Ahad, 28 Mac 2021

Dua anak khayal dadah, ibu pegang parang halang AADK buat tangkapan


Seorang ibu sanggup menunggu di luar pintu rumah sambil memegang parang bagi menghalang dan menggagalkan usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak menahan dua anaknya yang sedang khayal menghisap dadah di dalam rumahnya di Batu Kurau, hari ini.


Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Perak, A Reuben berkata, bagaimanapun wanita berusia 60-an itu berjaya dipujuk anggotanya dalam masa 30 minit manakala dua anaknya berusia 18 dan 20 tahun itu ditahan selepas cuba meloloskan diri dengan memanjat bumbung rumah.



Menurutnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah penagih tegar yang dikehendaki selepas berjaya meloloskan diri dalam beberapa serbuan sebelum ini.


"Kerjasama daripada ahli keluarga penting dalam membantu proses pemulihan bagi seseorang penagih dadah. Jika sikap ahli keluarga enggan bekerjasama dengan mempertahankan suspek, ia akan menyukarkan seseorang penagih itu untuk pulih daripada gejala dadah," katanya.


Beliau berkata, operasi bermula 1 pagi hingga 12 tengah hari, hari ini di Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) itu berjaya menahan 36 lelaki termasuk seorang tokan dadah.


Menurutnya, tokan berusia 45 tahun itu ditahan bersama 55.29 gram dadah disyaki morfin yang dianggarkan bernilai RM1,000 mengikut harga pasaran. Suspek diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


"Seramai 35 suspek lain berusia 16 hingga 56 tahun didapati positif dadah jenis ganja, morfin, syabu menerusi ujian saringan awal air kencing dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1998.


"Usaha membanteras penagihan dan pengedaran dadah di kawasan LMS akan diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan penduduk kawasan itu," katanya.


EmoticonEmoticon