Selasa, 12 Disember 2023

Padah ganggu rakan tidur, lelaki warga asing maut ditetak


Berang kerana diganggu ketika tidur, seorang lelaki Bangladesh bertindak luar kawalan menetak rakan sebilik menggunakan pisau pemotong daging sehingga maut dalam kejadian di Flat Haji Manan, Kluang awal pagi hari ini.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian disedari oleh empat rakan mangsa yang duduk dalam bilik berasingan kira-kira pukul 8 pagi sebelum majikannya menghubungi polis pada pukul 10 pagi.


Katanya, mangsa dikenali sebagai Mohammad Sobuj, 28, yang duduk sebilik dengan suspek Miah Juwel, 27, dipercayai dibunuh kerana mengganggu suspek yang juga rakan sebiliknya yang mahu tidur.


Menurutnya, mangsa ketika ditemui mengalami kecederan di leher dan kepala serta tidak sedarkan diri di sebuah rumah tingkat 3, Blok L, Flat Haji Manan.


"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat.


"Suspek kemudiannya cuba untuk melarikan diri namun berjaya ditangkap di Jalan Nyior berhampiran Taman Gunung Selatan Empat, Kluang kira-kira pukul 4.45 petang tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, polis merampas pisau pemotong daging yang ditemui di tempat kejadian manakala, empat rakan senegara mangsa yang lain turut ditahan untuk membantu siasatan.


"Tangkapan pertama hingga keempat yang berusia 25 hingga 30 tahun menyedari mangsa sudah mati kira-kira 8 pagi ketika mahu ke tempat kerja. Ujian air kencing mereka negatif dadah dan akan direman esok," katanya.


Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Keadaan bilik Mohammad Sobuj selepas dibunuh rakan senegara dengan menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian sebuah rumah Flat Haji Manan, Kluang pagi tadi. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon