Ahad, 4 Februari 2024

Ditahan ketika berpesta dengan 'penculik' selepas dapat wang tebusan dari keluarganya


Akibat kehabisan wang, seorang lelaki yang bercuti di Pattaya, Thailand cuba mendapatkan bantuan keluarganya dengan meminta rakannya menyamar sebagai penculik, lapor laman berita Oddity Central pada 2 Februari 2024.


Ian Robbie Day, 48, dari Portsmouth, England, memalsukan penculikannya dan meminta wang tebusan kepada keluarganya bagi menampung perbelanjaan di bandar itu.


Day meyakinkan keluarganya dengan meminta rakan menumbuk mukanya dan membiarkannya lebam supaya gambar yang dihantar kepada keluarganya kelihatan asli.


Beberapa rakannya juga menyamar sebagai penculik bertopeng yang dirakam di dalam sekeping gambar, untuk menjadikan kisah penculikan itu boleh dipercayai.


Percubaan Day menjadi kerana selepas melihat gambar berkenaan menyebabkan keluarganya panik dan melaporkan kepada polis mengenai kes penculikan itu.


Sementara Day tidak menyangka Polis Antarabangsa (Interpol) akan terbabit dalam kes 'penculikannya' hingga dapat menjejakinya dengan cepat di sebuah hotel dekat Pattaya.


Dalam satu serbuan pada 26 Januari lalu, polis menemui Day sedang berpesta dengan individu dikatakan penculik. Day dilaporkan berada di tengah-tengah pesta dadah bersama tiga lagi warga asing.


Kesemua suspek ditangkap atas tuduhan memiliki senjata api dan peluru yang tidak dibenarkan, memiliki dadah kategori satu, dan visa tamat tempoh.


"Lelaki itu berbual dalam iMessage dan FaceTime dengan saudara-maranya di UK," kata Leftenan Kolonel Polis Sorasak Saengcha kepada wartawan.


"Dia menghantar gambar dirinya diserang, dan kemudian selepas mengalami kecederaan, dia mengambil gambar dirinya seperti dipukul.


"Keluarganya bimbang dan mereka menghubungi polis di UK dan Interpol dimaklumkan. Interpol menghubungi polis Thailand dan kami mengesan lelaki itu. Tetapi apabila kami tiba mereka sedang mengadakan pesta," tambah Saengcha.


Mereka berkemungkinan besar akan dihantar pulang. - Sumber Oddity Central.


Warga asing yang ditahan kerana memalsukan penculikan. - Foto Bangkok Post.


EmoticonEmoticon