Rabu, 17 Mac 2021

Dapat Wang Kertas 'Rare', Lelaki Ini Bakal Bergelar Orang Kaya


Alangkah indah hidup ini jika semua yang kita inginkan tiba-tiba jatuh dari langit. Bagai bulan jatuh ke riba, namum hakikatnya dunia tidak begitu. Setiap yang datang adalah hasil dari usaha. Namun, kisah lelaki ini pula sebaliknya, apabila dia dapat wang kereta 'tanpa muka' yang bakal menjadikannya bergelar orang kaya 'segera'.


Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah peribahasa yang sesuai digambarkan betapa bertuahnya seorang lelaki di Britain apabila dilaporkan telah menjumpai sekeping wang kertas yang mempunyai nilai yang tinggi kerana kesalahan cetakan atau juga dikenali sebagai matawang error.


Untuk melihat dan merujuk berkaitan matawang error ini amatlah susah kerana tiada bahan rujukan yang dapat membincangkannya. Namun kehadiran matawang error itu boleh diumpamakan seperti satu tuah dan eset yang bernilai tinggi kerana ianya adalah sebahagian daripada keluarga koleksi matawang yang sentiasa dicari oleh penggemarnya.


Memetik laporan The Sun, lelaki yang dikenali sebagai Peter Coleman dikatakan bakal bergelar orang kaya baharu selepas secara tidak sengaja memiliki wang kertas £10 (RM57.30) yang dicetak tanpa wajah Ratu Elizabeth.


Coleman yang juga merupakan seorang persara berumur 72 tahun itu pada mulanya terkejut melihat wang kertas miliknya itu tiada wajah monarki Britain seperti wang kertas lain. Dia mendakwa memperoleh wang ganjil itu ketika menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) baru-baru ini.



Menurut Coleman, mulanya dia hanya menganggap wang kertas itu tidak boleh digunakan kerana kesilapan semasa proses cetakan, namun ia disahkan tulen dan mempunyai nilai sama seperti wang kertas £10 lain. Hal tersebut mula disedari apabila Coleman cuba menggunakan wang itu di sebuah kedai serbaneka.


Pekerja di situ pada mulanya enggan menerima wang tanpa wajah itu tetapi mengubah fikiran apabila mesin pengesan wang palsu menunjukkan nilainya tidak berubah dan sah digunakan, namun Coleman akhirnya tidak membelanjakan wang tersebut.


"Saya memberitahu pekerja itu bahawa saya mahu menyimpannya kerana berasakan ia akan membawa tuah," katanya penuh harapan.


Tambah Coleman, dia tidak akan teragak-agak untuk melelong wang kertas bertuahnya itu jika ada pihak yang berminat membelinya. Mengikut pakar-pakar pengumpul koleksi wang kertas, wang tanpa wajah £10 milik Coleman dianggarkan mampu mencecah ribuan pound jika dilelong.


Secara ringkasnya, terdapat beberapa kategori kesilapan yang berlaku sehingga menyebabkan sesuatu wang kertas itu dikategorikan sebagai matawang error, seperti cetakan bertindih, alur cetak(warna pudar), tersilap potong menyebabkan terdapat lebihan baki kertas pada wang dan potongan tidak sama besar.


Terdapat banyak lagi kategori kecacatan yang ditemui dalam pelbagai kesilapan dijumpai. Oleh demikian, sekiranya selepas ini korang temui wang yang tersalah cetak atau lain daripada yang lain mungkin wang tersebut juga boleh dilelong dan bernilai tinggi.


EmoticonEmoticon