Isnin, 15 Januari 2024

3 buruh didakwa rompak 6 ekor ayam guna pistol, pedang


Tiga sekawan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan menggunakan pistol dan pedang sebelum melarikan enam ekor ayam sabung milik seorang lelaki, November lalu.


Ketiga-tiga tertuduh, Muhammad Shafie Mukhtar, 31, Mohd. Ariffadilan Ismail, 38, dan Mohd. Zurmi Mat Hassan, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.


Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki yang bekerja sebagai buruh itu didakwa dengan niat bersama melakukan rompakan berkumpulan bersenjata pistol dan pedang ke atas Muhamad Faris Norhalim, 24, sebelum melarikan enam ekor ayam milik lelaki itu.


Perbuatan itu dilakukan oleh mereka di sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu, Kota Bharu, kira-kira pukul 11.30 malam pada 18 November lalu.


Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin dan tertuduh pertama diwakili peguam, Mohd Khairul Azwan Azhan, manakala tertuduh kedua dan ketiga tidak diwakili peguam.


Abu Arsalna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun Mohd Khairul Azwan memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM25,000 setiap seorang, masing-masing dengan seorang penjamin dan syarat tambahan supaya mereka tidak mengganggu saksi.


Hakim menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bahru selepas pertuduhan merompak secara berkumpulan. - Foto Harian Metro.


EmoticonEmoticon