Padah lindungi Long Tiger, lelaki berperwatakan wanita dihukum penjara 5 bulan




Seorang lelaki yang berperwatakan seorang wanita dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan oleh Mahkamah Majistret, Sungai Petani, hari ini selepas mengaku salah atas tuduhan melindungi Long Tiger di rumahnya, Disember 2021 lalu.


Tertuduh, Rusli Mat, 47, yang bekerja sendiri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad. Mahkamah memerintah Rusli menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 28 Disember lalu.


Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana melindungi pesalah untuk mengelak daripada ditangkap. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan juga denda.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat dan Zulfadzly Hassan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.


Mengikut pertuduhan, Rusli didakwa melindungi Abdul Hamim Abd. Hamid, 33, atau dikenali Long Tiger di rumahnya bernombor 854A Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil pada 28 Disember lalu.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh dengan rela hati memberi kebenaran kepada Abdul Hanim untuk menyembunyikan diri daripada polis sementara menunggu tekong membawanya ke Indonesia.


Tertuduh juga mengetahui Abdul Hamim merupakan individu yang dikehendaki polis kerana melarikan diri daripada tahanan semasa berada di Mahkamah Tangkak, Johor ketika menghadiri perbicaraan kes mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.


Sebelum itu, pada pukul 10 pagi pada hari yang sama, Rusli telah menerima panggilan daripada Abdul Hanim yang memberitahu mahu menumpang di rumahnya sementara sebelum melarikan diri ke Indonesia.


Terdahulu, Ruzanna memohon mahkamah meringkan hukuman kerana kes tersebut merupakan kesalahan pertama tertuduh, selain dia tidak mempunyai rekod jenayah. Nurul Ainna kemudian menjatuhkan hukuman lima bulan penjara terhadap tertuduh.


Pada 28 Disember tahun lalu, sepasukan polis Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor berjaya menahan Long Tiger di rumah seorang pondan di sebuah rumah di Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani.


Ketika ditahan, penghuninya enggan membuka pintu dan Long Tiger dikesan cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah itu, namun terjatuh. Hasil siasatan mendapati, pondan itu baru sebulan mengenali Long Tiger melalui media sosial dan dipercayai mendapat upah melindungi lelaki yang diburu polis itu.


Long Tiger menjadi buruan polis Johor sejak 15 Disember 2021, kerana melarikan diri dari Mahkamah Tangkak dan diberkas di rumah tersebut 28 Disember 2021 lalu pada pukul 3.15 petang.


Rusli Mat (tengah) yang dihukum penjara selama lima bulan selepas melindungi Long Tiger dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini. - Foto Utusan Online.


EmoticonEmoticon