Sabtu, 2 April 2022

Lelaki Thailand terkejut temui ular berbulu hijau


Seorang penduduk di wilayah Sakhon Nakhon, timur laut Thailand terkejut apabila menemui spesies ular berbulu hijau yang jarang ditemui berhampiran rumahnya pada bulan Februari lalu, lapor laman berita Thaiger 13 Mac 2022.


Penduduk bernama Tu itu menemui haiwan itu di dalam paya kotor. Dia kini sedang menunggu pengesahan oleh pihak berkuasa untuk mengenal pasti spesies haiwan aneh itu. Anak saudaranya berpendapat penemuan tersebut boleh menjadi peluang yang baik untuk mendidik orang ramai.


Sementara itu, penduduk lain dilaporkan memberitahu media bahawa mereka percaya ular itu adalah ular air yang dikenali sebagai puff-faced water snake. Bulu-bulu itu dikatakan tumbuh pada badan haiwan itu ketika ia menunggu di celah-celah batu untuk menyerang mangsa.


Bagaimanapun, menurut penyelidik Reptilia dari Pejabat Pusat Penyelidikan Biologi Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN) Dr Amir Hamidy, M.Sc berkata, bulu yang disebut melekat pada ular adalah lumut atau alga.


"Ini ular berlumut, bukan ular berbulu seperti yang didakwa. Ular yang ditutupi lumut, yang hidup di rawa-rawa di Thailand," jelas Amir kepada Kompas.com pada 16 Mac 2022 lalu.


Disebabkan ular ini termasuk ular air dan pergerakannya terhad, kata Amir, wajar haiwan ini dilitupi lumut di sekeliling badan; "Buka saja lumut, kikis sikit, tengok macam mana," tambahnya menjelaskan penemuan ular hijau berbulu di Thailand.


Sementara itu, menjawab kecurigaan penduduk setempat mengenai kehadiran ular berbulu, Amir menegaskan semua jenis ular mempunyai sisik pada badan dan tidak berbulu.


Spesies itu kebanyakannya berwarna coklat gelap atau hitam yang sedikit berbisa dan kebiasaannya ditemui di India, Bangladesh, Myanmar, Kemboja, Thailand, Malaysia dan Singapura dalam variasi berbeza.


Gambar menunjukkan seekor ular berbulu hijau yang ditemui seorang penduduk di wilayah Sakhon Nakhon, timur laut Thailand. - Foto Sciencetimes.


EmoticonEmoticon