Jumaat, 30 April 2021

Wanita ditemui tidak bernyawa dalam kereta, serta sepucuk surat


Mayat wanita ditemui di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kebun kelapa sawit di Machap Baru, Alor Gajah, hari ini. Mayat wanita terbabit ditemui orang awam sebelum melaporkannya kepada polis pada 10 pagi.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, lokasi mayat wanita berusia 43 tahun itu ditemui terletak kira-kira 800 meter dari jalan utama.


Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat satu mayat wanita dan Toyota Avanza berkenaan berkunci dari dalam. Menerusi bantuan bomba, kenderaan terbabit berjaya dibuka dan pemeriksaan dilakukan pasukan forensik polis menemui sepucuk surat.


"Surat berkenaan tertera pesanan kepada polis supaya menghubungi seorang wanita bagi memaklumkan kematian si mati kepada anaknya supaya dapat menguruskan kematiannya.


"Pasukan forensik turut menemui satu balang mengandungi abu arang dipercayai dibakar si mati di bahagian tempat duduk penumpang hadapan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata, berdekatan dengan kenderaan wanita itu terdapat bahan makanan dan botol serta tin arak disyaki diminum wanita berkenaan sebelum itu.


"Dia dipercayai meninggal dalam tempoh 48 jam selain semakan turut mendapati wanita terbabit dilaporkan hilang pada 28 April 2021.


"Mayatnya kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dan disyaki meninggal akibat lemas di dalam kereta," katanya.


EmoticonEmoticon