Ahad, 25 April 2021

Jumpa Batu Kecubung Bernilai Tinggi, Batu Permata Lain Turut Ditemukan Di Jeli

Ketulan batu kecubung ditemui penuntut Fakulti Sains Bumi (UMK).


Fakulti
Sains Bumi (FSB) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menemui ketulan batu kecubung atau nama saintifiknya amethyst yang bernilai tinggi di kawasan perlombongan di Jeli. Batu kecubung kebiasaannya digunakan sebagai hiasan batu permata untuk cincin lelaki.


Ia ditemui penuntut Fakulti Sains Bumi (FSB) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersama 36 mahasiswa jurusan Geologi dari universiti di Indonesia menerusi Program International Geomapping Jeli (IGJ) 2021.


Ketua Jabatan Geosains FSB, Dr Wani Sofia Udin, berkata, peserta turut menemui ketulan batuan kuartza dan penemuan ‘dragfold’ iaitu kesan geologikal struktur pada batuan yang amat jarang ditemui.


"Kita turut menemui batuan jenis pyrite dan batu gunung berapi. Melalui penemuan itu, pelajar dapat mengkaji morfologi dan mengemaskini peta geologi kawasan Jeli melalui aktiviti pemetaan yang dilakukan.


"Kajian ini memberi hasil yang penting kepada mahasiswa khususnya untuk memberi pendedahan terhadap pemetaan geologi serta mengaplikasikan di dalam kerja lapangan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Beliau berkata, penuntut diberi tugasan yang berkaitan subjek asas pemetaan untuk dipelajari dan hasil daripada ekspedisi kajian mengenai batuan itu mereka berjaya menemui beberapa mineral yang terbaharu dan sukar ditemukan.


Katanya, Program anjuran Jabatan Geosains, FSB dengan kerjasama Pusat Antarabangsa UMK ini menerima penyertaan dari Institut Teknologi Bandung, Universitas Jambi, Universitas Tadulako, Universitas Padjadjaran, Universitas Hasanuddin dan Universitas Gadjah Mada.


"Peserta antarabangsa akan mengikuti kajian secara maya di mana penuntut UMK akan membuat panggilan video kepada mereka bagi menerangkan penemuan batuan hasil daripada kajian pemetaan di lapangan.


"Mereka akan ditempatkan di kawasan kajian sekitar Jeli iaitu Bukit Jeli, Bukit Salor, Kampung Lawar, Kampung Sungai Rual, Lata Chenai, Sungai Pergau, Sungai Renyok dan Sungai Tadah," katanya.


Batu gunung berapi. - Foto Pixabay

Pyrite (kiri), Kuartza (kanan). - Foto Wikipedia


EmoticonEmoticon