Rabu, 15 Julai 2026

Tiga anggota polis samun warga asing di Alor Setar dicekup


Tiga anggota polis ditahan kerana disyaki menyamun warga asing dalam dua kejadian berasingan di Kota Setar dan Kubang Pasu.


Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian 1 Julai lalu, suspek dipercayai ke sebuah rumah di Lorong Aman, Jalan Langgar dengan menunggang motosikal jenis skuter, sambil memperkenalkan diri sebagai polis.


Katanya, suspek juga menunjukkan pakaian polis yang dipakai di dalam jaket dan meminta pengadu menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik mangsa, isteri dan tiga anaknya.


"Mangsa menyerahkan kad UNCHR mereka kepada suspek tetapi lelaki itu mengambil telefon bimbit mangsa kerana tidak mahu dirakam.


"Suspek juga didakwa membuka sepasang subang emas daripada telinga isteri pengadu dan memasukkan ke dalam poket seluarnya.


"Selepas menyerahkan semula telefon bimbit dan semua kad UNHCR kepada lelaki itu, dia kemudian beredar dengan motosikalnya, " katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.


Adzli berkata, mangsa yang tidak berpuas hati kemudian membuat laporan yang membawa kepada tangkapan suspek berusia 26 tahun pada 12.30 tengah hari 2 Julai lalu.


"Semakan mendapati suspek bertugas di IPK Kedah, tiada rekod jenayah lampau. Kita merampas kad kuasa PDRM, dua telefon bimbit, sepasang subang emas, motosikal dan lain-lain barang untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.


Sementara itu dalam kes 27 Jun lalu, beliau berkata, dua anggota polis ditahan selepas didakwa merampas wang tunai RM1,750 di penempatan etnik Rohingya di Padang Sera, Kubang Pasu pada 12.20 tengah malam.


Menurutnya, ketika kejadian suspek bersama tiga yang lain memakai jaket polis dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa, melakukan pemeriksaan ke atas rumah yang dihuni lima mangsa.


"Mereka melarikan diri selepas merampas sejumlah wang dan semua suspek berjaya ditahan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan itu sebelum diserah kepada polis," katanya yang memaklumkan dua suspek disahkan anggota polis bertugas di Perlis.


Adzli berkata, seorang daripada lima suspek mempunyai dua rekod jenayah dan dadah, manakala pihaknya merampas dua kad kuasa polis, empat vest polis, tiga unit gari, lampu suluh, telefon bimbit dan wang tunai RM600.


EmoticonEmoticon