Badut curi RM4 dan telefon Nokia berdepan penjara 9 tahun




Seorang penghibur jalanan yang berpakaian seperti badut di Bali, Indonesia, berdepan hukuman penjara sembilan tahun selepas mencuri wang 15,000 rupiah (RM4.40) daripada seorang penjual buah-buahan, lapor laman berita Kumparan pada 7 Januari 2022.


Suspek lelaki berusia 25 tahun dikenali sebagai FS itu terdesak mendapatkan wang untuk meninggalkan Pulau Bali dan pulang ke kampung halamannya di Jawa Timur.


Ketua Polis Jembrana, Dewa Gde Juliana berkata, selepas disoal siasat, suspek mengaku turut mencederakan mangsa dan mengambil barang milik mangsa.


"Dia berasakan pendapatannya sebagai penghibur jalanan semakin merudum sejak pandemik Covid-19 melanda pulau pelancongan ini.


"Suspek terdesak mencari wang untuk pulang ke Jawa hingga sanggup mencuri RM4.40 dan sebuah telefon jenama Nokia daripada seorang wanita yang merupakan penjual gerai buah-buahan," katanya.


Seperti yang dilaporkan, pada mulanya suspek berpura-pura membeli jeruk bali dan sambil memantau keadaan. Kemudian, dia mengarahkan penjual atau mangsa mengupas kulit oren tersebut, sementara menunggu suspek duduk di perhentian belakang tempat mangsa berjual.


Bagaimanapun, tidak lama kemudian, suspek memukul kepala mangsa dengan batu sebanyak dua kali. Mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri, suspek mengambil dompet dan telefon bimbit mangsa kemudian melarikan diri.


Menerusi kejadian itu, keluarga mangsa telah melaporkannya kepada Polis Jembrana dan polis segera menyiasat di tempat kejadian, seorang saksi telah memaklumkan suspek melarikan diri menaiki lori.


Suspek yang hendak pulang ke kampungnya telah dikejar polis dan akhirnya berjaya ditahan di Jalan Raya Srono, Daerah Rogojampi, Banyuwangi, Jawa Timur.


Suspek didakwa melakukan kesalahan di bawah Kanun Jenayah (KUHP) yang membawa hukuman maksimum penjara 9 tahun.


FS kini berdepan kemungkinan penjara sehingga 9 tahun kerana mencuri serta mencederakan mangsa. - Polis Jembrana.


EmoticonEmoticon