Isnin, 4 Disember 2023

Wanita mengamuk, buang semua pakaian teman lelakinya dari balkoni tingkat enam


Berang kerana teman lelakinya curang, seorang wanita di Amerika Syarikat bertindak 'menyiarkan' semua kerja kotor lelaki itu hingga menjadi bualan di media sosial.


Dengan cara yang lebih agresif, wanita dari kejiranan Bedford-Stuyvesant, utara New York itu membuang semua pakaian lelaki berkenaan dan barang peribadi lain dari balkoni tingkat enam apartmen diduduki mereka.


Kejadian itu disedari jiran yang kemudian merakam detik sejumlah baju, seluar dan barangan lain termasuk cermin dan pasu 'terbang' sebelum mendarat di atas pokok dan tepi jalan.


Jiran berkata mereka tidak pernah mendengar pertengkaran dari apartmen pasangan itu dan terkejut dengan kekecohan tersebut. Difahamkan, pasangan itu telah tinggal di sana hampir lima tahun.


New York Post pada 2 Disember melaporkan wanita berusia 34 tahun itu mengamuk apabila pulang dari kerja dan melihat teman lelakinya berasmara dengan wanita lain di atas katil.


Polis dan penduduk memberitahu kemarahan wanita itu tidak terkawal ketika kejadian 20 November lalu. Dia dibawa ke Hospital Elmhurst untuk pemeriksaan kesihatan, kata polis.


Polis turut menutup sebahagian kawasan bawah apartmen itu buat sementara, sebelum seorang lelaki dipercayai teman lelaki wanita itu dilihat mengutip beberapa barang kepunyaannya.


Video kejadian dikongsi di TikTok dan kini mendapat tontonan lebih 1.5 juta. - Sumber New York Post.


Antara barangan yang dibuang wanita tersebut dari apartment tingkat enam selepas mendapati teman lelakinya curang. - Foto Helayne Seidman.


EmoticonEmoticon