Selasa, 10 Januari 2023

Penjaga zoo masuk dalam kandang untuk memberi makan mati diterkam beruang


Seorang penjaga zoo di Andijan, Uzbekistan maut diterkam seekor beruang coklat selepas terlupa menutup pintu kandang tempat haiwan itu dikurung, lapor akhbar The Sun pada 7 Januari 2023.


Pekerja yang hanya dikenali sebagai AG itu didakwa tidak mematuhi peraturan keselamatan apabila masuk ke dalam kandang untuk memberi makan kepada beruang tersebut pada 3 Januari lalu.


Rakaman kamera keselamatan menunjukkan AG menyedari haiwan itu berada betul-betul di belakangnya sebelum ia menerkamnya. Dia kemudian berlari menuju ke arah pintu utama kandang untuk keluar dari tempat tersebut.


Haiwan itu kemudian mencakar dan menjatuhkan mangsa ke lantai sebelum menggigit leher dan mengoyak anggota badan pekerja tersebut, lapor media tempatan.


Rakan-rakan sekerjanya yang ketakutan membaling kayu dan batu ke arah beruang itu, yang membuatkan haiwan tersebut menarik mangsa dari pintu masuk kandang tersebut.


Dua pekerja zoo lain akhirnya berjaya memasuki kandang itu menggunakan tiang panjang tetapi tindakan mereka sudah terlambat.


Jurucakap polis di wilayah Andijan berkata, lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius manakala pihak berkuasa telah membuka siasatan kes jenayah mengenai pengabaian keselamatan di zoo tersebut. - Sumber The Sun.


Seekor beruang coklat (dalam bulatan) menerkam seorang pekerja zoo di Andijan pada 3 Januari lalu. - Foto East2West.


EmoticonEmoticon