Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan

Selasa, 5 Oktober 2021

Pakar Dakwa Makhluk Asing Mungkin Suka Dipeluk Dan Tidak Ganas

Pakar Dakwa Makhluk Asing Mungkin Suka Dipeluk Dan Tidak Ganas


Seorang ahli zoologi dari Universiti Cambridge di Britain menyifatkan makhluk asing mungkin sebenarnya tidak makan manusia seperti yang selalu digambarkan dalam filem sains fiksyen, sebaliknya ia suka dipeluk.


Menurut laporan akhbar Daily Star pada 3 Oktober 2021, Dr. Arik Kershenbaum mengatakan tiada sesiapa yang tahu rupa sebenar makhluk asing kerana wataknya lazimnya dimainkan oleh manusia. 


Menurut beliau, imej paling realistik tentang makhluk asing adalah mikroskopik dan sekiranya ia bersaiz besar, ia mungkin kelihatan seperti watak Tribble yang merupakan makhluk asing berbulu dalam filem Star Trek.


"Sekiranya saya perlu memilih rupa makhluk asing yang masuk akal, saya akan fikir ia kelihatan seperti Tribble," katanya.


Kebanyakan makhluk asing yang digambarkan dalam sains fiksyen dan kisah-kisah penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) mempunyai dua mata, dua lengan dan dua kaki.


Namun, Dr. Kershenbaum berpendapat makhluk asing mungkin mempunyai beberapa anggota badan yang mampu memberikan kelebihan kepadanya. Beliau juga berkata terdapat banyak lagi reka bentuk tubuh lain yang boleh dimiliki oleh makhluk asing termasuk menyerupai cacing, ikan atau labah-labah.


"Sekiranya 'alien' menyerupai ikan yang mempunyai enam atau lapan sirip, serta memiliki lebih banyak lengan untuk memanipulasi barang, maka kelebihan itu memudahkan mereka untuk membina kapal angkasa," katanya.


Makhluk asing sering digambarkan sebagai mempunyai sepasang mata, sepasang kaki dan tangan. Foto Getty Images.

Jumaat, 1 Oktober 2021

Wanita Sangka 'Makhluk Asing Mendarat Di Bumi' Selepas Terlihat Kelibat UFO Di Langit

Wanita Sangka 'Makhluk Asing Mendarat Di Bumi' Selepas Terlihat Kelibat UFO Di Langit


Seorang wanita menyangka makhluk asing telah mendarat di Bumi selepas dia berjaya merakam beberapa gambar, yang pada awalnya difikirkan sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Daily Star pada 28 September 2021.


Jayne Dickinson, 47, mengembara ke Istana Bamburgh di Northumberland untuk merakam gambar aurora atau cahaya polar, namun dia terlihat kelibat sebuah 'pesawat' yang mempunyai bentuk aneh.


Berdasarkan foto-foto yang dirakam, objek seakan pesawat itu sedang terbang di langit pada pukul 10.30 malam (waktu tempatan) pada Isnin 27 September lalu.


"Saya sedang mencari cahaya aurora namun tidak kelihatan. Ketika sedang berjalan ke arah kereta, saya tiba-tiba ternampak satu objek bercahaya terang di atas langit.


"Ia kelihatan menakjubkan dan saya terus mencapai kamera lalu merakam gambarnya. Saya fikirkan bahawa makhluk asing telah mendarat di Bumi," katanya.


Bagaimanapun, jangkaannya itu meleset sama sekali apabila mendapati objek yang dirakam itu sebenarnya merupakan sebuah roket milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).


"Sejurus saya pulang ke rumah, saya memeriksa apakah objek tersebut dan menyedari bahawa ia sebenarya adalah satelit NASA Landsat-9 yang dilancarkan di California, Amerika Syarikat," katanya.


Objek menyerupai UFO yang dirakam Dickinson ternyata merupakan sebuah satelit milik NASA. - Foto Hull Live.


