Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan

Sabtu, 30 Mac 2024

Dua remaja cedera dikelar di kepala bergaduh rebut seluar jean

Dua remaja cedera dikelar di kepala bergaduh rebut seluar jean


Dua remaja cedera dengan seorang daripada parah kerana bergaduh berebut sepasang seluar jean di Pattaya awal pagi Khamis, lapor portal berita The Pattaya News pada 29 Mac 2024.


Kejadian berlaku sekitar pukul 1.26 pagi (waktu tempatan) berhampiran Jeti Bali Hai, Pattaya Selatan.


Salah seorang mangsa yang cedera dikenali sebagai Wanarach berusia 19 tahun bersetuju untuk membeli seluar jean itu daripada seorang kenalannya pada harga 600 baht (RM77.95).


Bagaimanapun, seorang lagi rakan penjual itu yang diiringi oleh sekumpulan remaja menuntut mangsa memulangkan seluar jean tersebut kepada mereka.


Apabila Wanarach enggan berbuat demikian, rakan penjual dan kumpulan remaja terbabit menyerang Wanarach dan kawannya.


Mangsa dikelar di kepala dengan pisau dan mengalami luka serius, manakala seorang rakannya yang dikenali sebagai Wachirawich, 20, turut cedera dalam pergaduhan itu.


Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan. Polis masih menyiasat kejadian itu dan sedang mencari suspek. - Sumber The Pattaya News.


Satu pergaduhan melibatkan seluar jean berlaku di Pattaya awal pagi Khamis (28/3/2024). - Foto The Pattaya News.

Jumaat, 29 Mac 2024

Rumah dipecah masuk, pencuri larikan 200 peluru dan shotgun

Rumah dipecah masuk, pencuri larikan 200 peluru dan shotgun


Rumah seorang penoreh getah dipecah masuk dan senjata api miliknya turut dilarikan dalam kejadian di Kampung Air Kuning Selatan, di Tampin pada Rabu lalu.


Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima jam 9.51 malam pada Rabu (27/3/2024).


Menurutnya, selaras senapang patah jenis 12 bore lesap dalam kejadian itu.


"Ketika kejadian antara jam 2.30 petang hingga 8 malam, mangsa yang merupakan pemilik senjata api iaitu lelaki berusia 60 tahun tiada di rumah dan berada di Gemas.


"Turut didapati hilang, 200 butir peluru 12 bore dan satu peti simpanan senapang," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Katanya, polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin melalui 06-4431999 atau 06-4411222," katanya.


Rumah seorang penoreh getah dipecah masuk dan senjata api miliknya turut dilarikan dalam kejadian di Kampung Air Kuning Selatan, di Tampin pada Rabu lalu (Gambar hiasan).

Khamis, 21 Mac 2024

Siapa punya wang RM500,000 ditinggal di parkir pusat beli-belah?

Siapa punya wang RM500,000 ditinggal di parkir pusat beli-belah?


Polis meminta pemilik sebuah bagasi berisi wang lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat parkir kereta pusat beli-belah di Damansara supaya tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagasi berwana merah jambu dan putih itu ditemukan seorang pengawal keselamatan kira-kira pukul 8 pagi semalam.


"Di dalam bagasi tersebut, terdapat wang tunai not RM10, RM50 dan RM100.


"Kami meminta pemilik beg ini supaya tampil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya bersama bukti berkaitan bagi mengesahkan wang tersebut adalah miliknya," katanya pada sidang akhbar di IPD Subang Jaya hari ini.


Hussien memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lokasi tersebut tidak dapat memberikan bukti yang mencukupi berkenaan pemilik wang tunai tersebut.


"Di tempat parkir itu terdapat CCTV, namun bukan di kawasan beg itu dijumpai. CCTV tersebut dipasang di kawasan keluar masuk kenderaan," ujarnya.


Menurut Hussien, pihaknya percaya wang tunai yang dijumpai itu adalah tulen dan akan mendapatkan pengesahan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dalam masa terdekat.


