Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengingatkan orang ramai yang mahu berkunjung ke Thailand khususnya mereka yang membawa kenderaan supaya mendapatkan lesen memandu fizikal dengan bayaran RM20.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah, berkata ia bagi mengelak rakyat Malaysia daripada dikenakan saman oleh pihak berkuasa Thailand.
"JPJ memang ada mengeluarkan lesen fizikal dengan bayaran RM20 sahaja. Untuk pemanduan dalam negara sudah memadai lesen digital, namun untuk ke Thailand memerlukan lesen fizikal.
"Selain lesen fizikal, mereka yang mahu ke luar negara juga boleh berkunjung ke mana-mana kaunter JPJ untuk mendapatkan Permit Memandu Antarabangsa (IDP).
"Berhubung rakyat Malaysia yang dikenakan saman oleh pihak berkuasa Thailand baru-baru ini berikutan gagal mengemukakan lesen fizikal, itu adalah bidang kuasa pihak berkuasa di negara berkenaan.
"Bagi mengelak tindakan itu berulang, kita menasihatkan orang ramai yang mahu ke negara jiran supaya membawa lesen fizikal," katanya selepas menghadiri Program Kucha Sugho Queen Ekspress, di Kota Bharu.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pemandu Malaysia disaman sebanyak 1,000 baht kerana gagal menunjukkan lesen memandu fizikal dalam sekatan jalan raya di Hat Yai, Thailand.
Ketika pemeriksaan, wanita berkenaan menunjukkan lesen memandu Malaysia versi digital melalui aplikasi MyJPJ, namun pegawai berkenaan memaklumkan bahawa polis Thailand hanya mengiktiraf lesen memandu Malaysia dalam bentuk fizikal bagi warganegara Malaysia, atau Permit Memandu Antarabangsa (IDP) bagi warga asing.
Mengulas lanjut Mohd Misuari berkata, sebelum ini pihaknya ada mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan pihak berkuasa di Narathiwat berhubung lesen digital yang terpakai di negara ini.
"Kita rakyat Malaysia terkenal dengan disiplin dan saya berharap kita dapat kekalkan disiplin dengan mengambil tahu peraturan di negara yang kita lawati," katanya.

EmoticonEmoticon