Jumaat, 11 September 2026

140 PATI pelbagai warganegara dihantar pulang ke negara asal


Seramai 140 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dihantar pulang ke negara asal menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2, pada Rabu.


Jabatan Imigresen (Imigresen) Kedah dalam kenyataan berkata, PATI terbabit turut dikenakan tindakan senarai hitam dalam sistem agensi itu bagi menghalang mereka daripada memasuki semula Malaysia pada masa akan datang.


Katanya, PATI yang dihantar pulang terdiri daripada 117 lelaki, 21 wanita dan dua kanak-kanak lelaki, membabitkan warga Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, China, Vietnam, Kemboja dan Kenya.


"Kesemua mereka sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik selepas melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


"Mereka juga sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang sebelum proses pemindahan dilaksanakan," menurut kenyataan itu.


Menurut kenyataan itu, kos tiket penerbangan bagi proses penghantaran pulang berkenaan ditanggung tahanan, ahli keluarga atau Kedutaan negara masing-masing.


Katanya, program pemindahan itu adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan Imigresen Kedah bagi membanteras kehadiran dan aktiviti PATI di negara ini.


"Imigresen Kedah akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan, pengesanan, penahanan, pendakwaan dan penghantaran pulang PATI bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara terus terpelihara," katanya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon