Jumaat, 16 Februari 2024

Pemandu lori didakwa tipu projek ladang kelapa sawit membabitkan kerugian RM1.02 juta


Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini atas pertuduhan menipu pengarah urusan berkaitan tender pajak ladang kelapa sawit membabitkan kerugian lebih RM1.02 juta, tahun lalu.


Tertuduh, M. Gopala Krishnan, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibicarakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Yap Koh Cheng, 69, untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan tender pajak ladang kelapa sawit.


Tindakan itu dengan curangnya telah mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM1,029,000, yang mana dia tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdaya sedemikian.


Kesalahan itu dilakukan tertuduh di kawasan Perindustrian Lendu, dalam daerah Alor Gajah pada Jun 2023.


Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM45,000 dengan mengambil kira faktor kesalahan dilakukan tertuduh melibatkan nilai kerugiaan yang tinggi.


Tertuduh yang diwakili peguam K. Shareveen dan Daniel Savarimuthu bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh mempunyai lima anak yang masih kecil berusia satu hingga 10 tahun.


Tambahnya, anak guamnnya juga hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan dan perlu menjaga ibu yang sakit.


Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Azaraorni kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sekali setiap bulan dan pasport diserahkan ke mahkamah.


Beliau turut menetapkan tarikh 18 Mac depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.


Semalam, media melaporkan, seorang pengarah syarikat kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya melabur dalam tender pajak ladang kelapa sawit di dua negeri kononnya membabitkan keluasan 1,092.65 hektar.


Ia bermula apabila pengadu yang berasal dari Paya Mengkuang, Masjid Tanah, Alor Gajah, dihubungi seorang lelaki dikenali sebagai 'Neliar pada Jun 2023.


Suspek kemudian menawarkan kepada pengadu satu tender pajak gadai ladang kelapa sawit di Ipoh, Perak yang berkeluasan 1,500 ekar (607.03 hektar) dan di Melaka berkeluasan 1,200 ekar (485.62 hektar).


Suspek juga memberitahu tender berkenaan akan dibuka pada 17 Julai 2023 hingga 31 Oktober 2023 dan hasil perbincangan dia berjaya meyakinkan pengadu untuk memasuki tender berkenaan.


Pengadu kemudian diminta mendepositkan wang berjumlah RM15,000 untuk menyertai tender dan dijanjikan akan menerima sijil menang tender.


Bermula 17 Julai 2023 hingga 2 Januari lalu, pengadu sudah membuat 45 kali bayaran secara berperingkat ke dalam enam akaun bank berbeza iaitu tiga syarikat dan tiga individu berjumlah keseluruhan kira-kira RM1.03 juta.


Selepas bayaran dibuat, pengadu dimaklumkan berjaya masuk dan memenangi tender terbabit serta akan diberikan sijil memenangi tender, namun dia berasa diperdaya dalam urusan itu apabila sehingga kini masih tidak menerima sijil itu seperti dijanjikan.


Pengadu kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah pada 19 Januari lalu.


Tertuduh (baju merah) diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon