumpulan penduduk di Bangkok, Thailand yang menemui 'mayat' lelaki terapung di sebuah terusan terkejut apabila mendapati ia sebenarnya seorang manusia yang sedang bermeditasi, lapor laman berita Oddity Central pada 4 Julai 2022.


Berdasarkan sebuah rakaman video, orang ramai dilihat memenuhi tebing terusan itu selepas melihat satu 'mayat' terapung di permukaan air longkang dipenuhi sampah-sarap.


Beberapa orang di tebing terusan cuba menjerit ke arah 'mayat' yang terapung untuk memastikan ia benar-benar mati. Mereka juga telah melaporkan perkara itu kepada polis.


Seorang pemuda yang berani turun ke dalam air dan memeriksa keadaan 'mayat' tersebut. Namun, sebaik sahaja menyentuh badan 'mayat' itu, lelaki berkenaan terkejut apabila mendapati ia bergerak dan bercakap kepadanya.


"Kami fikirkan bahawa dia sudah mati. Semua orang menjerit sebelum itu, namun dia langsung tidak bergerak. Apabila ada seseorang cuba menariknya, barulah dia bercakap dan memberitahu bahawa dia sedang bermeditasi," kata seorang anggota penyelamat, Sommatr Promvog.


Selepas membantu mengeluarkan lelaki berkenaan dari terusan tersebut, sebuah ambulans telah dipanggil untuk melakukan pemeriksaan kesihatan lelaki tua itu, dan kakitangan mendapati dia dalam keadaan sedar dan berada dalam keadaan sihat.


Lelaki itu kemudian dihantar pulang ke rumahnya serta diminta melakukan meditasi di tempat yang lebih sesuai. - Sumber Oddity Central.


Sebaik sahaja menyentuh badan ‘mayat’ itu, dia secara tica-tiba bergerak dan bercakap kepada lelaki yang membantunya. - Foto Oddity Central.

Khamis, 2 Jun 2022

Pengawal keselamatan menyamar pegawai tentera pikat janda dalam kem

Pengawal keselamatan menyamar pegawai tentera pikat janda dalam kem


Kerana mahu memikat seorang anggota tentera wanita bergelar janda, seorang pengawal keselamatan sanggup menceroboh masuk ke dalam kem tentera dengan me­nyamar sebagai pegawai pasukan keselamatan itu, lapor Kosmo pada 2 Jun 2022.


Perbuatan suspek yang berusia 27 tahun dan masih bujang itu bagaimanapun memakan diri, apabila dia diberkas di rumahnya di Rumah Rakyat Sungai Layang, Rembau, pada pukul 5.50 petang kelmarin.


Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya merampas pakaian seragam tentera berserta aksesori antaranya senjata 'airsoft', beg yang mempunyai logo pasukan keselamatan dan sepasang gari.


"Hasil soal siasat, lelaki tersebut mengaku terbabit dalam kes menyamar sebagai pegawai tentera di Kem Batalion Kedua, Rejiman 508, Askar Wataniah, Kem Tampin. Suspek melakukan kesalahan itu pada 8 Disember 2018," kata­nya ketika dihubungi semalam.



Menurut beliau, siasatan mendapati suspek menyamar sebagai pegawai berpangkat kolonel dalam Grup Gerak Khas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Siasatan pihak polis juga mendedahkan suspek yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Pedas, telah berkenalan dengan seorang janda yang berkhidmat sebagai tentera di kem tersebut pada tahun 2018 lalu.


Suspek masuk ke kawasan kem atas urusan ingin berjumpa dengan pegawai berpangkat Sarjan Mejar dan Penolong Pegawai Memerintah. Suspek mahu membuktikan kepada wanita itu bahawa dia seorang pegawai berpangkat tinggi dalam ATM.


Bagaimanapun, lelaki itu gagal menunjukkan kad identiti ATM selepas diminta berbuat demikian. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.


Pakaian seragam ATM yang digunakan suspek ketika menyamar sebagai pegawai tentera untuk memikat anggota wanita di Kem Tampin.

