Sabtu, 14 November 2020

Wanita khayal hiris kemaluan kawan lelakinya


Georgetown: Kerana lalok selepas mengambil dadah, seorang wanita menghiris kemaluan rakan lelakinya menyebabkan kecederaan. Difahamkan ketika itu mereka sedang khayal selepas mengambil dadah di Pasar Bandar Baru Farlim di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima panggilan daripada mangsa jam 7.55 pagi yang memaklumkan kemaluannya telah cedera.


Siasatan telah dijalankan mendapati suspek yang berusia 38 tahun itu pergi ke pejabat mangsa yang terletak berdekatan pasar tersebut pada jam 6.30 pagi. Mereka kemudiannya mengambil dadah dan berada dalam keadaan khayal.


"Akibat terlalu khayal, mangsa kemudiannya tidak sedarkan diri.


"Bagaimanapun, mangsa menyedari kemaluannya cedera dan berdarah dipercayai dihiris selepas sedar daripada khayal manakala suspek menghilangkan diri," katanya ketika dihubungi.


Katanya, mangsa dipercayai dicederakan menggunakan objek tajam. Pemeriksaan mendapati kecederaan dialami tidak serius dan kini dirawat di hospital.


"Suspek yang belum berkahwin ditahan di Paya Terubong, Air Itam pada jam 9 pagi semalam dan dia didapati positif methamphetamine serta mempunyai tiga rekod jenayah lampau.


"Semakan mendapati, mangsa mempunyai rekod psikiatri di Hospital Pulau Pinang. Beberapa barang kes termasuk sebilah gunting dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa telah di rampas," katanya.


Soffian berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.


EmoticonEmoticon