Khamis, 10 Ogos 2023

Comel tapi ganas, seekor memerang kerap menyerang peluncur air dan merosakkan peralatan


Seekor memerang laut liar dikehendaki kerana bukan sahaja menyerang peluncur air dan pelayar di California, malah mencuri serta merosakkan papan luncur, lapor laman berita New York Post, bulan lalu.


Pihak berkuasa hidupan liar di bandar Santa Cruz iaitu kira-kira 90 minit pemanduan ke selatan San Francisco, sudah menyiarkan amaran kepada orang ramai mengenai hidupan itu yang dikatakan adalah seekor memerang betina berusia lima tahun.


Selama berminggu-minggu memerang itu menyerang peluncur, tetapi sejak kebelakangan ini kegiatan curi papan luncur dilakukan memerang berkenaan semakin meningkat.


Dalam video menakjubkan yang disiarkan pada Isnin di Twitter mendapati memerang itu memanjat papan peluncur. Haiwan itu menggoncang menyebabkan individu itu melepaskan peralatan sukan air tersebut.


Foto lain menunjukkan memerang itu juga menyerang peluncur lain. Pada satu ketika haiwan itu mula menggigit papan luncur dicurinya dan mamalia itu melakukan aksi itu tidak henti-henti.


"Disebabkan risiko keselamatan awam yang semakin meningkat, satu pasukan dari Jabatan Ikan dan Hidupan Liar California (CDFW) dan Monterey Bay Aquarium yang dilatih menangkap dan mengendalikan memerang laut dikerahkan menangkap dan menempatkannya semula," kata agensi Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat (AS).



Di AS, sehingga awal abad ke-20, memerang laut biasanya diburu untuk mendapatkan kulit mereka menyebabkan bilangan haiwan itu semakin berkurangan hampir ke tahap kepupusan.


Haiwan terancam itu dipercayai terdapat kira-kira 3,000 daripadanya di perairan utara Pasifik. Menemui memerang laut jarang berlaku oleh peluncur, penggemar kayak dan pelayar.


Dengan kepala kecil mereka menonjol keluar dari air semasa mereka berenang, kadang-kadang terbalik, ramai cenderung menganggap memerang laut adalah haiwan yang comel.


Tetapi haiwan ini sebenarnya adalah pemangsa yang agresif dan gigitannya berbahaya. Tingkah laku seekor memerang betina di perairan Santa Cruz itu adalah luar biasa, dan pakar hairan mengenai perkara itu. - Sumber New York Post.


Pekerja hidupan liar di California sedang memburu memerang laut yang agresif menyerang peluncur. - Foto Instagram.


EmoticonEmoticon