Empat lelaki termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di kawasan ladang kelapa sawit, bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Bakri Mahidin, 37, dan adiknya, Muhamadariff, 26, serta Mohamad Iekram Mohd. Zaki, 29, dan Mohd. Firdaus Che Mustafa, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara bersama membunuh Mohd. Badaruddin Md. Nayan, 30, di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Division, Sungai Petani antara pukul 1.30 tengah hari hingga 3 petang, 23 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Mohd. Noor, manakala peguam Durratul ’Ain Mahmud Morshidi bertindak sebagai amicus curiae bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai keperluan perubatan dua tertuduh.
Menurut beliau, Mohamad Iekram merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal dan mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat kemalangan, manakala Mohamad Bakri menghidap asma.
Beliau berkata, kedua-dua tertuduh memerlukan perhatian dari sudut perubatan bagi menghadapi perbicaraan kes berkenaan yang dijangka berlarutan untuk tempoh lama.
Majistret Noor Farah Hazwani kemudian memaklumkan keperluan perubatan kedua-dua tertuduh akan diuruskan pihak penjara.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 15 November depan tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an disyaki dibunuh di Kampung Sungai Division, kira-kira pukul 6.55 petang pada 23 Ogos lalu.

EmoticonEmoticon