Ahad, 8 Januari 2023

40 tahun tinggal di tengah-tengah 'roundabout' selepas enggan berpindah


Sebuah keluarga di Wales tinggal di tengah-tengah bulatan jalan raya selama lebih empat dekad selepas enggan berpindah walaupun pihak berkuasa membina laluan persimpangan untuk ribuan kenderaan mengelilingi kediaman mereka, lapor akhbar Daily Mail, bulan lepas.


Clwyd Howatson, 64, dan isterinya Anwen, 60, berpindah ke banglo mereka di Denbighshire pada tahun 1960 dan mulanya hartanah itu hanyalah kawasan kejiranan biasa sehinggalah pihak berkuasa memberitahu kediaman mereka betul-betul berada di dalam bulatan baharu yang ingin dibina.


"Saya tinggal di bulatan ini selama lebih 40 tahun malah ibu bapa kami sudah berada di kediaman ini selama 20 tahun sebelum itu lagi, jiran yang kini berada di seberang jalan juga merupakan ahli keluarga, jadi rumah ini menjadi sebahagian besar kehidupan kami.


"Saya boleh katakan pengalamannya sama seperti tinggal di mana-mana jalan, tetapi tidaklah teruk kerana kami mempunyai cermin berganda, jadi, bukan sesuatu yang mengganggu dan jalan raya hanya menjadi sangat sibuk pada waktu puncak untuk beberapa ketika sahaja," jelas Clwyd Howatson kepada NorthWalesLive.



Ramai pemandu mungkin 'menggaru kepala' ketika mengelilingi rumah Howatsons kerana sukar menjangkakan jika ada kenderaan yang tiba-tiba keluar dari kawasan kediaman itu menghala ke tengah susur bulatan, tetapi, sehingga kini mereka tidak pernah mengalami kemalangan disebabkan perkara itu.


Namun, cabaran terbesar keluarga Howatsons adalah ketika menerima barangan yang dipesan kerana berkongsi poskod yang sama dengan rumah di sekeliling mereka, menyebabkan pemandu penghantaran mengambil sedikit masa untuk menyedari alamat itu berada di tengah-tengah bulatan.


"Biasanya apabila kami memberi arahan saya perlu menjelaskan kami bukan berada berhampiran tetapi di tengah bulatan dan mereka selalu terdengar agak ragu-ragu sehingga mereka tiba di sini," jelas Clwyd.


Clwyd berkata, rumah bulatan itu sudah didiami keluarganya sejak sekian lama dan mahu terus menetap di lokasi itu kerana menyukai keunikannya. - Sumber Daily Mail.


Kerja-kerja membina laluan persimpangan bermula pada tahun 1970-an di kawasan kejiranan di Denbighshire, utara Wales. - Foto Andrew Price/View Finder Pi.

Gambar udara dari tahun 1960-an dengan jalan utama dan kereta api bersebelahan rumah Howatson, yang kini berada di tengah-tengah bulatan. - Foto Andrew Price/View Finder Pi.

Pasangan suami isteri itu tidak mempunyai rancangan buat masa ini untuk berpindah. - Foto Andrew Price/View Finder Pi.

Clwyd Howatson, 64, dan isterinya Anwen, 60, tinggal di sebuah banglo di tengah-tengah bulatan di pintasan Denbigh A525 di Denbighshire. - Foto Andrew Price/View Finder Pi.

Keluarga Howatson telah tinggal di tengah-tengah bulatan jalan raya di Denbighshire selama lebih daripada 40 tahun. - Foto Daily Post Wales.


EmoticonEmoticon