Istana Kota Bamburgh merupakan tapak bersejarah yang terletak di persisiran pantai Northumberland. - Foto Daily Mirror.

Ahad, 19 September 2021

Lelaki Berkongsi Rakaman Formasi UFO, Orang Ramai Turut Mendakwa Melihat Objek Sama

Lelaki Berkongsi Rakaman Formasi UFO, Orang Ramai Turut Mendakwa Melihat Objek Sama


Seorang lelaki di Maryland, Amerika Syarikat terkejut apabila melihat cahaya berwarna jingga berkedipan dalam satu corak aneh, yang hampir membentuk segitiga tepat di ruangan langit kawasan rumahnya, baru-baru ini.


Menerusi laporan akhbar Daily Star pada 14 September 2021, kejadian itu disedari ketika Symkai Scott, 42, baru pulang dari kerja pada waktu malam. Dia sempat merakam insiden pelik itu dan memuat naik video di media sosial.


Scott meminta pendapat orang ramai tentang kemungkinan cahaya tersebut adalah objek terbang tidak dikenali (UFO). Katanya, dia melihat ada enam, mungkin tujuh cahaya jingga terang dan besar yang pegun di langit.


"Apakah benda ini? Ia sangat jelas kelihatan terutamanya jika diperhatikan di bawah sinaran lampu jalan. Tidak mungkin objek itu adalah helikopter atau dron kerana ia mengeluarkan bunyi bising sedangkan cahaya itu senyap sahaja," ujar Scott.


Rakaman itu menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial yang turut menyokong dakwaan Scott bahawa objek itu adalah UFO, dan ada yang mengatakan bahawa mereka turut melihat cahaya yang sama di Scotland.


"Saya menerima komen bahawa ada yang turut menyaksikan formasi cahaya serupa di California, Scotland dan Arizona," tambah Scott.


Seorang pengguna media sosial di California utara turut mendakwa melihat cahaya pelik itu, mengatakan dia melihat kira-kira 30 daripadanya bergerak perlahan dalam satu baris sebelum hilang dalam beberapa saat. - Sumber Daily Star.


Rakaman formasi cahaya jingga, oren dan putih yang didakwa UFO di kawasan perumahan di Baltimore. - Foto Daily Star.

Jumaat, 17 September 2021

Saintis Jumpa Bukti Penguin Mungkin Makhluk Asing

Saintis Jumpa Bukti Penguin Mungkin Makhluk Asing


Sekumpulan saintis percaya bahawa penguin berkemungkinan adalah makhluk asing yang datang dari Planet Zuhrah, selepas menemui sejenis bahan kimia yang berasal dari planet tersebut dalam najis haiwan berkenaan.


Menurut lapor akhbar Daily Star pada 12 September 2021, kumpulan saintis tersebut turut mengakui tidak dapat menjelaskan bagaimana bahan kimia bernama fosfin itu boleh wujud di Bumi.


Bahan kimia tersebut pada tahun lepas ditemui pada lapisan gas yang mengelilingi Zuhrah. Planet itu mempunyai atmosfera serupa dengan Bumi. Susulan penemuan ini kumpulan saintis tersebut akan terus mengkaji cara hidup penguin spesies Gentoo ini.


"Kami percaya bahawa penemuan fosfin adalah benar, namun tidak mengetahui punca kepada wujudnya unsur tersebut," kata Dr. Dave Clements dari Kolej Imperial London.


Tambah Clements, terdapat beberapa bakteria anaerob yang menghasilkan fosfin. Katanya, ia mungkin berkaitan dengan pertahanan atau memberi isyarat bagi melawan bakteria pesaing.


Mereka juga percaya bentuk kehidupan 'alien' mungkin sudah dikesan, dan kajian lebih lanjut terhadap penguin dapat membantu mereka mengenal pasti jenis organisma yang ada di dunia lain.


