Ahad, 19 September 2021

Bekas Pekerja Terkejut Dapat Gaji Sejumlah Duit Syiling 5 Sen Seberat 30kg


Seorang pekerja sebuah bar di Dublin, Ireland, tergamam apabila bekas majikannya sengaja membayar gaji terakhirnya menggunakan duit syiling, lapor akhbar Mirror.co.uk pada 17 September 2021.


Lelaki tersebut, Rian Keogh disuruh mengambil gaji terakhirnya pada Selasa lalu selepas pengurus Alfie Bar mahu membayarnya secara tunai. Namun begitu, Keogh tidak menyangka bahawa bayaran tunai itu dibuat menggunakan duit syiling.


Sejumlah duit syiling 5 sen itu dimasukkan dalam sebuah baldi seberat hampir 30 kilogram (kg). Gambar yang disiarkan di Twitter oleh Keogh mengejutkan pengguna media sosial dengan tindakan bekas majikannya.


"Jika ada yang mahu tahu pengalaman saya sepanjang bekerja di Alfie Bar, ini adalah salah satunya apabila dibayar menggunakan wang syiling dalam baldi.


"Semua wang syiling ini bernilai 5 sen, jadi bayangkan berapa banyak yang perlu saya tukarkan menjadi wang kertas," tulisnya di laman Twitter.


Hantarannya itu menerima pelbagai reaksi orang ramai yang menyuruh Keogh melaporkan perbuatan tersebut kepada jabatan buruh.


"Ini adalah satu bentuk pembulian, anda perlu melaporkannya kepada pihak berkuasa. Jangan biarkan orang lain turut mengalami hal yang sama," tulis seorang pengguna media sosial.


"Begitu banyak majikan yang baik di luar sana, mengapa anda harus bertahan dengan ini? Atau anda telah melakukan sesuatu kesalahan sehingga diperlakukan sebegini? Ia sangat teruk," komen seorang lagi.


Baldi berisi syiling seberat 29.8kg yang juga duit gaji terakhir seorang pekerja bar yang dibayar oleh bekas majikannya. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon