Ahad, 3 September 2023

Lelaki ditangkap selepas jumpa wang RM23,000 dalam beg di tempat letak kereta


Seorang lelaki dari Connecticut, Amerika Syarikat menemui sebuah beg yang mengandungi wang tunai hampir AS$5,000 (RM23,237) di tempat letak kereta sebelum memutuskan untuk menyimpannya, lapor laman berita NBC News pada 31 Ogos 2023.


Namun, malang buat lelaki itu kerana tiga bulan kemudian, dia didakwa kerana mencuri wang tersebut.


Menurut polis, beg itu ditanda dengan jelas dengan lambang bank. Ia ditemui di luar bank sama dan mengandungi wang tunai daripada jabatan cukai bandar Trumbull. 


Terdapat juga dokumen di dalamnya yang mengesahkan pemilik sah wang tersebut ialah bandar Trumbull, demikian menurut kenyataan polis.


Lelaki berkenaan, Robert Withington, 56, mendakwa dia tidak mencuri wang itu dan tidak menyedari terdapat dokumen di dalam beg tersebut.


"Ini bukan dirancang dan wang itu masih ada, cuma ketika jumpa wang itu saya seperti mendapat loteri. Itulah sahaja," kata Withington kepada Hearst Connecticut Media.


Wang itu dilaporkan hilang pada 30 Mei lalu. Polis berkata, seorang pekerja pejabat Pemungut Cukai Trumbull tidak dapat mencari beg tersebut selepas tiba di bank untuk membuat deposit pada waktu perniagaan biasa.


Dalam beberapa bulan berikutnya, detektif memperoleh waran geledah, menyemak berbilang video pengawasan daripada perniagaan tempatan dan menjalankan banyak temu bual sebelum mengetahui beg itu telah "dijatuhkan secara tidak sengaja di luar bank" dan Withington telah mengambilnya.


"Saya berjalan keluar ke tempat letak kereta, melihat sesuatu di atas tanah dan tiada sesiapa di sekeliling jadi saya mengambilnya.


"Ia bukan seperti saya mencuri sesuatu, saya tidak fikir saya melakukan sesuatu yang salah," kata Withington kepada Hearst.


Withington didakwa Jumaat lalu atas kesalahan merompak dan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga AS$5,000 (23,237). - Sumber NBC News.


Withington ditangkap polis selepas dia menemui wang sebanyak AS$5,000 di Trumbull baru-baru ini. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon