Isnin, 23 Ogos 2021

Parah Ditetak Ketika Cari Pencuri Burung Murai Cerek


Seorang lelaki parah ditetak tiga lelaki ketika cuba mencari pencuri burung murai cerek miliknya dalam kejadian di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Kampung Pauh Jabit, Tawang, di Bachok.


Mangsa berusia 42 tahun itu dilaporkan putus ibu jari kanan selain luka terbelah di kepala, betis kanan dan lutut kiri akibat ditetak tiga lelaki dengan golok dan pedang dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam.


Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 5.35 petang menerusi panggilan kecemasan MERS 999.


Katanya, mangsa mencari Farid yang disyaki mencuri burungnya di rumah Jiji yang didakwa tempat dia selalu melepak, namun orang dicari tiada di situ dan berlaku pergaduhan antara mereka sebelum mangsa diserang.


"Lokasi tersebut merupakan rumah rakan Farid yang bernama Jiji, namun Farid tiada di situ menyebabkan mangsa dilapor bertengkar dengan lelaki berkenaan, suspek bersama dua lagi rakannya kemudian menyerang mangsa menggunakan sebilah golok dan sebilah pedang.


"Mangsa rebah di lokasi dan dihantar ke Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Kata Mohamad Ismail, susulan kejadian tersebut, polis sedang giat memburu tiga suspek yang dikenali sebagai Jiji, Jimi serta seorang lagi rakan mereka bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


Keadaan seorang lelaki yang parah ditetak menggunakan golok dan pedang di Kampung Pauh Jabit, Tawang, Bachok petang semalam.


EmoticonEmoticon