Khamis, 13 Januari 2022

Pengunjung terkejut jumpa bangkai buaya tembaga di Pantai Cermin


PORT DICKSON - Bangkai seekor buaya tembaga sepanjang hampir dua meter dengan berat kira-kira 100 kilogram (kg) ditemui di Pantai Cermin, di sini, pagi tadi.


Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, buaya jantan itu dianggarkan sudah mati satu atau dua hari lalu.


Menurutnya, kira-kira pukul 9.10 pagi, pejabat Perhilitan Daerah Seremban telah menerima maklumat daripada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan SWM Port Dickson berkaitan penemuan bangkai seekor Buaya Tembaga.


Katanya, pihaknya menghantar pasukan Perhilitan Seremban ke lokasi dengan dibantu pejabat Pusat Pendidikan Biodiversiti (PPBD) Tanjung Tuan, Melaka untuk menjalankan siasatan lanjut.


"Bangkai buaya tersebut dibawa ke pejabat Perhilitan untuk proses post-mortem bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.


Dalam pada itu, Nurul Ermi berkata, kali terakhir kematian buaya dilaporkan di Port Dickson adalah sekitar 2010.


"Buaya jenis tembaga sering dijumpai di sungai namun buaya sering berkeliaran untuk mencari makanan dan kadangkala sehingga sampai ke kawasan pantai.


"Ini pertama kali kami menjumpai buaya jenis tembaga yang mati. Pada tahun lalu, kami ada menerima aduan buaya yang masih hidup cuma di lokasi berbeza," katanya lagi.


Bangkai seekor buaya tembaga matang seberat kira-kira 100 kilogram ditemukan di Pantai Cermin, hari ini.


EmoticonEmoticon