Ahad, 28 Februari 2021

Bunuh anak sendiri, pasangan suami isteri ke tali gantung


Mahkamah Tinggi, Kuala Terengganu, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap pasangan suami isteri manakala dua lagi anak pasangan itu dilepaskan dan dibebaskan dalam pertuduhan membunuh seorang gadis yang juga ahli keluarga mereka.


Hakim Datuk Zainal Azman Abd Aziz membuat keputusan itu terhadap Anuar Yusof, 55, dan isterinya, Murni Ahmad, 40 , yang juga ibu tiri mangsa selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Bagaimanapun, dua lagi anak pasangan berkenaan iaitu Siti Sarah Anuar, 26, dan Amir Sharif Anuar, 19, dilepas dan dibebaskan selepas didapati tidak bersalah bagi pertuduhan sama.


Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa secara bersama-sama membunuh, Siti Hajar Anuar yang berusia 22 tahun ketika kejadian di Jalan Air Putih, Taman Semarak, Binjai di Chukai pada 10.45 malam, 26 April 2016.


Bagi kesalahan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 35 akta sama.


Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail. Tragedi pembunuhan itu dikesan selepas polis curiga dengan laporan kematian dibuat bapa gadis itu.


Dalam laporan yang dibuat, mangsa dikatakan mengalami sakit biasa tetapi terdapat kesan gigitan di badan selain lebam di mata sekali gus membongkar tindakan yang dilakukan ahli keluarganya sendiri.


Siasatan awal polis juga mendapati keadaan fizikal mangsa terlalu kurus iaitu dengan berat hanya 18 kilogram seperti tidak cukup makan. Susulan itu, empat beranak terbabit ditahan di rumah keluarga berkenaan pada 1.50 pagi, 1 Mei 2016.


Sebelum ini, media melaporkan punca kematian seorang gadis yang memiliki berat badan cuma 18 kilogram terbongkar apabila mangsa dipercayai meninggal dunia akibat didera oleh keluarganya. Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia kerana jangkitan kuman selain sebahagian besar tubuhnya mempunyai kesan gigitan manusia.


EmoticonEmoticon