Selasa, 1 November 2022

Tinggalkan ibu tenat demi jumpa teman lelaki punca wanita ditampar, ditendang beberapa kali

 

Video seorang lelaki menumbuk seorang gadis yang tular sejak semalam didakwa kerana masalah keluarga. Gadis itu ditampar, ditendang beberapa kali sebelum dilibas dengan selipar dalam kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah.


Difahamkan kejadian itu berlaku kerana lelaki berkenaan yang didakwa abang kepada gadis itu terlalu marah kerana gadis itu dikatakan meninggalkan ibunya yang sedang sakit untuk berjumpa dengan kekasihnya.


Tampil menjelaskan kejadian itu, beberapa warganet dalam komen di Facebook mengatakan bahawa kedua-dua individu itu adalah adik-beradik kandung.


"Sebenarnya perempuan itu yang salah, dia bagi tinggal mamanya yang tengah sakit tenat sendiri di rumah semata-mata mahu jumpa teman lelakinya, jadi yang pukul dia itu abang kandungnya sendiri," komen salah seorang pengguna Facebook, Mohammadzaidi Asnawi.


Video berdurasi 18 saat itu menunjukkan seorang remaja lelaki menampar muka remaja perempuan beberapa kali sehingga tertolak ke dinding sebelum menendang dan melibasnya dengan selipar berkali-kali.


Remaja perempuan tersebut dilihat menangis dan mengerang kesakitan di tepi dinding tanpa mampu berbuat apa-apa. Video tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai yang rata-rata mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera siasat dan ambil tindakan terhadap remaja lelaki itu.


"Please PDRM ambil tindakan orang sebegini, ini bukan hiburan tetapi menunjukkan akhlak yang tak baik. Mana respek pada kaum wanita?" komen salah seorang pengguna.


Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat atau laporan polis mengenai kejadian itu sama ada benar ia berlaku di Kota Kinabalu.


Walaupun begitu, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai video tular berkenaan dan meminta kerjasama dari semua pihak untuk tampil memberikan maklumat mengenai kejadian itu.


BACA: Tular video wanita ditampar, tendang, dilibas selipar oleh seorang lelaki undang kemarahan warganet.


Tangkap layar video seorang lelaki memukul dan menampar wanita yang tular dalam media sosial baru-baru ini.


EmoticonEmoticon