Khamis, 22 April 2021

Fosil gajah purba 'raksasa' berusia lebih 30 ribu tahun ditemui di Gopeng, Perak

Gajah Stegodon. - Foto Earth Archives.

Sekumpulan saintis Universiti Malaya (UM) menemui fosil gajah purba Stegodon pertama di dalam negara dengan anggaran kasar usia antara 30,000 hingga 80,000 tahun di dalam sebuah gua batu kapur terletak di Gopeng, Perak, pada Oktober 2020 lalu.


Untuk pengetahuan, sesetengah jenis gajah Stegodon ini memiliki tubuh jauh lebih besar dibandingkan dengan gajah moden, ada yang mencecah berat sehingga 13 tan dengan tinggi sehingga tiga setengah meter, gadingnya juga berukuran jauh lebih panjang dari gajah biasa. Namun, bukan semua spesies gajah Stegodon ini berukuran 'raksasa' ada yang kecil iaitu Stegodon Sondaari yang berasal dari Flores dengan berat hanya 350 hingga 400 kilogram.


Penemuan fosil gajah purba berkenaan antara genus Proboscidea daripada keluarga Stegodontidae yang sudah lama pupus. Penyelidikan itu diketuai saintis dari Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Dr Ros Fatihah Muhammad dengan kerjasama ahli paleontologi vertebrat dan zooarkeologi dari Persatuan Paleontologi Malaysia, Lim Tze Tshen.


Menurut Dr Ros Fatihah, penemuan itu hasil maklumat kumpulan peneroka gua, Kinta Valley Watch selain tinjauan serta kajian pasukan penyelidik. Gajah purba itu berbeza dengan spesies moden Asia (Elephas maximus) yang masih wujud di Malaysia dari segi morfologi, ekologi dan taksonomi.



Katanya, Perak mempunyai kepelbagaian spesimen dan spesies Proboscidea paling tinggi di Malaysia, sekurang-kurangnya dua atau tiga jenis Proboscidea berlainan pernah hidup di Semenanjung (Stegodon sp, Elephas maximus dan berkemungkinan juga Palaeoloxodon namadicus).


Beliau berkata, penemuan itu amat penting dari segi biogeografi dengan implikasi terhadap pembinaan semula sejarah laluan migrasi biota zaman Pleistosen, termasuk manusia. Kajian setakat ini menunjukkan tinggalan hidupan ini tidak berasosiasi dengan manusia purba.


Fosil itu dikenal pasti sebagai Stegodon oleh Tze Tshen, juga hasil maklumat dari perkongsian pakar dari seluruh dunia. Ros Fatihah berkata, gajah purba itu mungkin mati pada usia kurang dua tahun, susulan hasil proses pengimejan dilakukan pakar gigi dari Fakulti Pergigian UM, Prof Madya Dr Norliza Ibrahim dan Dr Mohd Azmi Abdul Razak.


"Saya berharap kerajaan negeri mewartakan kawasan penemuan ini supaya dilindungi daripada pencerobohan dan boleh dicadangkan sebagai geotapak baharu, Geopark Lembah Kinta.


"Terdapat bukti di lokasi penemuan Stegodon dan tapak paleontologi lain, menunjukkan tinggalan haiwan telah pupus pernah wujud di Semenanjung seperti orang utan, badak sumbu Sumatera, badak raya Java, beruang hitam Asia dan satu spesies tikus kuno sudah lama pupus.


"Kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara bukit batu kapur daripada ancaman kuari sebagai contoh, penemuan fosil dari gua ini sebab kukuh bagi pemeliharaan berterusan," katanya.


Sementara itu, Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim, menyifatkan penemuan itu sebagai tonggak sejarah dalam kajian paleontologi Kuaterner di Malaysia dengan pasukan berkenaan berjaya membuka lembaran baharu bidang kajian terbabit.


"Setakat ini, hanya dua sarjana doktor falsafah dianugerahkan dalam bidang ini, masing-masing berkenaan fosil dan paleo-ekologi mamalia besar serta fosil dan paleo-ekologi tikus.


"Beberapa penerbitan dihasilkan mengenai penemuan tapak fosil mamalia baharu berpotensi tinggi di Semenanjung dan penentuan umur geologi tapak lama dengan menggunakan kaedah terkini," katanya. - Sumber Harian Metro.


Proses ‘casting’ oleh pakar gigi dari Fakulti Pergigian Universiti Malaya. - BH Online

Fosil gigi Stegodon yang dianggar secara kasar berusia di antara 30 ke 80 ribu tahun terenap di dalam sedimen gua. - Foto BH Online

Fosil gigi Stegodon yang telah dikeluarkan dari dinding gua. - Foto BH Online


EmoticonEmoticon