Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan

Ahad, 10 Januari 2021

Khidmat lori 'King Kong' selamatkan mangsa banjir di Pahang

Khidmat lori 'King Kong' selamatkan mangsa banjir di Pahang


KUANTAN - Sepanjang 13 tahun mengendalikan jentera berat lori pembuang (dumper truck) dalam aktiviti perlombongan, tidak pernah terlintas di fikiran Sadri Asreil Sahair khidmatnya diperlukan untuk menyelamatkan mangsa banjir, menghantar bekalan makanan serta kakitangan kesihatan ke lokasi penugasan di Lipis, Pahang.


Sadri Asreil, 35, berkata, operasi menyelamat mangsa banjir bermula Isnin lalu selepas polis di Lipis, kira-kira 213 kilometer dari sini, meminta bantuan jentera itu yang kemudian digelar orang ramai sebagai 'King Kong', bagi mengeluarkan mangsa banjir kerana paras air naik mendadak.


Katanya, pihak syarikat mengarahkannya dan seorang lagi rakan yang turut mengendalikan jentera sama, meninggalkan semua tugasan mereka secara serta-merta dan mengikut pegawai polis berkenaan ke lokasi yang diarahkan.


"Kali pertama saya tiba di kawasan banjir, orang ramai kelihatan tertanya-tanya mengapa saya di situ sebelum menjadi teruja selepas melihat kami mengambil mangsa banjir pertama, dari situ mereka sedar kedatangan kami ialah untuk membantu.


"Operasi menyelamat berlangsung dari 12 tengah hari hingga 7 malam, sebelum kami terpaksa menghentikan operasi atas faktor keselamatan kerana cuaca mulai gelap dan air semakin tinggi," katanya di sini, pada Sabtu.



Anak jati Lipis itu berkata, selain menyelamatkan mangsa banjir, khidmat King Kong juga digunakan untuk menghantar bekalan makanan serta kakitangan kesihatan ke lokasi penugasan.


Walaupun semangatnya masih berkobar-kobar untuk membantu, beliau terpaksa akur apabila King Kong 'masuk bengkel' hanya selepas tiga kali perjalanan kerana beberapa komponen enjin dimasuki air dan perlu dibaiki yang dijangka mengambil masa seminggu.


"Walaupun hanya dapat membantu sekejap, perkara ini akan menjadi kenangan seumur hidup. Letih dan penat hilang apabila mendengar ucapan terima kasih. Memandu dalam keadaan banjir juga menguji kemahiran saya kerana tidak tahu apa yang berada dalam air banjir.


"Saya membawa mangsa banjir dan setiap percaturan yang dibuat semasa memandu bukan hanya melibatkan diri sendiri tetapi banyak nyawa menyebabkan saya sering mengingatkan diri supaya tidak gopoh dalam membuat sebarang keputusan," katanya.


Mengulas mengenai gelaran King Kong, Sadri Asreil berkata, julukan itu diberikan orang awam kerana saiz jentera yang besar. Sadri Asreil mengaku turut terharu dengan kata-kata baik yang diberikan orang awam terhadap bantuan kecil mereka selepas gambar dan video 'King Kong' beraksi membantu mangsa banjir tular menerusi media sosial.


Rabu, 25 November 2020

Asteroid sebesar hampir 1 kilometer rempuh orbit Bumi hujung minggu ini

Asteroid sebesar hampir 1 kilometer rempuh orbit Bumi hujung minggu ini


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) meramalkan sebutir asteroid menyamai saiz bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa (828 meter) dan diameter 0.51 kilometer (510 meter) akan merempuh orbit Bumi, dengan jarak paling hampir dijangka pada 29 Nov ini, lapor akhbar Daily Star.


Menurut NASA, asteroid yang dinamakan 153201 2000 WO107 itu kini bergerak di angkasa lepas pada kelajuan 90,123 ki­lometer sejam. Bagaimanapun, asteroid gergasi yang diklasifikasikan sebagai Asteroid Menghampiri Bumi (NEA) itu tidak mungkin melanggar Bumi atau menyebabkan malapetaka.


Orang ramai tidak dapat ­melihatnya menggunakan te­leskop biasa dari Bumi, dijangka asteroid itu akan membuat lintasan pada pukul 10.09 pagi waktu ­Greenwich. Kehadiran asteroid itu memberi peluang kepada saintis untuk mengkajinya dengan lebih terperinci.


2000 WO107 dikategorikan sebagai objek hampir dengan Bumi (NEO) kerana berada dalam lingkungan 1.3 batu astronomi dari Bumi. Walaupun kedengaran seperti sangat hampir, namun realitinya jika dihitung jarak kilometer ia terlalu jauh dari Bumi.