"Susulan itu, kita membuka siasatan di bawah kertas inkuiri polis berkaitan penemuan wang berkenaan.


"Jika pemilik ingin menuntut wang berkenaan, kita minta turut membawa bukti-bukti berkaitan. Bagaimanapun sekiranya ia tidak dituntut, wang ini kita akan serahkan kepada pihak mahkamah untuk tindakan selanjut," katanya.


Wang tunai yang dijumpai dalam bagasi di tempat parkir di pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya pada Rabu. - Foto Sinar Harian.

Rabu, 20 Mac 2024

Bank alami gangguan, pelanggan boleh keluar wang 'tanpa had' lebih RM189 juta

Bank alami gangguan, pelanggan boleh keluar wang 'tanpa had' lebih RM189 juta


Pengguna sebuah bank komersial terbesar di Ethiopia ibarat mendapat durian runtuh apabila mereka bebas mengeluarkan jumlah wang yang dikehendaki, gara-gara berlaku gangguan sistem pada awal pagi Sabtu lalu, lapor BBC News pada 18 Mac 2024.


Pelanggan Commercial Bank of Ethiopia (CBE) mendapat maklumat bahawa mereka boleh mengeluarkan wang melebihi baki dalam akaun mereka.


Media tempatan melaporkan lebih AS$40 juta (RM189 juta) dikeluarkan atau dipindahkan ke akaun bank lain sebelum CBE berjaya membekukan semua transaksi setelah beberapa jam.


Presiden CBE, Abe Sano berkata, kebanyakan wang itu dikeluarkan oleh penuntut universiti setelah khabar angin tentang kejadian tersebut.


"Barisan panjang dapat dilihat di mesin teler automatik (ATM) di beberapa kampus. Mereka berlumba-lumba keluarkan wang sehingga polis tiba," jelas laporan itu lagi.


Salah seorang pelajar University Institute of Technology memberitahu, dia tidak percaya apabila dimaklumkan oleh rakannya.


Seorang lagi penuntut di Dilla University di selatan Addis Ababa berkata, sejumlah rakannya mengeluarkan wang dari ATM antara waktu tengah malam dan 2 pagi (waktu tempatan).


Lebih 38 juta merupakan pemegang akaun CBE yang ditubuhkan kira-kira 82 tahun lalu.


Sementara itu, Bank Pusat Ethiopia yang bertindak sebagai badan induk sektor kewangan menjelaskan 'gangguan' itu berlaku ketika aktiviti penyelenggaraan dan pemeriksaan.


Sebanyak tiga universiti mengeluarkan kenyataan meminta penuntut yang terlibat supaya mengembalikan wang yang bukan milik mereka.


"Sesiapa yang memulangkan wang tidak akan didakwa atas kesalahan jenayah," kata Abe Sano.


Seorang pelajar dari Universiti Jimma berkata, dia tidak mendengar mengenai sesiapa memulangkan wang itu, namun menambah, dia melihat kenderaan polis berada di kampus. - Sumber BBC News.


Ibu pejabat CBE di Addis Ababa. - Foto AFP.
Lelaki maut ditikam kerana minum air oren rakan ketika buka puasa

Lelaki maut ditikam kerana minum air oren rakan ketika buka puasa


Seorang lelaki warga Bangladesh maut ditikam rakan sekerja ketika berbuka puasa di asrama pekerja sebuah kilang di Seksyen 36 di Shah Alam, semalam.


Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.20 malam pada Selasa.


Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek iaitu seorang lelaki Pakistan berusia 51 tahun berang apabila mangsa meminum air orennya ketika berbuka puasa.


"Hasil siasatan polis mendapati mangsa adalah seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 49 tahun dan bekerja sebagai pekerja am. Mangsa dan suspek tinggal bersama-sama di dalam kontena yang dijadikan sebagai asrama kilang.


"Kejadian berpunca daripada suspek marah apabila mangsa meminum air orennya semasa berbuka puasa yang mana suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, suspek kemudian ditahan pada 7.30 malam di lokasi kejadian dan semakan mendapati mereka adalah rakan sekerja.


