Ahad, 28 Februari 2021

Dalang edar dadah, Tan Sri dan 2 Datuk tauke kokain RM2.4 bilion, dalam radar polis

Gambar kecil Razarudin Husain.


Polis
mengenal pasti tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk yang disyaki dalang utama kartel dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini. Siasatan awal polis juga mendapati mereka berselindung di sebalik aktiviti perniagaan sah seperti perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi bagi mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.


Bagaimanapun, perniagaan sah yang dimiliki tiga individu, seorang bergelar Tan Sri dan dua Datuk yang berusia 45 tahun ke atas itu dipercayai hanya alasan bagi menutup kegiatan utama, iaitu terbabit dalam kegiatan pengedaran kokain ke luar negara, aktiviti haram itu menjana kehidupan mewah mereka.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, ketiga-tiga kenamaan itu juga dikesan tidak menggunakan kakitangan perniagaan sah untuk aktiviti 'perniagaan' pengedaran dan penyeludupan dadah bagi mengelak sebarang kebocoran maklumat sekiranya kakitangan terbabit mengetahui tentang kegiatan dadah.


Menurutnya, Tan Sri dan Datuk ini mempunyai kakitangan lain untuk melaksanakan perniagaan dadah mereka daripada proses membawa masuk dadah menggunakan perairan negara, penyimpanan sehinggalah proses pengedaran ke luar negara.


"Tindakan JSJN Bukit Aman, pada masa ini adalah mengumpulkan maklumat dan bukti kukuh daripada ahli-ahli sindiket pengedaran dadah tempatan yang sudah diberkas sebelum ini sebelum melakukan tindakan tangkapan ke atas Tan Sri dan Datuk terbabit.


"Malah kita juga sudah menahan beberapa 'anak buahnya' melalui beberapa kejayaan yang sudah dilakarkan dalam operasi-operasi sebelum ini yang membabitkan peringkat Bukit Aman, Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara,"katanya ketika dihubungi, hari ini.


Razarudin berkata, adalah amat penting bagi pasukannya mengumpulkan bukti kukuh sebelum sesuatu tindakan tangkapan dilaksanakan bagi memastikan ketiga-tiga dalang utama ini menerima hukuman sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang ada.


"Ada pepatah yang menyatakan 'jerat selalunya tak lupakan pelanduk' dan kita akan memberkas mereka yang dikesan aktif di semenanjung Malaysia ini apabila segala bukti yang kita ada jelas menunjukkan pembabitan mereka dalam kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah," katanya.


Beliau berkata, berdasarkan perisikan awal yang dijalankan, orang bawahan atau suruhan kepada tiga Tan Sri dan Datuk ini akan menguruskan penghantaran dadah ke Indonesia, Taiwan, Hong Kong dan Australia menggunakan kargo udara dan khidmat perkapalan.



Katanya, kes rampasan 12 tan kokain bernilai RM2.4 bilion yang disembunyikan dalam arang batu serta menjadi sejarah rampasan terbesar dadah dalam negara di Terminal Kargo Utara Butterworth, Pulau Pinang, pada 10 September 2019, dipercayai turut mempunyai kaitan dengan Tan Sri dan Datuk terbabit.


Sindiket membawa dadah dari Amerika Selatan itu menggunakan taktik dengan mencampurkan kokain terbabit bersama 60 tan arang batu, tidak dapat dikesan Unit Anjing Pengesan (K9), sehingga polis terpaksa menggunakan peralatan canggih oleh Jabatan Kimia.


Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik status Tan Sri dan Datuk.


Abdul Hamid berkata, beliau akan memastikan individu berstatus Tan Sri dan Datuk itu dipenjarakan atau dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) sebaik pembabitan mereka dapat dibuktikan oleh JSJN.


EmoticonEmoticon