Jumaat, 27 November 2026

JPJ Pulau Pinang kesan lori bawa muatan 90 peratus melebihi had demi kejar komisen tambahan


SEBERANG JAYA - Gaji pokok rendah dan tawaran komisen berdasarkan jumlah muatan dipercayai mendorong pemandu lori komersial di Pulau Pinang membawa muatan berlebihan sehingga 90 peratus melebihi had dibenarkan.


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, sistem komisen yang dikaitkan dengan jumlah muatan dan perjalanan menyebabkan sebahagian pemandu mengejar trip demi pendapatan tambahan sehingga mengabaikan aspek keselamatan.


Beliau berkata, hasil operasi penguatkuasaan mendapati kenderaan berat membawa muatan antara 30 hingga 90 peratus melebihi had, bergantung kepada jenis kenderaan. Kebanyakannya mengangkut pasir, batu, sumber mineral serta hasil pertanian.


Menurutnya, muatan berlebihan bukan sahaja menjejaskan kestabilan dan kawalan kenderaan, malah meningkatkan risiko kemalangan serta menyebabkan kerosakan jalan raya, jambatan dan infrastruktur awam.


Dari 1 Januari hingga 26 November lalu, JPJ Pulau Pinang memeriksa 46,102 kenderaan komersial dan mengambil tindakan terhadap 11,463 kenderaan atas pelbagai kesalahan, dengan 15,953 saman dikeluarkan.


Daripada jumlah itu, sebanyak 2,602 kes lebih muatan direkodkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 49 kes melibatkan Seksyen 57 dan 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.


Penguatkuasaan sepanjang tempoh berkenaan menghasilkan nilai keseluruhan RM1.53 juta, merangkumi RM718,800 kompaun dan RM808,000 denda mahkamah.


Dalam operasi bermula jam 2 pagi tadi, sebanyak 46 kenderaan komersial diperiksa dan lima lori dikenakan tindakan kerana membawa muatan berlebihan.


Zulkifly menegaskan JPJ tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan akan terus mengambil tindakan terhadap pemandu, pemilik kenderaan serta syarikat pengangkutan yang ingkar.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon