Jumaat, 18 April 2025

Gara-gara curi RM30, pemandu bas hilang pencen RM370,000

Gara-gara curi RM30, pemandu bas hilang pencen RM370,000


Seorang pemandu bas yang berkhidmat selama 29 tahun hilang wang pencen lebih 12 juta yen (RM370,803) selepas dipecat kerana mencuri duit tambang penumpang sebanyak 1,000 yen (RM30).


Pentadbiran Bandar Kyoto memecat lelaki yang tidak dinamakan itu selepas kamera keselamatan bas merakam dia mengambil wang tambang berjumlah 1,000 yen pada 2022.


Selepas dinafikan pakej persaraan lebih 12 juta yen, pemandu itu menyaman pentadbiran Bandar Kyoto tetapi kalah kes tersebut.


Sebuah mahkamah lebih tinggi kemudian memihak kepadanya dengan alasan hukuman dikenakan adalah berlebihan.


Bagaimanapun, Mahkamah Agung semalam menyampaikan keputusan muktamad memihak kepada Bandar Kyoto dan mengembalikan semula keputusan asal.


Menurut mahkamah berkenaan, perbuatan lelaki itu boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap sistem dan operasi perkhidmatan bas.


Pemandu itu turut ditegur beberapa kali sepanjang kerjayanya berhubung pelbagai insiden, demikian menurut keputusan mahkamah.


Ini termasuk menghisap rokok elektronik berulang kali semasa bertugas, walaupun ketika tiada penumpang di dalam bas.


Bandar Kyoto memuji keputusan itu.


"Jika langkah tegas tidak diambil, organisasi kita boleh menjadi cuai dan menghakis kepercayaan orang awam," kata pegawai biro pengangkutan awam Kyoto, Shinichi Hirai. - Sumber Daily Mail.


Gambar fail 27 April 2020 menunjukkan seorang pemandu bas duduk di dalam kenderannya di Tokyo. - Foto AFP.

Khamis, 17 April 2025

Penumpang cemas, tayar pesawat Garuda Indonesia tercabut ketika mendarat

Penumpang cemas, tayar pesawat Garuda Indonesia tercabut ketika mendarat


Penumpang sebuah pesawat Garuda Indonesia mengalami detik cemas apabila salah satu rodanya tercabut ketika mendarat di lapangan terbang, lapor laman berita Kompas pada 16 April 2025.


Kejadian membabitkan penerbangan GA-288 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Banten menuju ke Lapangan Terbang Raja Haji Fisabilillah, Tanjung Pinang, wilayah Riau.


Berdasarkan video tular yang dimuat naik di aplikasi X semalam (16/4/2025), sebuah tayar pesawat dilihat bergolek dengan laju di luar landasan ketika pesawat mendarat.


Turut didengari adalah suara kru penerbangan yang meminta penumpang duduk serta kekal bertenang.


Pengarah Operasi Garuda Indonesia, Tumpal M Hutapea berkata, pesawat Boeing 737-800 yang membawa 161 penumpang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada Rabu (semalam), pukul 7.20 pagi (waktu tempatan).


Ia kemudian mendarat di Lapangan Terbang Raja Haji Fisabilillah pada pukul 8.35 pagi (waktu tempatan).


Tumpal berkata, semua penumpang dan anak kapal berada dalam keadaan selamat walaupun tayar pesawat tercabut.


Menurutnya, pesawat itu telah memenuhi standard piawaian operasi (SOP) dan keselamatan penerbangan.


"Proses penggantian tayar pesawat juga telah dijalankan melalui pemeriksaan rapi bagi memastikan pesawat tersebut layak beroperasi.


"Garuda Indonesia mengesahkan bahawa semua prosedur pemeriksaan pra penerbangan telah dijalankan dengan teliti oleh pasukan teknikal yang diberi kuasa," jelasnya.


Tambah Tumpal, hasil pemeriksaan menunjukkan tayar longgar tidak menyebabkan gangguan lain kepada keseluruhan sistem pesawat.


"Komponen tayar yang mengalami masalah telah diganti dengan alat ganti baharu mengikut piawaian kesesuaian operasi," katanya. - Sumber Kompas.com.


Tangkap layar video menunjukkan roda pesawat tercabut di luar landasan. - Foto Istimewa.

Rabu, 16 April 2025

Kuat cemburu punya pasal, wanita kelar telinga bekas suami

Kuat cemburu punya pasal, wanita kelar telinga bekas suami


Seorang penjual bebola daging mengaku mengelar telinga bekas suaminya di hadapan gerainya di Pattaya, lapor laman berita Thaiger pada 16 April 2025.


Kejadian berlaku pada pukul 2.36 pagi (waktu tempatan) hari ini.


Menurut wanita dikenali sebagai Uraiwan itu, dia mula bertengkar dengan bekas suaminya, Adisak selepas mangsa melihat dia berbual dengan pelanggan lelaki.


"Dia dalam keadaan mabuk dan cemburu. Saya menyuruhnya pulang dan tidur tetapi dia menampar saya.


"Saya mengambil pisau dan mengelar telinganya. Saya tidak bermaksud untuk mencederakannya seteruk itu," kata Uraiwan.



Selepas serangan itu, Uraiwan berasa panik lalu segera menelefon perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.


Anggota kecemasan dan polis bergegas ke Soi Kor Pai selepas menerima laporan kejadian itu di luar gerai makanan jalanan lewat malam.


Setibanya di tempat kejadian, responden mendapati Adisak, 41, dari Chon Buri, berlumuran darah dan memegang telinganya, yang telah dikelar teruk. Dia diberi pertolongan cemas segera sebelum dibawa ke hospital tempatan.


Bercakap kepada polis, wanita berusia 48 tahun itu mendakwa walaupun mereka telah bercerai selama lebih lima tahun, Adisak berulang kali menganggunya terutama ketika dia mabuk.


Polis sedang menyiasat kes itu. - Sumber The Thaiger.


Uraiwan mengaku mengelar telinga bekas suaminya. - Foto Pattaya News.

Isnin, 14 April 2025

Seorang lelaki maut dalam letupan gas yang memusnahkan rumah

Seorang lelaki maut dalam letupan gas yang memusnahkan rumah

 

Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an terbunuh dalam insiden letupan gas di Nottinghamshire yang memusnahkan sebuah rumah, lapor akhbar The Sun UK pada 13 April 2025.


Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke John Street, bandar Worksop pada pukul 7.39 malam (waktu tempatan) selepas letupan berlaku di sebuah rumah semalam.


Rumah teres itu musnah, manakala kerosakan ketara turut berlaku pada beberapa kediaman lain.


Mayat mangsa kemudian ditemukan di bawah runtuhan kediaman tersebut.


"Ini adalah kejadian sangat serius yang menyebabkan kematian seorang lelaki. Saya pasti insiden mengejutkan masyarakat di Worksop," kata Ketua Inspektor Polis Nottinghamshire, Clive Collings.


Sebahagian penduduk di John Street telah dipindahkan, manakala siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca letupan.


Penduduk Jonathan Hodson, 51, menyifatkan mendengar 'letupan yang hebat' sambil menambah: "Panel pagar bergegar dan tingkap bergegar."


Karolina Ciolko, yang tinggal berdekatan, berkata: "Saya segera melihat ke luar tingkap dan melihat asap.


"Kereta di hadapan saya bergoyang dan penggera berbunyi. Kami segera berlari keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku." - Sumber The Sun UK.


Sebuah rumah musnah dalam letupan gas di John Street. - Foto LNP.

Ahad, 13 April 2025

Sempat guna 130 hari, wanita jalani pembedahan buang buah pinggang babi

Sempat guna 130 hari, wanita jalani pembedahan buang buah pinggang babi


Seorang wanita telah menjalani pembedahan untuk membuang buah pinggang babi selepas badannya mula menolak organ berkenaan.


Menurut kenyataan doktor, sebelum ini wanita dari Alabama, Amerika Syarikat (AS) Towana Looney menjalani pemindahan buah pinggang babi dan menggunakannya selama 130 hari.


Beliau yang menjadi pesakit ujian dalam kajian pemindahan organ haiwan kepada manusia (xenotransplantasi), kini kembali menjalani rawatan dialisis selepas buah pinggang babi itu dikeluarkan pada 4 April lalu di NYU Langone Health.


Beliau kini telah pulang ke kediamannya di Gadsden, Alabama lima hari kemudian selepas pembedahan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.


Dalam satu kenyataan, Looney mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan yang merawatnya serta peluang untuk menjadi sebahagian daripada penyelidikan bersejarah itu.


"Walaupun hasilnya tidak seperti yang diharapkan, saya tahu banyak perkara telah dipelajari daripada pengalaman saya selama 130 hari menggunakan buah pinggang babi.


"Ini boleh membantu serta memberi inspirasi kepada ramai lagi dalam usaha mengatasi penyakit buah pinggang," katanya.


Para saintis kini giat melakukan pengubahsuaian genetik terhadap babi bagi menjadikan organ haiwan itu lebih menyerupai manusia dalam usaha menangani kekurangan organ penderma untuk pemindahan.


Di Amerika Syarikat, lebih 100,000 individu berada dalam senarai menunggu pemindahan organ, majoritinya memerlukan buah pinggang dan ribuan daripadanya meninggal dunia sebelum mendapat organ yang diperlukan.


Sebelum ini, hanya empat rakyat AS pernah menerima pemindahan organ babi yang telah diubah suai secara genetik secara eksperimen iaitu melibatkan dua jantung dan dua buah pinggang.


Namun semuanya bertahan kurang daripada dua bulan, kesemua penerima sebelum ini merupakan pesakit kritikal dan tidak dapat diselamatkan.


Walaupun percubaan kali ini tidak berjaya sepenuhnya, para penyelidik percaya ia membawa maklumat penting untuk kemajuan bidang xenotransplantasi dan memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan organ pemindahan.


Gambar fail Looney ketika rawatan sebelum menerima buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik di NYU Langone Health, New York pada 11 Disember lalu. - Foto AFP.

Sabtu, 12 April 2025

Hasrat PATI China cari kerja di Malaysia tak kesampaian apabila dicekup di Sungai Golok

Hasrat PATI China cari kerja di Malaysia tak kesampaian apabila dicekup di Sungai Golok


Hasrat seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China untuk bekerja di negara ini tidak kesampaian apabila dicekup di tebing Sungai Golok dekat Tanah Merah semalam.


Suspek yang berusia 38 tahun itu ditahan Tentera Darat Malaysia (TDM) kira-kira pukul 10.30 malam sebaik sahaja mendarat di tebing sungai tersebut dengan menaiki sebuah bot.


Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) berkata, pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan di kawasan itu mendapati sebuah bot di tebing Sungai Golok berhampiran kawasan hutan.


Menurutnya, pemeriksaan mendapati, suspek merupakan warga China berdasarkan kepada penemuan dokumen peribadi iaitu kad pengenalan dan pasport yang masih sah.


"Suspek mendakwa telah membayar sejumlah wang kepada ejen yang menjanjikan peluang pekerjaan di negara ini.


"Nilai barangan peribadi termasuk mata wang China dan Thailand yang ditemui bersama PATI adalah dianggarkan sebanyak lebih RM13,900," katanya.


Tambahnya, suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya. - Sumber Kosmo Online.


Anggota tentera menahan seorang PATI warga China di kawasan hutan berhampiran tebing Sungai Golok dekat Tanah Merah semalam. - Foto Dua Divisyen.

Jumaat, 11 April 2025

Lelaki maut terkena renjatan elektrik guna telefon yang dicas ketika banjir

Lelaki maut terkena renjatan elektrik guna telefon yang dicas ketika banjir


Seorang lelaki maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas dalam kejadian banjir di rumahnya di Kampung Padang Jawa, Shah Alam petang tadi.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, maklumat diterima pihaknya daripada orang awam pada jam 6.11 petang.


Menurutnya, mangsa yang maut berusia 24 tahun dan bekerja sebagai pekerja penghantar barang.


"Mayat mangsa ditemui tertiarap dalam keadaan memakai t-shirt tanpa lengan warna biru gelap dan seluar pendek warna hitam.


"Tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh mangsa yang boleh menyebabkan kematian. Siasatan awal mengesyaki mangsa terkena renjatan elektrik semasa menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas dalam keadaan rumah dinaiki banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim," ujarnya.


Sehubungan itu, Mohd Iqbal menasihati orang ramai agar lebih berwaspada menggunakan peralatan elektrik dan elektronik semasa musim banjir bagi mengelakkan risiko terkena renjatan elektrik.


