Khamis, 31 Ogos 2023

Lelaki mabuk renjat kekasih kerana tidur terlalu lama


Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 22 bulan selepas didapati bersalah mengenakan senjata renjatan pada kekasihnya kerana berang wanita itu tidur terlalu lama, lapor portal berita Mirror UK pada 31 Ogos 2023.


Kenneth Donald, 37, menyerang kekasihnya menggunakan pistol renjatan ketika mangsa berbaring di atas katil pagi hari Ahad pada 9 Februari lalu.


Wanita itu, Stephanie Paton, 37, dikatakan tidur terlalu lama selepas kedua-dua mereka mabuk malam sebelumnya di Stirling, Scotland.


Berdasarkan perbicaraan di mahkamah, Donald mengejutkan kekasihnya dan mengugut untuk menggunakan senjata renjatan sekiranya wanita itu enggan bangun.


"Tidak lama kemudian, ketika wanita itu tertidur semula, tertuduh mengambil pistol renjatan dan menembak kaki teman wanitanya.


"Ia menyebabkan mangsa mengalami kesakitan, manakala paha kanan mangsa mengalami lebam dan kesan kemerah-merahan," kata Pendakwa Raya, Laurelle Johnstone.


Mangsa membuat laporan polis pada bulan berikutnya sebelum Donald ditahan pada 30 Mac 2023.


Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun turut merakam insiden itu di mana ia dijadikan bahan bukti utama dalam perbicaraan di mahkamah.


Video tersebut menunjukkan Donald ketawa ketika mengenakan senjata renjatan pada kekasihnya. Donald mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan penderaan domestik. - Sumber Mirror UK.


Donald menggunakan senjata perenjat kerana berang Stephanie Paton tidur terlalu lama. - Foto Tim Bugler.


EmoticonEmoticon