Jumaat, 31 Disember 2021

Stesen angkasa China 'istana syurga' memasuki orbit awal tahun ini hampir dilanggar satelit Musk


Beijing pada 28 Disember 2021 menuduh Amerika Syarikat (AS) berkelakuan tidak bertanggungjawab dan tidak selamat di angkasa, selepas stesen angkasanya nyaris dilanggar satelit SpaceX milik Elon Musk.

Stesen angkasa Tiangong milik China terpaksa mengambil tindakan 'preventif' untuk mengelak berlaku pelanggaran semasa berdepan dengan dua objek, iaitu satelit Starlink SpaceX.

Pengguna media sosial China turut 'menyerang' Musk dan syarikatnya susulan insiden berkenaan dengan memuatnaik tanda pagar sehingga meraih lebih 90 juta tontonan. China adalah negara yang menggunapakai kereta elektrik Tesla keluaran syarikat Musk.

Menurut nota dikemukakan Beijing kepada agensi angkasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) bulan ini, insiden berlaku pada Julai dan Oktober - tindakan seumpamanya berbahaya kepada kehidupan atau kesihatan angkasawan di Stesen Angkasa China.

"AS mengabaikan kewajipannya di bawah perjanjian antarabangsa, menimbulkan ancaman serius kepada nyawa dan keselamatan angkasawan," kata jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian pada taklimat rutinnya semalam.

Starlink, sebahagian daripada SpaceX, mengendalikan hampir 2,000 satelit bertujuan menyediakan akses internet di kebanyakan ruang di bumi. SpaceX ialah syarikat swasta AS, bebas daripada agensi angkasa lepas awam, NASA dan tentera AS.

Bagaimanapun, China dalam nota kepada PBB, menegaskan ahli Hal Ehwal Angkasa Lepas, juga bertanggungjawab ke atas tindakan oleh entiti bukan kerajaan itu. Bercakap kepada pemberita, jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, enggan menjawab secara khusus tuduhan China itu.

"Kami sudah menggalakkan semua negara yang mempunyai program angkasa untuk menjadi pemain bertanggungjawab dengan mengelakkan tindakan yang boleh membahayakan angkasawan, orang lain yang mengelilingi bumi atau mana-mana yang berpotensi," katanya.

Pergerakan bagi mengelak serta mengurangkan risiko perlanggaran di angkasa semakin kerap berlaku selepas lebih banyak objek mula memasuki orbit Bumi, kata Jonathan McDowell dari Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian.

"Kami benar-benar menyedari peningkatan jumlah pertembungan sejak Starlink mula digunakan. Jika perlanggaran itu berlaku, berkemungkinan boleh meruntuhkan sepenuhnya Stesen Angkasa China dan membunuh semua orang di atas kapal," katanya.

Modul teras stesen China, Tiangong, yang bermaksud 'istana syurga', memasuki orbit awal tahun ini dan ia dijangka beroperasi sepenuhnya tahun depan.

Aduan dikemuka Beijing mengenai Starlink mencetuskan kritikan di saluran Weibo, terutama terhadap pengasasnya, jutawan SpaceX, Elon Musk, yang dikagumi secara meluas di tanah besar itu. Bagaimanapun, SpaceX masih belum memberikan sebarang maklum balas.

Gambar menunjukkan Stesen Angkasa Lepas Tiangong milik China. - Foto China Manned Space Engineering Office.


EmoticonEmoticon