Rabu, 1 Jun 2022

Padah ubah suai flat melampau, MPAJ robohkan binaan tambahan

Padah ubah suai flat melampau, MPAJ robohkan binaan tambahan


Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terpaksa merobohkan binaan tambahan dan struktur binaan dibina pemilik kediaman di Blok 4, Flat UTM, AU3/1 kerana tidak mendapat kelulusan.


MPAJ dalam kenyataan berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil ekoran kesalahan membina struktur tambahan tanpa kebenaran MPAJ yang nyata menggunakan ruang harta bersama bukan hak mutlak pemilik.


Isu keselamatan penduduk sekitar perlu diambil kira, tambahan rumah itu kelak mengganggu kerja-kerja menyelamat sekiranya berlaku sebarang malapetaka seperti kebakaran dan sebagainya.


"Kediaman berstrata seperti flat, apartmen dan kondominium terikat dengan Akta 757 di mana lot petak hanya terhad kepada keluasan petak yang dibeli sahaja.


"Pemilik dikenakan tindakan notis dan roboh serta-merta dilaksanakan berdasarkan Akta Jalan, Parit & Bangunan (Akta 133)," kata MPAJ dalam kenyataan pada Selasa.


Perkongsian gambar itu di laman sosial telah mendapat pelbagai reaksi. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut terhibur apabila melihat rumah tersebut dirobohkan.


"Jiran kiri kanan pun 'renovate' juga, sepatutnya kena roboh semua lah," komen pengguna.


"Hidup di bandar atau kampung kena ikut peraturan. Kalau semua ikut kepala sendiri kawasan kediaman kita akan jadi huru hara macam setinggan," kata seorang lagi pengguna.


Operasi merobohkan struktur tambahan oleh kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 25 Mei 2022. - Foto Facebook MPAJ.

Sebuah kediaman yang dirobohkan kerana menambah bangunan tanpa kebenaran. - Foto Facebook MPAJ.

Selasa, 26 April 2022

ATM rampas 510 kilogram daun ketum yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok

ATM rampas 510 kilogram daun ketum yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas longgokan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 510 kilogram, yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok di Kampung Nibong dekat Tanah Merah, Kota Bharu, pagi tadi.


Longgokan bungkusan daun ketum itu yang dianggarkan bernilai RM15,300 ditemukan oleh sepasukan anggota Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged), yang melakukan rondaan rutin di sepanjang tebing itu pada kira-kira pukul 7.30 pagi.


"Pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam menemukan sejumlah 50 plastik hitam berisi daun ketum seberat 510 kg. Bungkusan plastik daun ketum berkenaan dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.


"Rampasan ini memberi petunjuk bahawa penyeludupan daun ketum di sempadan Kelantan-Thailand semakin aktif berikutan permintaan dan harga yang tinggi di pasaran Thailand," kata Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis.


Menurutnya, sejak Januari hingga hari ini, sembilan kes rampasan ketum direkodkan oleh ATM menerusi Op Merpati di kawasan negeri ini yang bersempadan dengan Thailand, dan rampasan daun ketum di sekitar lokasi berkenaan adalah yang kedua dalam bulan ini.


Abu Hasan Assha’ari memberitahu, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.


"ATM menyeru kepada penduduk setempat untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan.


"Hal ini bagi membolehkan tindakan sewajarnya segera diambil untuk menjamin kedaulatan negara dan menjaga keselamatan sempadan Malaysia- Thailand," katanya.


Daun ketum seberat 510 kilogram yang ditinggalkan di tepi Sungai Golok dekat Kampung Nibong, Tanah Merah hari ini. - Foto ATM.

Rabu, 20 April 2022

'Kasino rimba diserbu' 7 lelaki ditahan leka berjudi dalam ladang sawit

'Kasino rimba diserbu' 7 lelaki ditahan leka berjudi dalam ladang sawit


MARAN - Tujuh lelaki yang leka bermain judi ditahan dalam serbuan di ladang kelapa sawit di sempadan Felda Jengka 6 dan Jengka 7, Bandar Jengka, di sini, kira-kira pukul 4.30 petang semalam.


Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, membuat serbuan dalam Ladang Kelapa Sawit Felda di lokasi tersebut.