Katanya, turut dirampas adalah pisau yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.


"Suspek akan direman hari ini di Makamah Shah Alam, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.


Anggota polis membawa keluar mayat mangsa yang mati ditikam oleh rakan sekerjanya ketika berbuka puasa di asrama pekerja sebuah kilang di Seksyen 36, Shah Alam, Selangor pada Selasa. - Foto Sinar Harian.

Sabtu, 16 Mac 2024

Lelaki dicekup selepas kali ketiga datang curi duit tabung masjid

Lelaki dicekup selepas kali ketiga datang curi duit tabung masjid


Tindakan seorang lelaki mencuri wang daripada tabung Masjid Che Mohid di Guntung, Setiu tidak berhasil apabila dia ditahan pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, perbuatan lelaki berusia 50 tahun itu berjaya dihidu selepas kakitangan masjid berkenaan menerima notifikasi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui telefon bimbit, Khamis lalu.


"Imam tersebut menerima notifikasi rakaman CCTV melalui telefon bimbit sekitar jam 5 pagi yang mengesan berlaku pergerakan di dalam masjid.


"Apabila diperiksa dia mendapati seorang lelaki telah memasuki ruang solat dalam masjid dan mengambil duit daripada tabung masjid berkenaan.


"Suspek juga merupakan orang yang sama dilihat melakukan perbuatan itu sehari sebelum kejadian," katanya ketika dihubungi di Setiu, hari ini.


Afandi berkata, selepas dikesan mencuri duit tabung masjid, suspek sekali lagi muncul dalam keadaan mencurigakan di ruangan solat lelaki di masjid itu sekitar jam 3 petang pada Jumaat.


Katanya, suspek cuba melarikan diri selepas terserempak dengan imam dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang cuba mendekatinya.


"Ketika itu berlaku sedikit pergelutan menyebabkan suspek cedera pada bahagian muka sebelum berjaya ditangkap.


"Suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," ujarnya. - Sumber Sinar Harian.


Tindakan seorang lelaki mencuri duit tabung masjid terbongkar apabila perbuatannya itu dirakam CCTV. - Foto Sinar Harian.
Wanita jumpa wang hampir RM300,000 dalam van mini miliknya

Wanita jumpa wang hampir RM300,000 dalam van mini miliknya


Seorang wanita tidak menyangka menemui sebuah beg mengandungi wang tunai sebanyak 1.2 bilion dong (RM238,958) di dalam van mini miliknya, lapor portal berita VNEXpress pada 15 Mac 2024.


Nguyen Thi Luc, 44, menemui beg tersebut selepas dia menghantar bekalan telur kepada penjaja di sebuah pasar tempatan di Hanoi pada Rabu lalu.


Selepas melakukan penghantaran, dia menemui wang tersebut di dalam beg plastik dan bertanya kepada beberapa orang di sekitar van mini itu tetapi mereka mengaku bukan pemiliknya.


Dia kemudian membawa wang itu ke balai polis terdekat.


Pasukan polis yang melakukan pencarian menyeluruh selama tiga jam akhirnya berjaya mengesan pemilik wang tunai itu yang merupakan seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Le Duc Son.


Dia memperoleh wang itu selepas menjual sebidang tanah pada hari sebelumnya.


"Anak lelaki Son mengambil beg berisi wang itu dan secara tidak sengaja meninggalkannya di sekitar pasar Dinh," kata seorang ketua polis tempatan, Le Duy Hoa.


Polis membuat dokumentasi yang diperlukan sebelum menyerahkan semula wang itu kepada Son. Dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Luc dan para pegawai kerana mendapatkan semula wangnya. - Sumber VNExpress.


Nguyen Thi Luc bertanya kepada orang berhampiran selepas menemui beg plastik dengan wang tunai sebanyak 1.2 bilion dong di dalam van mininya pada 13 Mac 2024. - Foto diperoleh oleh VnExpress.