Selasa, 9 Mac 2021

Kena Tipu Jual Duit Syiling Lama, Pelajar Kerugian RM5,250

Nik Ezanee.

PETALING JAYA - Teruja kononnya akan mendapat RM80,000 hasil 'jualan' duit syiling lama, seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di Damansara terpaksa berputih mata apabila hangus RM5,250 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan.


Pada mulanya wanita berusia 18 tahun itu menerima pesanan dari laman sosial Instagram daripada lelaki warga asing bertanya mengenai wang syiling atau wang lama untuk dijual, kononnya berminat ingin membeli keping syiling tersebut.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pelajar itu mendakwa menerima mesej menerusi Instagram daripada seorang suspek warga asing yang menawarkan RM80,000 untuk membeli lapan keping wang syiling lama tanpa mengira nilai mata wang.


Katanya, suspek kemudian kononnya bersetuju untuk memasukkan sejumlah wang RM80,000 ke dalam akaun mangsa sebaik sahaja pelajar itu menunjukkan wang syiling lama yang dimilikinya menerusi aplikasi WhatsApp.


"Mangsa hanya berurusan dengan suspek melalui WhatsApp yang mana suspek menggunakan nombor antarabangsa. Mangsa menunjukkan wang syiling yang dimiliki kepada suspek dan dia bersetuju dengan syiling yang ditunjukkan," katanya.


Nik Ezanee berkata, selepas itu mangsa menyerahkan nombor akaun miliknya untuk suspek memasukkan wang hasil jualan itu. Suspek kemudian menyatakan wang sudah dimasukkan tetapi disekat untuk pengeluaran dan meminta mangsa memasukkan wang caj transaksi berjumlah RM800.


"Mangsa tidak mempunyai wang sebanyak itu. Dia kemudian memasukkan RM100 sahaja ke dalam nombor akaun dipercayai milik seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai 'keldai akaun'," katanya.


Beliau berkata, suspek tidak berpuas hati dengan jumlah yang dimasukkan oleh mangsa dan sering menghubungi mangsa serta membuat pelbagai alasan supaya memasukkan lagi wang, kononnya wang RM80,000 itu sudah diterima oleh mangsa.


"Akibatnya, wanita terbabit melakukan tujuh transaksi ke dalam akaun yang sama berjumlah RM5,250 bagi tujuan pelepasan wang yang disekat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambahnya, mangsa yang tidak mengetahui muslihat suspek mula menyedari ditipu apabila lelaki itu masih meminta wang daripadanya, namun tidak menyuruhnya menghantar syiling lama tersebut, mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis pada 1 Mac lalu.


Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam urusan jual beli apa jua barang supaya tidak mudah ditipu dengan pelbagai muslihat licik penjenayah. Tiada urus niaga mudah dalam talian yang boleh membawa keuntungan yang berlipat kali ganda kepada kita.


EmoticonEmoticon