Batu gergasi tersebut turut dikelaskan sebagai asteroid Apollo yang mana ia akan bertembung dengan orbit Bumi ketika bergerak di angkasa. Asteroid itu diramal tidak akan menghentam Bumi.


Berdasarkan Pelan Tindakan dan Strategi Kesiapsiagaan NASA, NEO yang mempunyai saiz 1 kilometer boleh mengakibatkan kemusnahan dahsyat. Pada 29 Nov 2000, asteroid sama telah dikenal pasti saintis New Mexico buat kali pertama.


Asteroid adalah objek atau batu tanpa udara yang dihasilkan daripada kesan pembentukan sistem suria sekitar 4.6 bilion tahun lalu. Pakar-pakar astronomi mengesan hampir 2,000 aste­roid, komet dan objek lain yang dikatakan menjadi ancaman kepada Bumi.


Baca: Jadi jutawan segera, batu dari langit jatuh atas bumbung dijual RM7.6 juta

Isnin, 23 November 2020

Lelaki menjala ikan maut dipanah petir

Lelaki menjala ikan maut dipanah petir


Alor Setar: Petir adalah keadaan cuaca yang paling berbahaya dan sering dihadapi oleh kalangan individu yang aktif setiap tahun. Kes terbaru petang kelmarin, satu kemalangan melibatkan seorang lelaki meninggal dunia akibat disambar petir ketika menjala ikan di kawasan sawah yang dilimpahi air banjir.


Dalam kejadian jam 4.17 petang itu, mangsa, Mohamad Tajudin Yob, 49, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian di Kampung Gulau, Pokok Sena, di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa dipercayai sedang menjala ikan sebelum disambar petir dan orang awam yang nampak kejadian itu menghubungi polis.


"Jasad mangsa ditemui berhampiran lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk tindakan lanjut. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi hari ini.


Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang tiba di lokasi jam 4.45 petang.


"Operasi disertai seramai lapan anggota yang diketuai Pegawai Bomba Mohd Asri Samsudin bersama dua jentera.


"Setibanya di lokasi didapati mangsa dipercayai disambar petir dan terjatuh ke dalam kawasan sawah yang dilimpahi air banjir," katanya.


Mohamadul Ehsan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Khamis, 11 Januari 2018

Fenomena Aneh berlaku Di Gurun Sahara Apabila Gurun Diliputi Salji Tebal

Fenomena Aneh berlaku Di Gurun Sahara Apabila Gurun Diliputi Salji Tebal

Salji turun di Gurun Sahara

Bila kita mendengar tentang padang pasir, fikiran kita terus terbayang akan gurun yang luas, panas terik tanpa dibasahi hujan. Namun, apa yang berlaku di Gurun Sahara Ahad lalu dianggap ganjil. Ribut Salji tiba-tiba melanda, salji turun meliputi sebahagian Gurun Sahara di Algeria sehingga setebal 40 sentimeter.

Masa ini, pelbagai laporan tentang perubahan iklim dunia tidak menentu, membolehkan kejadian ini berlaku. Fenomena Salji turun di Gurun Sahara dan kawasan sekitarnya adalah kali keempat berlaku dalam tempoh 37 tahun, kali pertama pada18 Februari 1979.

Gurun Sahara di utara Algeria, lazimnya digambarkan dengan lapangan tandus, berpasir merah diganti dengan salji memutih menutupinya. Suhu yang mencecah 1 darjah Celsius, menarik minat penduduk di bandar Ain Sefra bergembira menyertai aktiviti meluncur tebing bukit yang dilapisi salji.

Mengikut laporan Daily Mail, salji mula turun awal pagi Ahad sebelum mencair sekitar 5 petang. Ain Sefra dikenali sebagai 'Pintu Masuk' ke Gurun Sahara, yang biasanya mencatat suhu sekitar 35 darjah Celsius pada bulan Julai dan Ogos.

Salji turun di Gurun Sahara

Salji turun di Gurun Sahara

Pada Disember 2016 juga, bandar yang digelar 'Pintu Masuk' itu diliputi salji tebal. Turut menyebabkan beberapa kederaan terkandas akibat jalan raya menjadi licin apabila ditutupi ais. Rantau itu menerima angin sejuk yang bertiup ke Afrika Utara berikutan tekanan tinggi di benua Eropah, mengundang fenomena ribut salji berlaku.

Keadaan sejuk bukan suatu yang luar biasa di kawasan yang terletak antara hamparan padang pasir dan pergunungan Atlas. Pada Januari 2017 tahun lalu, sekali lagi salji turun di bandar itu dan kekal agak lama hinggakan kanak-kanak boleh membina orang salji. Ain Sefra terletak kira-kira 1,000 meter dari paras laut dan di kelilingi pergunungan Atlas.