Enam rakan masing-masing empat lelaki warga China dan dua wanita warga Myanmar didenda RM1,200 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia 2026.
Majistret Chia Huey Ting menjatuhkan hukuman itu terhadap Yang Zhilong, 31, Zhou Bao, 31, Xu Kai, 26, dan Ma Jiahao, 24, serta dua warga Myanmar, Khaing Moe Nwe, 27, dan Le Kyar Hkyan, 23.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama membuat pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia 2026 di sebuah kondominium di Persiaran Mahsuri, Sungai Nibong Kecil, Bayan Baru, pada jam 6.45 petang, 1 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Affandi Zulkifli, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa rayuan, kesemua tertuduh memohon hukuman denda minimum, namun pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Sementara itu, lima daripada tertuduh iaitu Yang Zhilong, Zhou Bao, Xu Kai, Ma Jiahao dan Khaing Moe Nwe turut mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan kerana tidak memiliki pas yang sah untuk berada di negara ini.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk memasuki Malaysia ketika ditahan di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali.
Ketika prosiding, Ikmal Affandi memaklumkan semakan pihak imigresen mendapati tiada rekod laluan imigresen bagi mereka.
Susulan itu, empat tertuduh warga China memaklumkan kepada mahkamah mereka telah berada di Malaysia antara 20 hingga 30 hari selepas memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum datang ke Pulau Pinang dengan menaiki kereta. Khaing Moe Nwe pula memaklumkan telah berada di negara ini lebih sebulan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap Yang Zhilong, Zhou Bao dan Xu Kai, manakala Ma Jiahao serta Khaing Moe Nwe masing-masing didenda RM3,300.
Kesemua mereka turut diperintahkan dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

EmoticonEmoticon