"Dalam serbuan itu, tujuh lelaki sedang berkumpul di dua meja disyaki sedang leka bermain judi belangkas.


"Hasil pemeriksaan, polis merampas perkakasan perjudian iaitu dua meja lipat, dua buah dadu belangkas, kanvas, seutas tali putih, piring dan mangkuk kecil serta wang tunai berjumlah RM4,358," katanya dalam kenyataan, hari ini.



Norzamri berkata, kesemua suspek termasuk dua warga emas berusia lingkungan 40 tahun hingga 69 tahun direman empat hari sehingga 23 April ini, dan kini ditahan di lokap Balai Polis Maran.


Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak melebihi RM,5000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.


"Polis akan terus memantau aktiviti perjudian dan penyalahgunaan dadah di daerah Maran secara berterusan walaupun pada Ramadan," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial dan Ekonomi Gabungan Felda Wilayah Jengka, Razak Daud menasihatkan warga Felda tidak lupa diri dengan bermain judi hasil rezeki yang melimpah ketika ini.


Lokasi tujuh lelaki yang ditahan ketika berjudi di ladang kelapa sawit Felda Jengka 6, Bandar Jengka, Maran. - Foto PDRM.

Ahad, 3 April 2022

Padah belanja sakan guna kad ATM orang lain, seorang wanita ditahan

Padah belanja sakan guna kad ATM orang lain, seorang wanita ditahan


Tindakan seorang wanita di Keningau, Sabah, berbelanja menggunakan kad ATM milik orang lain yang ditemuinya membawa padah, apabila dia ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, hari ini.


Wanita berusia 33 tahun terbabit ditahan selepas didapati membelanjakan sebanyak RM1,365 dari akaun mangsa di beberapa pasar raya, serta stesen minyak di sekitar daerah Keningau.


Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, mangsa membuat laporan kehilangan kad ATM Bank CIMB miliknya yang dipercayai tercicir semasa berada di Keningau.


Katanya, hasil semakan melalui aplikasi CIMB Clicks mendapati, wang di dalam akaun miliknya itu berkurangan dan terdapat beberapa transaksi pembelian dibuat secara 'Pay Wave'.


"Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil berjaya menahan seorang wanita tempatan.


"Siasatan awal mendapati, suspek bertindak sedemikian kerana mahu membeli barang keperluan diri. Siasatan kes masih dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 ," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Sehubungan itu, Nor Rafidah menasihatkan orang ramai yang tercicir kad ATM supaya segera melaporkan kepada pihak bank. Ia bagi memastikan kad ATM yang tercicir itu tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sabtu, 5 Mac 2022

Gempar lelaki 'mengamuk' atas lori kontena, dipercayai kurang siuman

Gempar lelaki 'mengamuk' atas lori kontena, dipercayai kurang siuman


Suasana di Persiaran Hamzah Alang, Taman Meru 4, Klang, gempar apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman mengamuk atas sebuah lori kontena hari ini (5 Mac 2022).


Kejadian tular di media sosial itu dipercayai berlaku pada 10.50 pagi, apabila seorang lelaki yang berusia lingkungan 30-an memegang objek seperti kayu berada di atas kenderaan terbabit sambil menjerit.


Keadaan itu menimbulkan kegusaran orang awam yang berada berdekatan premis perniagaan di kawasan itu, dan bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan lanjut.


Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.07 pagi.



Katanya, sepasukan 12 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dikerah dalam operasi berkenaan.


"Setibanya di lokasi, anggota kita segera meletakkan jentera bomba bersebelahan lori kontena tersebut. Ia bagi membantu memudahkan polis untuk menahan lelaki yang dipercayai kurang siuman itu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah Norazam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.29 pagi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu pada 10.58 pagi.


"Polis menerima maklumat mengatakan ada orang tidak siuman berada di atas sebuah lori kontena.


"Polis ke lokasi sebelum menangkap lelaki itu dengan bantuan bomba dan dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan," katanya.


Lelaki di atas lori kontena mencetuskan suasana gempar di Persiaran Hamzah Alang, Taman Meru 4, di Klang, Selangor.