Rabu, 6 April 2022

Ahli Arkeologi Sahkan Piasu Firaun Bukan Berasal Dari Bumi


Pisau dengan gagang emas yang ditemui di makam Raja Tut yang pernah digunakan oleh firaun Mesir, telah mengejutkan ahli arkeologi kerana bahan yang digunakan bukan berasal dari Bumi. Salah satu kajian terbaru mengenai pisau tersebut menyatakan bahan yang digunakan berasal dari meteor, dan ditempa oleh tukang besi kuno di kota Anatolia yang kini menjadi Turki.


Manakala kajian lain menunjukkan asal usul bahan tersebut masih menjadi misteri, kerana ketika Raja Tutankhamun memerintah dari 1333 SM hingga 1323 SM, teknik peleburan besi masih belum ditemui. Ini bermakna logam adalah komoditi jarang ditemui dan berharga yang sering datang daripada meteor, lapor Lives Science pada 5 Mac 2022.


Dalam salah satu kajian terbaru yang diterbitkan pada 11 Februari 2022 dalam jurnal Meteoritics & Planetary Science, penyelidik menerangkan bagaimana pelekat yang digunakan pada gagang emas pisau itu berkemungkinan diperbuat daripada plaster kapur.


"Plaster kapur ini tidak digunakan secara meluas di Mesir pada masa itu," tulis penyelidik. Selain itu, catatan sejarah yang ditemui di tapak Amarna, di Mesir, menunjukkan bahawa Tushratta, raja Mitanni di Anatolia, menghadiahkan sekurang-kurangnya satu pisau besi kepada Amenhotep III, yang memerintah dari kira-kira 1390 SM hingga 1352 SM.


Pasukan itu juga mendapati bahawa bilah dibuat dengan penempaan panas pada suhu rendah kurang daripada 950  darjah Celsius, kerana mineral yang dipanggil troilit dan pembentukan kristal besi-nikel masih kelihatan pada pisau, tulis penyelidik dalam artikel jurnal tersebut.


Sementara itu, pengkaji lain yang catatannya diterbitkan dalam buku bertajuk 'Besi dari Makam Tutankhamun' memberi pandangan berbeza. Mereka berpendapat, pada masa ini mustahil untuk membuat kesimpulan berhubung asal usul pisau Firaun.


Penulis kajian menyatakan bahawa batu kristal dari gagang bilah adalah serupa dengan artifak yang digunakan secara meluas di wilayah Aegean. Manakala bentuk gagangnya menunjukkan pisau ini bukan buatan Mesir.


Live Science menghubungi beberapa ahli arkeologi untuk membongkar misteri pisau Firaun. Albert Jambon, seorang penyelidik di Universiti Sorbonne di Perancis, tidak percaya dengan idea bahawa pisau itu dibuat di Anatolia.


Jambon menafikan dakwaan bahawa plaster kapur digunakan sebagai pelekat. Beliau menyatakan bahawa pada tahun 1920-an, serbuk batu kapur telah digunakan untuk membersihkan beberapa artifak Tutankhamun.


Ujian kimia yang digunakan dalam kajian itu mengesan larutan pembersih bukan pelekat. Di samping itu, pemegang dan bilah adalah dua bahagian yang berasingan dan boleh dihasilkan di tempat yang berbeza, kata Jambon kepada Live Science yang dihantarnya melalui e-mel.


Sementara itu, Marian Feldman, W.H. Collins Vickers, pengerusi arkeologi di Universiti Johns Hopkins, berkata jika pisau itu dihasilkan di Anatolia, ia akan menjadi pengesahan penting.


"Ia boleh menguatkan tanggapan bahawa beberapa objek mewah yang ditemui di makam Tutankhamen adalah hadiah diplomatik daripada kerajaan purba lain," tulis Feldman dalam e-melnya. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengesahkan penemuan itu, tambah Feldman. - Sumber Lives Science.


Pisau dengan gagang emas yang ditemui di makam Raja Tut mengejutkan ahli arkeologi kerana bahan yang digunakan bukan berasal dari Bumi. - Foto DOK.


EmoticonEmoticon