Rabu, 17 Ogos 2022

Gambar UFO paling jelas di dunia didedahkan kepada umum selepas 30 tahun dilapor hilang


Satu imej jelas objek terbang tidak dikenali (UFO) yang dirakam oleh dua pendaki di Scotland lebih 30 tahun lalu akhirnya ditemui semula selepas dianggap sudah hilang, lapor akhbar Mirror UK pada 14 Ogos 2022.


Gambar digelar Calvine Photograph itu memaparkan imej UFO berbentuk seperti berlian, terbang di langit, manakala objek seperti sebuah jet Harrier berada jauh di belakangnya.


Disifatkan oleh banyak pihak sebagai imej UFO terbaik, gambar itu ditemui selepas kajian bertahun-tahun yang dijalankan oleh ahli akademik dan wartawan, Dr. David Clarke.


Menurut laporan, imej tersebut beserta lima imej lain telah dirakam pada 4 Ogos 1990 oleh dua pendaki di tepi bukit berhampiran Calvine, kira-kira 56 kilometer ke barat laut Perth di Scotland.


Menurut dua pendaki yang identiti mereka tidak didedahkan itu, objek logam sepanjang kira-kira 30 meter itu berlegar-legar dan mengeluarkan bunyi deruman kira-kira 10 minit sebelum memecut ke atas langit lalu hilang.


Imej itu diserahkan kepada akhbar tempatan, Daily Record yang kemudian menyerahkannya kepada Kementerian Pertahanan (MoD).


Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, berita mengenai penampakan UFO itu tidak pernah diterbitkan dan tiada sebarang kenyataan lanjut daripada MoD. Imej-imej tersebut pula tidak pernah dipaparkan kepada orang awam sehingga kini.


Clarke, yang pernah bekerja sebagai kurator untuk projek fail UFO MoD di Arkib Negara dan merupakan profesor madya dari Universiti Sheffield Hallam, berjaya menemui foto itu selepas menghubungi bekas pegawai media Tentera Udara Diraja Britain, Craig Lindsay, lapor The Sun.


Lindsay, telah menyimpan salinan imej asal kerana beliau adalah orang yang menjadi penghubung antara akhbar dan MoD apabila cerita asal itu diteliti pada tahun 1990.


Imej itu kini disimpan sebagai arkib di Universiti Sheffield Hallam. Lindsay turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai dua pendaki tersebut agar tampil ke hadapan. - Sumber Mirror UK.


Gambar itu memaparkan imej UFO berbentuk seperti berlian yang sedang terbang langit dan kelihatan seperti sebuah jet Harrier turut berada dari jarak jauh. - Foto Perpustakaan Universiti Sheffield Hallam/Craig Lindsay.


EmoticonEmoticon