Isnin, 27 September 2021

Saintis Mendakwa Planet Marikh Dulu Ada Air Namun Kini Jadi 'Gurun'


Sekumpulan saintis mendakwa bahawa permukaan planet Marikh yang dahulunya dipenuhi air, kini merupakan gurun yang kering kontang, berkemungkinan disebabkan oleh saiznya yang terlalu kecil untuk mengekalkan kelembapan.


Planet Marikh yang hanya memiliki saiz separuh daripada Bumi merupakan planet kedua paling kecil dalam sistem solar, lapor portal berita Mail Online pada 21 September 2021 lalu.


Penyelidik kanan dari Universiti Washington di St. Louis, Dr. Kun Wang berkata, struktur planet Marikh tidak mempunyai bahan kimia yang diperlukan bagi membolehkannya menyimpan air untuk satu tempoh yang panjang.


Katanya, ia berbeza dengan Bumi, Marikh kehilangan sebahagian besar unsur mudah berubah semasa pembentukannya dan unsur-unsur itu menghasilkan cairan dan elemen lain yang diperlukan untuk kehidupan.


Kajian sebelum ini mendapati bahawa planet merah itu sebelum ini mempunyai air yang lebih banyak berbanding jumlah air di Lautan Atlantik di Bumi. Namun, permukaannya kini kering dan tiada air.


Penjelasan sebelum ini mengenai kekurangan air itu adalah meliputi kelemahan medan magnet yang mengakibatkan kehilangan atmosfera planet itu, lalu menyebabkan air tersejat ke angkasa.


Memetik laporan ahli astronomi antarabangsa pada 26 Julai 2018 lalu, sebuah tasik bawah tanah yang besar telah ditemui buat pertama kali di planet Marikh, sekali gus meningkatkan kemungkinan terdapat lebih banyak sumber air malah kewujudan hidupan.


Menurut laporan diketuai penyelidik Itali yang diterbitkan dalam jurnal sains Amerika Syarikat, ia terletak di bawah lapisan ais dan berkeluasan kira-kira 20 kilometer. Ia merupakan cecair terbesar pernah ditemui di planet merah tersebut.


Air tasik itu bagaimanapun tidak boleh diminum dan terletak hampir 1.5 km di bawah permukaan berais dalam persekitaran dingin. Penemuan itu dibuat menggunakan peralatan radar Pengorbit Ekspres Marikh milik Agensi Angkasa Eropah yang dilancarkan pada 2003.


Marikh yang kini sejuk dan kering dipercayai pernah mempunyai persekitaran yang lembap serta pernah mempunyai beberapa sumber air serta tasik kira-kira 3.6 bilion tahun lalu.


Saintis kini sedang mencari tanda air kontemporari kerana penemuan sedemikian adalah kunci untuk merungkai misteri sama ada hidupan pernah wujud di planet merah itu.


"Ini adalah penemuan penting yang luar biasa, dan terikat untuk meningkatkan spekulasi mengenai kehadiran organisma hidup di Planet Merah," kata Fred Watson, Astronomi Australia.


Berbeza dengan Bumi, Marikh kehilangan sebahagian besar unsur mudah berubah semasa pembentukannya. - Foto NASA.

Ia merupakan cecair terbesar pernah ditemui di planet merah tersebut. - Foto Reuters.


EmoticonEmoticon