Sementara itu, Nasa mengatakan penyelidikan baru akan dilakukan menjelang pelancaran teleskop ruang angkasa James Webb yang berkuasa tinggi (mampu melihat lebih jauh ke angkasa) dari Guyana Perancis pada 18 Disember, yang dapat mengesan kehidupan di planet lain.


Teleskop James Webb akan mengkaji ruang angkasa untuk Nasa sebagai balai cerap utamanya dalam beberapa tahun mendatang. Projek ini adalah kerjasama antara Nasa, Agensi Angkasa Eropah dan Badan Angkasa Kanada.


Saintis temui sejenis bahan kimia yang berasal dari planet Zuhrah dalam najis penguin. - Foto Getty Images.

Isnin, 13 September 2021

Sekumpulan Banduan Dakwa UFO Lawat Penjara Mereka

Sekumpulan Banduan Dakwa UFO Lawat Penjara Mereka


Sekumpulan penghuni sebuah penjara di England mendakwa bahawa mereka melihat kelibat objek terbang tidak dikenali (UFO) berlegar-legar di ruang udara kawasan penjara. Selepas kejadian itu muncul ruam merah 'misteri' pada badan mereka.


Menurut laporan akhbar Daily Star, hari ini, menerusi sepucuk surat yang ditulis kumpulan itu kepada majalah Inside Times, insiden itu berlaku awal tahun ini di penjara HMP, The Verne.


"Saya seorang yang tidak mudah percaya pada makhluk ghaib atau perkara-perkara pelik seperti makhluk asing, tetapi apa yang kami lihat di penjara ini adalah sangat pelik membuat saya tidak dapat berkata-kata.


"Kejadian berlaku ketika kami sedang beriadah di kawasan lapang penjara apabila UFO berbentuk piring berlegar-legar dan mengeluarkan cahaya terang," tulis surat itu.


Objek itu kemudian semakin dekat dan terbang serendah kira-kira 100 kaki di atas kepala banduan di situ untuk beberapa saat. Semua orang di kawasan itu, termasuk penjaga penjara, berdiri menatap UFO tersebut sebelum ia lesap di sebalik kabus tebal.


"Keesokan harinya, semua banduan yang terlibat dalam 'pertembungan' itu mendapat ruam-ruam merah pada badan mereka," jelas banduan itu.


Sehingga kini, kisah mengenai pendaratan UFO di Britain diceritakan menerusi pelbagai versi, manakala penduduknya merupakan antara masyarakat yang paling percaya dengan kewujudan makhluk asing. - Sumber Daily Star.


Sekumpulan banduan di penjara England mendakwa dilawati UFO awal tahun ini. - Foto Getty Images.

Khamis, 9 September 2021

Saintis Cipta Mesin Kaji Serpihan UFO, Jumpa Bahan Canggih Daripada Sebuah Peradaban Maju

Saintis Cipta Mesin Kaji Serpihan UFO, Jumpa Bahan Canggih Daripada Sebuah Peradaban Maju


Penciptaan mesin berteknologi tinggi baharu telah membolehkan sekumpulan saintis dari Universiti Stanford, Amerika Syarikat untuk mengkaji serpihan dipercayai milik objek terbang tidak dikenali (UFO) yang ditemui di Amerika Selatan 70 tahun lalu.


Menurut lapor akhbar Daily Star 7 September 2021, salah seorang penyelidik, Dr. Jacques Vallee mengumpulkan sisa logam yang dipercayai sebagai UFO yang terhempas di Colombia dan Argentina sejak 1947.


Mesin baharu yang dipanggil 'pengimbas ion pelbagai paramater' itu memberi peluang kepada saintis untuk melihat struktur atomik dari bahan yang dipilih. Dengan terciptanya mesin ini, kajian pada serpihan yang didakwa objek UFO telah dilakukan.


