Jumaat, 23 April 2021

Ponteng kerja 15 tahun tetap menerima gaji penuh RM2.7 juta

Gambar Hospital Ciaccio di Catanzaro, Itali.


Seorang pekerja di sebuah hospital Itali didakwa tidak hadir ke tempat kerja selama 15 tahun sehingga digelar 'Raja ponteng'. Tetapi, apa yang mengejutkan adalah dia menerima gaji penuh selama tempoh itu.


Menurut lapor akhbar Daily Star, kelmarin, lelaki berkenaan dikatakan tidak hadir ke Hospital Ciaccio di Catanzaro sejak 2005 dan perbuatannya itu dikatakan memecahkan rekod kebangsaan tidak datang bekerja di Itali.


Dia juga dilaporkan dibayar gaji dengan keseluruhannya sebanyak £464,000 (RM2.7 juta), walaupun tidak datang bekerja setiap hari sepanjang tempoh itu. Agensi berita Itali melaporkan bahawa lelaki berusia 67 tahun itu kini disiasat bagi kesalahan penipuan, pemerasan dan penyalahgunaan jawatan.


Turut disiasat bagi kes tersebut ialah enam orang pengurus di hospital yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan. Penahanan dibuat hasil siasatan polis berkenaan amalan ponteng kerja dan dakwaan penipuan dalam kalangan pekerja sektor awam di Itali.


Lelaki berkenaan merupakan pekerja sektor awam dan ditugaskan di hospital itu pada tahun 2005 namun dia tidak hadir ke tempat kerja, kata polis. Dia turut didakwa mengugut pengurusnya supaya tidak melaporkan tindakan dia itu.


Selepas pengurus berkenaan pencen, ketidakhadiran lelaki itu tidak disedari pengurus seterusnya atau petugas bahagian sumber manusia. Dikatakan orang yang tidak datang bekerja adalah masalah di sektor awam di Itali.


Siasatan yang diberi nama Part Time menyaksikan polis mengumpulkan bukti daripada rekod gaji, laporan kehadiran dan bercakap dengan saksi seperti rakan sekerja.


Pada 2016, kerajaan Itali memperketat undang-undang terhadap mereka yang gemar ponteng kerja selepas beberapa siasatan polis berprofil tinggi mengetahui sebilangan besar masalah berkenaan berlaku di sektor awam.


EmoticonEmoticon