Selasa, 30 September 2025

Kedai tayar jual harga murah rupanya 'sarang' sindiket tayar seludup


Kedai tayar murah yang selama ini menjadi tumpuan pengguna kerana menawarkan harga lebih rendah berbanding pasaran rupa-rupanya terbabit dalam kegiatan penyeludupan tayar.


Rahsia di sebalik populariti premis yang dianggap 'lubuk jimat' itu terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan Ops Grip baru-baru ini.


Serbuan besar-besaran pada 29 September lalu dijalankan di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor melibatkan syarikat pengimport tayar, gudang serta kontena penyimpanan.


Hasil operasi bersepadu itu, sebanyak 17,672 tayar pelbagai jenama dirampas untuk pemeriksaan ketulenan oleh pemilik asal antarabangsa termasuk Michelin dan Goodyear serta pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).



SPRM turut mengambil tindakan membekukan akaun bank persendirian dan syarikat berjumlah RM70 juta selain menjejaki aset lain yang dipercayai diperoleh hasil aktiviti penggubahan wang haram.


Siasatan awal mendapati sindiket ini bukan sahaja menipu pengguna dengan menjual tayar seludup yang dilabel sebagai stok baharu, malah menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan RM350 juta sejak 2020.


Walaupun nampak menguntungkan kerana harga lebih murah, tayar seludup ini hakikatnya boleh menjadi 'bom jangka' di jalan raya kerana kebanyakannya terpakai dan tidak menepati piawaian keselamatan.


Ia berisiko pecah secara tiba-tiba ketika kenderaan dipandu laju selain memungkinkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku termasuk kemalangan.


Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara.


Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.


Ramai pengguna sebelum ini tidak menyedari mereka sebenarnya menjadi mangsa sindiket. Niat asal mahu berjimat, namun akhirnya berdepan risiko keselamatan yang lebih besar di jalan raya.


Pendedahan ini sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana kewujudan kedai tayar murah lain yang mungkin masih beroperasi dengan cara sama.


Ops Grip membuktikan bahawa apa yang disangka tawaran berbaloi hanyalah helah sindiket untuk mengaut keuntungan besar, sedangkan nyawa orang ramai menjadi taruhan.


Anggota Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM memeriksa tayar yang disimpan di dalam kontena di sebuah premis menerusi operasi bersepadu, Ops Grip, hari ini. - Foto Bernama.


EmoticonEmoticon