Majalah Science News melaporkan ahli mikrobiologi Stanford, Dr. Garry Nolan menggunakan mesin tersebut untuk menghasilkan gambar tiga dimensi bagi menganalisis sampel dalam proses yang disebut Multiplexed Ion Beam Imagine (MIBI).


Pada tahap mikroskopik, struktur atom tidak mungkin dipalsukan. Ketika Nolan meletakkan beberapa serpihan di ruang vakum instrumennya, dia terkejut apabila mendapati komposisi logam itu tidak seperti logam lain.


"Sekiranya berbicara tentang bahan canggih daripada sebuah peradaban maju, kita berbicara tentang sesuatu yang saya sebut sebagai bahan ultra. Ini adalah sesuatu yang mempunyai sifat di mana seseorang menyatukannya semula pada satu skala atom," katanya.


Saintis itu kemudian menemukan bahawa bahan itu telah dihasilkan dan bukan bersifat semula jadi. Bagaimanapun, itu tidak bermaksud ia dihasilkan di suatu tempat di luar angkasa, tetapi mungkin dihasilkan untuk tujuan tertentu yang belum difahami oleh penyelidik.


Objek misteri yang menyerupai kapal angkasa ini ditemui di dasar Laut Baltik pada tahun 2011 lalu, sekali gus mengejutkan para pemburu makhluk asing. - Sumber Liputan6.

Ahad, 5 September 2021

Nampak UFO Setiap Kali Melakukan Penerbangan Dakwa Juruterbang Tentera Laut AS

Nampak UFO Setiap Kali Melakukan Penerbangan Dakwa Juruterbang Tentera Laut AS


Kisah objek tidak dikenali (UFO) bukan baru. Sudah terlalu banyak teori dan penemuan yang dikaitkan kewujudan makhluk asing ini. Biarpun banyak gambar dan saksi-saksi yang mengaku berpeluang melihatnya, namun misteri tentang UFO masih tidak jelas.


Menurut laporan Daily Star pada 3 September 2021, seorang juruterbang tentera laut Amerika Syarikat (AS) mengakui melihat UFO terbang di ruang udara setiap kali dia melakukan penerbangan.


Ryan Graves menggambarkan kesemua UFO yang dilihatnya sebagai fenomena udara tidak dikenali (UAP) dan mendakwa boleh mencetuskan ancaman keselamatan. Dia membuat kenyataan itu beberapa minggu selepas Pentagon mendedahkan laporan mengenai penampakan UFO.


Laporan itu memaklumkan, tiada tanda-tanda kehidupan makhluk asing dikenal pasti dan menegaskan penampakan sejumlah UFO sebelum ini tidak dapat dijelaskan. Namun, Graves memberitahu, kesemua UAP yang dilihatnya sejak 2014 lalu adalah sukar untuk dipalsukan.


"UAP itu mungkin boleh jadi jet tentera dari negara lain yang kita tidak ketahui, maka keadaan tersebut secara tidak langsung boleh mengancam keselamatan. Adalah sukar untuk menyatakan semua penampakan UAP itu, lebih-lebih lagi jika anda melihatnya hampir setiap hari," katanya.


Sementara itu, pakar berpendapat kebanyakan kes penampakan UAP adalah melibatkan pesawat fizikal kerana boleh dikesan menerusi pelbagai sistem termasuk inframerah dan radar. Kerajaan AS menerusi satu lagi laporan turut menyatakan ratusan penampakan UFO dikesan antara 2004 hingga 2021.


AS mempunyai sejarah yang panjang tentang pesawat misteri ini, termasuk penemuan serpihan logam aneh pada tahun 1947 di Roswell, New Mexico. Laporan berita kemudian menyebutnya 'piring terbang', tetapi tentera AS mendakwa ia adalah belon cuaca yang jatuh.


Ryan Graves mengatakan UAP menimbulkan ancaman kepada keselamatan. - Foto Fox 8 News.