Pemandu disyaki terbabit dalam video tular memaparkan dua kereta menguji kelajuan di Jambatan Putra, Putrajaya baru-baru ini, sudah ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, kenderaan jenis Proton dan Honda yang digunakan oleh kedua-dua lelaki tempatan berusia 19 dan 21 tahun dalam video tular itu turut disita.
"Hasil siasatan mendapati kedua-dua individu terbabit berada di lokasi kejadian bagi tujuan berkumpul dan menghasilkan kandungan untuk dimuat naik ke media sosial serta bukan bertujuan untuk berlumba.
"Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berusia 21 tahun tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan yang dipandunya tamat tempoh," katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, kedua-dua pemandu terbabit dikenakan tindakan saman trafik, manakala ujian air kencing ke atas mereka didapati negatif penggunaan dadah.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan beliau memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti menguji kelajuan atau berlumba di jalan awam.
"Orang awam dinasihatkan supaya tidak menghasilkan kandungan media sosial yang membabitkan aksi pemanduan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya.
Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengesan individu serta kereta yang terbabit dalam aksi menguji kelajuan di Jambatan Putra, Putrajaya.
Aidi Sham dilapor berkata, kejadian itu dikesan menerusi klip video berdurasi 25 saat yang tular selepas dimuat naik di aplikasi Threads.
Hantaran video itu memaparkan rakaman aksi dua kenderaan dipercayai menguji kelajuan di Jambatan Putra.

EmoticonEmoticon