Seorang lelaki maut disyaki terkena renjatan elektrik ketika banjir di rumahnya di Padang Jawa, Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian.

Khamis, 10 April 2025

Pasangan lelaki dan wanita pecah dobi, larikan peti besi wang pertukaran token

Pasangan lelaki dan wanita pecah dobi, larikan peti besi wang pertukaran token


Seorang pengusaha dobi layan diri kerugian RM1,500 selepas premis perniagaannya dipecah masuk dua penjenayah di Simpang Sekayu, Batu 24, Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini.


Lelaki berusia 62 tahun itu menyedari kesan umpilan pada mesin pertukaran token dobi sebaik tiba di premis terbabit pada pukul 6.45 pagi.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, semakan rakaman CCTV mendapati perbuatan jenayah tersebut dilakukan pasangan lelaki dan wanita.


"Berdasarkan rakaman tersebut, dua penjenayah terbabit dilihat mengumpil dinding luar mesin pertukaran token itu.


"Mereka kemudiannya memotong peti besi mengandungi wang tunai menggunakan 'grinder' (mesin pencanai besi)," katanya ketika dihubungi hari ini.


Sharudin berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek yang disyaki telah melarikan peti besi terbabit.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.


Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan dua individu disyaki memecah masuk dobi di Simpang Sekayu, Batu 24, Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini. - Foto Kosmo Online.

Selasa, 8 April 2025

Lelaki 'joging' dalam keadaan bogel rupanya ada masalah mental

Lelaki 'joging' dalam keadaan bogel rupanya ada masalah mental


Seorang remaja lelaki ditahan selepas berlari dalam keadaan bogel di simpang tiga, Persiaran Kayangan, Seksyen 8 di Shah Alam pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden itu pada jam 8.30 pagi.


"Sepasukan anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Seksyen 6 segera digerakkan ke lokasi dan menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.


"Remaja tersebut berjaya dipujuk dan ditenangkan sebelum dibawa ke balai polis.


"Anggota Balai Polis Seksyen 6 telah memberikan pakaian kepada remaja tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Iqbal berkata, remaja itu didapati hanya boleh berintraksi menggunakan isyarat tangan dan dia telah menulis nombor telefon orang yang boleh dihubungi.


"Seorang lelaki telah hadir ke balai polis dan memaklumkan bahawa anak saudaranya itu tinggal bersamanya di Seksyen 9, Shah Alam.


"Remaja itu mengalami masalah gangguan mental serta pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.


"Remaja terbabit kini diserahkan kepada bapa saudaranya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Shah Alam," katanya.


Tangkap layar video tular memaparkan seorang remaja lelaki berlari dalam keadaan bogel di Seksyen 8, Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian.

Isnin, 7 April 2025

Buruh binaan panjat kren setinggi 126 meter selepas terdengar bisikan

Buruh binaan panjat kren setinggi 126 meter selepas terdengar bisikan


Seorang buruh binaan memanjat menara kren setinggi kira-kira 126 meter di sebuah kawasan tapak pembinaan bangunan di Luyang, Penampang pada awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, lelaki berusia 40-an terbabit mendakwa dia tidak menyedari perbuatannya namun hanya terdengar bisikan untuk naik ke puncak kren sebaik bangun dari tidur.


Susulan kejadian itu, orang awam yang ternampak lelaki terbabit bertindak menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.57 pagi.


"Menurut laporan, lelaki terbabit berada di hujung menara kren di kedudukan atas bangunan dan ketika kejadian, lelaki tersebut berjaya turun dengan sendiri dari ketinggian 126 meter dalam keadaan selamat.


"Menurut lelaki tersebut, dia bukan berniat mahu membunuh diri tetapi dalam keadaan tidak sedar seperti ada bisikan selepas bangun waktu subuh," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, lelaki terbabit kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


"Operasi turut ditamatkan pada jam 8.02 pagi selepas anggota kami memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian," katanya.


Seorang lelaki memanjang menara kren tanpa disedarinya selepas mendakwa terdengar bisikan sebaik bangun tidur awal pagi tadi dalam kejadian di kawasan tapak pembinaan di Luyang, Penampang di Sabah. - Foto Sinar Harian.