Isnin, 8 Mei 2023

Lelaki curi stok sotong, ikan di hadapan sebuah kedai direman 6 hari


Salah seorang suspek kes curi bekalan ikan dan sotong di hadapan sebuah kedai makan di Kompleks Perniagaan Guar Utama di Guar Chempedak, dekat Yan pada awal pagi Khamis lalu ditahan pada hari sama kejadian berlaku.


Terdahulu, beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal bertindak melarikan stok hasil laut itu yang diletakkan di hadapan sebuah premis tular di media sosial.


Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pemilik kedai makan itu pada pukul 8 pagi.


Katanya, kehilangan melibatkan empat kotak stok ikan dan dua kotak stok sotong yang berharga RM1,000.


"Pemilik berumur 37 tahun itu memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Y15 telah mengambil kesemua stok bekalan untuk kegunaan kedai makannya.


"Susulan laporan itu, kita berjaya menahan seorang suspek berusia 25 tahun yang merupakan pekerja kilang di rumahnya di Kampung Datok Abdullah, Sungai Limau Luar pada petang kejadian.


"Suspek mengaku melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi rakannya yang telah melarikan diri sebaik menyedari perbuatan mereka itu tular di media sosial," katanya.


Menurutnya, suspek juga mengaku menjual hasil curi itu kepada seorang peniaga wanita pada harga RM150.


"Kita bertindak merampas semula stok sotong kira-kira tiga kilogram daripada peniaga wanita terbabit.


"Suspek direman selama tiga hari setelah ditangkap sebelum disambung reman selama tiga hari lagi sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.


Tangkap layar CCTV dua lelaki mencuri stok bekalan ikan dan sotong di hadapan sebuah kedai makan di Kompleks Perniagaan Guar Utama di Guar Chempedak, dekat Yan pada Khamis lalu.


EmoticonEmoticon